JODOH, MENUNGGU ATAU MENCARI?
JODOH, MENUNGGU ATAU MENCARI?
“adakah kita hanya menanti si dia yang bernama jodoh? tidak perlu berusaha ke?”
Saya tertarik dengan satu soalan yang diajukan oleh salah seorang pembaca kami berkenaan jodoh. Persoalannya,
“adakah kita hanya menanti si dia yang bernama jodoh? tidak perlu berusaha ke?”
Ramai orang kita yang beranggapan soal jodoh ini adalah satu ketentuan yang tidak perlu diusahakan lagi. Bagi mereka, rezeki, jodoh dan ajal adalah di tangan Allah dan manusia hanya perlu pasrah. Lantas mereka memilih untuk terus ‘bertawakkal’ mengikut fahaman yang tidak tepat.
Seperti kisah yang berlaku pada Sayyidina Umar Al-Khattab. Beliau pernah menangis melihat satu kumpulan jemaah haji dari Yaman yang datang tanpa menyediakan bekalan makanan. Lalu Umar menegur dan membetulkan tindakan mereka yang silap dalam memahami konsep tawakal.
Umar bertanya: Siapakah kamu?
Rombongan Yaman itu menjawab: Kami adalah al-mutawakkilun (orang-orang yang bertawakkal kepada Allah).
Umar menjawab: Kamu sebenarnya al-muta’akkilun (orang-orang yang mengharapkan diberi makanan). Orang yang sebenar-benar bertawakkal ialah orang yang menabur benih di bumi, kemudian bertawakkal kepada Allah.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud ra. ”sesungguhnya salah seorang dari kamu sekalian dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat pulah hari berupa air mani. Kemudian menjadi segumpal darah dalam waktu empat puluh hari. Kemudian menjadi segumpal daging dalam waktu empat puluh hari. Lalu diutus seorang malaikat kepada janin tersebut dan ditiupkan roh kepadanya dan malaikat tersebut diperintahkan untuk menuliskan empat perkara, iaitu: menulis rezekinya, batas umur-nya, pekerjaannya dan kecelakaan atau kebahagiaan hidupnya”.
Hadis di atas menjelaskan bahawa meskipun demikian bukan bererti kita hanya tinggal menunggu hanya dengan alasan ‘sudah ditentukan’.
Jodoh perlu diusahakan jika SUDAH ada pilihan
Kisah di atas tentang rezeki. Namun ianya sama juga dengan jodoh. Jika rezeki perlu diusahakan, maka jodoh juga perlu diusahakan. Sekali lagi saya jadikan contoh dari kisah Saidatina Khadijah r.a yang menjadikan Muhammad sebagai suaminya walaupun dia lebih berusia daripada suaminya.
Ummul Mukminin Khadijah berikhtiar dengan menghantar orang untuk menyatakan hasrat untuk mengahwini Nabi. Maka mustahillah wanita hari ini yang lebih bersifat terbuka tidak berani untuk menyatakan hasrat kepada pihak lelaki secara terhormat begitu.
Jodoh tetap perlu diusahakan jika BELUM ada pilihan
Jika belum ada, usahakanlah dengan membuat tinjauan dan membuat senarai pendek secara sendirian. Kemudian, teliti dengan penuh hemah. Contohnya, mintalah bantuan dari rakan dan keluarga yang diyakini, berakhlak dan boleh diharap.
Setelah berusaha dengan melakukan setiap perkara, maka lakukanlah solat sunat istikharah. Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya.
Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah As-Salami r.a "apabila salah seorang diantara kalian hendak melakukan sesuatu (yang samar/membingungkan), maka lakukanlah solat (sunnah) dua rakaat"
Walaupun manusia dikurniakan dengan kesempurnaan, tetapi mereka tetap memiliki kekurangan. Terutama dalam menentukan sesuatu di luar kemampuannya. Justeru, manusia disarankan untuk melakukan solat istikharah.
Gunakan platform cari jodoh online
Namun, sekiranya malu untuk meminta bantuan dari rakan mahupun keluarga, anda mungkin boleh menggunakan platform cari jodoh online. Salah satu daripadanya adalah BaitulMuslim.com. Platform ini memudahkan anda untuk berkenalan dengan calon lain.
Ramai juga kawan-kawan saya yang menggunakan medium internet dalam ikhtiar mencari jodoh. Malah ada juga yang sudah dipertemukan jodoh oleh-Nya. Tidak salah untuk berusaha asalkan tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan oleh Islam.
Sikap ‘menunggu’ jodoh adalah salah satu punca yang menjuruskan kita kepada punca kahwin lewat. Mengikut kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kahwin lewat boleh memberi impak negatif terhadap institusi kekeluargaan kerana ia akan menyebabkan penurunan kadar kesuburan dan merencatkan pembangunan sosio ekonomi negara.
Natijahnya, jangan mengambil sikap untuk hanya ‘menunggu’ jodoh tetapi bertekadlah untuk ‘mencari’ jodoh. Oleh itu, berusahalah dalam mencari jodoh tanpa hanya menanti seperti bulan jatuh ke riba.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?