BERUSIA TETAPI BELUM BERUMAH TANGGA

BERUSIA TETAPI BELUM BERUMAH TANGGA

Secara realitinya, masyarakat meletakkan faktor kecantikan sebagai elemen utama dalam pemilihan jodoh..

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi

 

 

Bercakap mengenai soal jodoh, saya sendiri dikelilingi dengan kawan-kawan yang masih belum bertemu jodoh. Apabila diajukan tentang soal jodoh, ada sahaja alasan yang mereka berikan. Namun apa yang menyedihkan apabila mereka sering menggunakan alasan seperti   “siapa je yang pandang rupa macam aku ni? atau “rupa macam aku ni ada ke orang nak?”.

 

Secara realitinya, masyarakat meletakkan faktor kecantikan sebagai elemen utama dalam pemilihan jodoh. Soal agama, harta dan keturunannya seolah-olah diketepikan. Maka semakin ramailah golongan yang sudah berusia di luar sana yang masih belum berumah tangga.

 

Apa pula kata anda? Adakah anda juga sedang berhadapan dengan masalah masih belum bertemu jodoh walaupun anda sudah berusia? Atau saudara-mara anda sendiri yang sedang mengalami masalah ini? Pasti runsing memikirkan masalah ini kan? Meskipun jodoh adalah sesuatu yang misteri, namun mesti ada kekurangan dalam diri kita yang kita sendiri tidak sedar. Ianya mungkin berpunca daripada diri sendiri. Jom ketahui antara sebab kenapa jodoh anda masih belum nampak bayangnya.

 

1)PENAMPILAN YANG KURANG MENARIK

Seperti yang dijelaskan seperti kisah di atas, faktor utama adalah dari segi rupa atau kecantikan seseorang. Ya, ianya benar bahawa dalam Al-Quran ada menyatakan kriteria dalam pemilihan jodoh.

 

Dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim,  Rasulullah SAW bersabda, wanita itu dinikahi kerana empat perkara: hartanya, kecantikan, keturunan dan agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama nescaya kamu berbahagia.  

 

Meskipun ianya jelas menunjukkan pemilihan dalam soal agama adalah yang paling penting namun umat manusia masih menekankan tentang soal kecantikan. Kecantikan yang dimaksudkan bukan hanya rupa semata-mata, ianya juga merangkumi penampilan seseorang. Penampilan seseorang itu haruslah kemas dan bersih. Bagi kaum perempuan pula pakaian mereka hendaklah menutup aurat supaya tidak melanggar adab berpakaian.    

 

Apa yang harus anda lakukan? Ubahlah cara penampilan anda agar tampak lebih menarik. Bahkan bukan wanita sahaja yang harus menjaga penampilannya, si lelaki juga harus bertindak sedemikian. Barulah terbuka hati mana-mana wanita untuk mendekati mereka.

 

2)TERLALU MEMILIH

Ada segelintir wanita mahupun lelaki, mereka terlalu mencari calon pasangan yang  sempurna untuk dijadikan calon isteri atau suami. Ada sahaja yang tidak kena tentang penampilan atau perwatakan si dia. Padahal si dia sudah menunjukkan minat untuk membina sebuah hubungan bersama anda.

 

Namun hubungan itu tidak dapat diteruskan selepas anda sendiri yang meletakkan syarat-syarat tertentu dalam pemilihan. Terus membujanglah jawabnya. Tidak salah untuk anda meletakkan kriteria tertentu dalam memilih calon pasangan namun mestilah ada logik akalnya. Janganlah terlalu memandang pada yang sempurna sahaja kerana nanti anda juga yang merana menantikan kehadiran mereka.  

 

3)SEMAKIN BANYAK KOMITMEN

Komitmen adalah berbeza bagi setiap individu. Ada yang masih terikat dengan keluarga, pelajaran, pekerjaan dan diri sendiri. Komitmen juga boleh menyebabkan impian seseorang itu terhalang lebih-lebih lagi untuk menuju ke arah sebuah perkahwinan. Malah disebabkan kekangan ekonomi juga menyebabkan segelintir masyarakat memilih untuk terus membujang dahulu.

