Apabila Hubungan Anda Dengan Si Dia Tidak Direstui, Cuba 5 Tips Ini
Apabila Hubungan Anda Dengan Si Dia Tidak Direstui, Cuba 5 Tips Ini
Perkara pertama yang anda dan bakal pasangan anda perlu lakukan adalah mencari punca kenapa ibu bapa bakal pasangan tidak suka kepada anda...
Restu daripada ibu bapa adalah sesuatu yang harus diperolehi terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam sesebuah perhubungan. Namun begitu, kadang-kala untuk menuju ke fasa yang seterusnya ia mungkin sukar bagi sesetengah pihak. Ini kerana ianya dihalang oleh keluarga terutamanya daripada ibu dan bapa bakal pasangan.
Jika anda berhadapan dengan situasi di atas, anda mungkin menjadi bingung dan runsing. Manakan tidak, insan yang anda cintai dan ingin dijadikan pasangan hidup tetapi keluarganya tidak suka kepada anda. Pada artikel kali ini, saya akan kongsikan 5 tip yang boleh anda lakukan apabila hubungan anda dengan di sia tidak direstui oleh keluarga.
1. Cari Punca
Perkara pertama yang anda dan bakal pasangan anda perlu lakukan adalah mencari punca kenapa ibu bapa bakal pasangan tidak suka kepada anda. Adakah kerana anda pernah menyinggung perasaan bakal mertua atau ada hal lain yang membuatkan mereka tidak suka kepada anda? Ini adalah sesuatu yang perlu disemak bagi mengetahui perkara akar umbi yang membuatkan masalah ini berlaku.
Sebagai contoh, ada sesetengah ibu bapa yang sebenarnya bukan tidak suka kepada peribadi atau fizikal anda. Cuma mereka mungkin risau dari segi kemampuan anda terutama bagi lelaki untuk menyara anak perempuan mereka. Jadi jika ini adalah puncanya, maka si lelaki mesti memainkan peranan bagi meyakinkan bakal mertuanya dengan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan sebagainya.
Oleh sebab itu, mencari punca adalah perkara yang sangat penting bagi merancang tindakan yang bakal diambil nanti.
2. Perbaiki Tingkah Laku
Tip kedua yang boleh anda lakukan adalah dengan memperbaiki tingkah laku terutama ketika berhadapan dengan bakal mertua. Benar akhlak adalah sesuatu yang spontan dan tidak boleh dilakonkan. Namun begitu, akhlak sebenarnya boleh dibaiki. Sebab itulah kita selalu dengar orang yang tidak baik dan nakal boleh menjadi baik. Ia adalah perubahan ke arah kebaikan yang sangat dituntut dalam agama Islam.
Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Ar-Rad yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”
(Surah Ar-Rad : Ayat 11)
Orang tua biasanya akan tertarik kepada perlakuan sopan-santun dan sikap ramah-mesra. Apabila akhlak dan tingkah laku anda menjadi baik, maka ia mungkin dapat menarik minat dan perhatian bakal mertua anda untuk menjadikan anda sebagai salah seorang menantu pilihannya. Tidak salah mencuba kan?
3. Sering Bertemu Dan Bersua Muka
Berani bertemu dengan ibu bapa si dia akan memberikan gambaran bahawa anda serius untuk menjalinkan hubungan dengan keluarganya. Jika anda tidak pernah bersua muka dengan ibu bapa bakal pasangan, mereka akan lebih mudah menolak hubungan anda dengan anak mereka. Ini kerana mereka tidak kenal siapa anda.
Namun apabila kerap berjumpa, walau pada awalnya mungkin terdapat halangan atau perasaan tidak suka, semuanya boleh berubah. Jika anda bersabar dan memberi masa, mungkin akan timbul pula keserasian dan kemesraan antara keluarga si dia dengan anda.
4. Beli Hadiah Atau Buah Tangan
Sifat manusia secara kebiasaannya sukakan hadiah ataupun buah tangan. Oleh sebab itu, anda harus mengambil tahu apa kesukaan ibu bapa si dia. Sebagai contoh jika si ibu suka memasak, maka hadiah yang boleh anda beli mungkin berupa peralatan memasak.
Saya berpendapat membeli hadiah atau buah tangan merupakan pendekatan yang paling senang yang boleh anda lakukan bagi mengambil hati mereka. Jangan kedekut.
5. Berbincang Dengan Baik
Perbincangan atau dalam bahasa Arab disebut sebagai ‘syura’ adalah perkara yang sangat digalakkan dalam Islam ketika berhadapan dengan sesuatu krisis atau masalah. Allah S.W.T. telah menyebut di dalam surah Ali Imran yang bermaksud:
“...Oleh itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
(Surah Ali Imran : Ayat 159)
Ketika dalam fasa perbincangan ini, ambil kesempatan untuk menanyakan dengan baik-baik berkenaan perkara yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan restu mereka. Pada masa ini juga teknik komunikasi yang baik sangat diperlukan untuk berhadapan dengan bakal mertua supaya mereka tidak terasa hati dan beremosi.
Pada masa yang sama, si anak juga harus bijak memberikan pendapat dan menyokong bakal pasangan mereka. Perbincangan yang baik dan berkesan, insya-Allah akan memberikan keputusan yang baik untuk semua pihak. Semoga bermanfaat.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?