 

Setelah mendirikan rumah tangga, komitmen itu akan menjadi lebih besar sejurus mereka mempunyai seorang suami/isteri dan anak-anak kelak. Oleh sebab itu mereka masih memilih untuk hidup membujang.

 

Sesungguhnya setiap manusia mempunyai komitmen yang berbeza. Namun sekiranya disebabkan sebuah komitmen seseorang itu menangguh perkahwinan mereka, ternyata persepsi mereka itu salah. Komitmen adalah sesuatu yang tidak akan ‘habis’. Jadikan ianya sebagai salah satu cabaran baru buat anda sejurus sahaja bergelar seorang suami atau isteri. Tanganilah setiap komitmen itu sebaik mungkin.

 

4)SELESA HIDUP BERDIKARI DAN BERSEORANGAN

Sebenarnya, kebanyakan antara mereka yang masih belum mendirikan rumah tangga ini disebabkan kerana mereka sudah terbiasa hidup berdikari. Mereka sudah memiliki semua benda yang mereka inginkan dan sudah selesa dengan kehidupan yang mereka sedang lalui. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai inisiatif untuk mencari pasangan hidup.

 

Kalau nak dibandingkan, rata-rata sahabat handai mereka sudah mempunyai cahaya mata. Sedangkan mereka pula masih tidak mempunyai calon pilihan hati dek kerana sudah terbiasa dengan kehidupan yang sedia ada.

 

Menerusi rancangan Pesona D' Zahra di IKIM fm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menerangkan, Allah SWT menjadikan setiap sesuatu di dunia ini berpasang-pasangan supaya saling melengkapi antara satu sama lain. Justeru, tidak ada sebab kenapa seseorang itu mahu kekal ‘single’. Meskipun anda telah bergelar jutawan sekalipun, anda masih perlu berikhtiar untuk mengakhiri zaman bujang anda.

 

5) TIDAK MENDAPAT DESAKAN DARI ORANG TUA

Ada yang disebabkan desakan daripada kedua-dua orang tua membuatkan mereka berusaha keras dalam mencari pasangan. Topik perbualan mengenai soal rumah tangga sering dibangkitkan sejurus mereka balik ke kampung atau sebaliknya. Justeru mereka terpaksa mencari jalan demi membina sebuah perkahwinan.

 

Berbeza pula bagi mereka yang tidak mendapat desakan dari orang tua mereka terutama tentang soal berumah tangga. Bertambah senanglah hati mereka apabila tiada yang memaksa dalam mencari pasangan hidup.

 

Secara logiknya meskipun orang tua mereka tidak mendesak mereka mengenai perkara ini, mereka masih lagi perlu meletakkan perkahwinan sebagai satu keutamaan. Pernikahan adalah perkara yang dituntut dalam Islam. Mulakan langkah dalam berusaha mencari calon pasangan agar dapat membina sebuah mahligai cinta.

 

6) INGIN MENGEJAR KERJAYA

Baik lelaki mahupun perempuan, mereka sudah meletakkan impian yang harus mereka kecapi sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Sebagai contoh, mereka sudah meletakkan niat untuk menghabiskan pelajaran terlebih dahulu sebelum menamatkan zaman bujang. Faktor ini juga yang menyebabkan mereka menangguh niat untuk berkahwin kerana masih terdapat impian yang belum tercapai. Begitu juga dalam kerjaya mereka sendiri.

 

Secara hakikatnya, tidak ada had bagi seseorang itu dalam mengejar kerjaya mereka. Namun jangan disebabkan terlalu mengejar kerjaya seseorang itu lupa akan seruan utama yang harus dilakukan.

 

Setiap takdir kelewatan dalam bertemu jodoh bagi setiap individu adalah berbeza. Namun niat itu haruslah diiringi dengan doa dan usaha. Supaya anda juga dapat menikmati keindahan sebuah perkahwinan.

 

“Kebahagiaan dalam sebuah rumah tangga bukan diukur berdasarkan rupa paras seseorang. Faktor yang harus ditekankan adalah AGAMANYA..”

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar