Nikah Gantung (Khitbah) Satu Alternatif?

Nikah Gantung (Khitbah) Satu Alternatif?

Nikah gantung merupakan satu alternatif yang baik dan penyelesaian kepada masalah sosial. Pada hari ini, masalah sosial yang parah boleh menyebabkan golongan remaja terjerumus kepada pergaulan bebas (zina), rogol dan pembuangan bayi...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Anda pernah mendengar tentang istilah ‘Nikah Gantung’? Mungkin sesetengah daripada anda pernah mendengar istilah ini dan mungkin juga ada yang baru pertama kali mendengarnya. Nikah gantung boleh ditakrifkan sebagai pernikahan yang melalui kaedah yang sama dengan prosedur pernikahan biasa. Namun setelah berkahwin, pasangan tersebut tidak tinggal bersama dan tidak terikat dengan tanggungjawab sebagai suami mahupun isteri. 

Biasanya mereka yang berkahwin secara nikah gantung ini adalah golongan mahasiswa atau remaja. Mereka mempunyai keinginan untuk berkahwin tetapi belum mampu sepenuhnya dari segi kewangan. Isu nikah gantung juga mungkin timbul atas permintaan orang tua salah satu pihak atau keduanya kerana sebab tertentu. Sama ada pasangan berkenaan mahu memenuhi permintaan ‘elak’ daripada tinggal bersama-sama dan ‘berhubungan’ tertakluk kepada budi bicara dan keredhaan masing-masing. 

Permudahkan Perkahwinan

‘Taysir Az Ziwaj’ yang bermaksud permudahkan proses perkahwinan harus dilaksanakan terutama daripada pihak yang mempunyai kuasa memudahkan perkahwinan termasuk golongan ibu bapa. Apabila proses perkahwinan dipermudahkan, maka golongan yang mahu berkahwin tidak akan mengambil jalan yang salah untuk berkahwin. Ini juga boleh mengurangkan kes-kes pernikahan di negara seberang seperti nikah di Thailand mahupun di Indonesia.

Tujuan Nikah Gantung

Nikah gantung merupakan satu alternatif yang baik dan penyelesaian kepada masalah sosial. Pada hari ini, masalah sosial yang parah boleh menyebabkan golongan remaja terjerumus kepada pergaulan bebas (zina), rogol dan pembuangan bayi. Salah satu faktor adalah mungkin berpunca daripada proses perkahwinan yang rumit. Dalam keadaan di mana pergaulan antara lelaki dan perempuan agak bebas dan para remaja yang sering berpacaran, nikah gantung adalah satu alternatif yang baik. Ia boleh mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan mengurangkan kelahiran anak tidak sah taraf.

Islam adalah agama yang penuh dengan rahmat dan berkat. Ia diutuskan oleh Allah S.W.T. yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwat dan sebagainya. Malah, Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.



Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah S.W.T. Maha Luas Rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui."  

(Surah An-Nur : Ayat 32)

Walaupun mereka berkahwin secara nikah gantung, tetapi mereka sebenarnya bebas melakukan sebarang aktiviti berdua. Jika si isteri mengandung dan melahirkan anak, maka anak itu adalah daripada hubungan yang sah. Ia tidak haram kerana mereka adalah pasangan suami isteri di sisi agama Islam dan undang-undang kerajaan Malaysia.

Pasangan yang berkahwin secara nikah gantung ini tidak tinggal bersama. Justeru ada pendapat lain yang menyatakan bahawa jika persetubuhan berlaku dalam tempoh yang dipersetujui, maka terbatalah tempoh nikah gantung. Mereka telah menjadi pasangan suami isteri dan memikul tanggungjawab sebagai suami isteri yang normal. Oleh itu, jika masih belajar atau belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri, cubalah mengawal nafsu sehingga masa yang lebih sesuai.

Kelebihan Nikah Gantung

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini nikah gantung adalah sama seperti pernikahan biasa yang lain. Mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, ‘dating’, ‘study’ bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun ia tidak salah dan tidak haram.

Andai berlaku kehamilan, maka pasangan tersebut tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga. Ini berbeza dengan situasi jika berlaku kehamilan di luar pernikahan, ia boleh menyebabkan kes penguguran bayi secara paksa atau pembuangan bayi.

Penerimaan Masyarakat Tentang Nikah Gantung

Dalam masyarakat Arab, nikah gantung menjadi suatu adat kebiasaan bagi sesetengah orang Arab. Nikah gantung ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab yang dikenali dengan nama ‘Nikah Khitbah’. Menurut amalan tersebut sewaktu majlis pertunangan, ada antara mereka yang melangsungkan sekali dengan majlis akad nikah (halflun nikah). Namun mempelai tersebut tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya majlis perkahwinan (haflul qiran). Kadang-kadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau bertahun-tahun lamanya.  

Dalam masyarakat Melayu pula, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama nikah gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Ahli antropologi (kajian berkenaan manusia) seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan nikah gantung sebagai ‘Suspended Marriage Contract’ iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia Tenggara. Malah menurut Abdul Jalil Borhan, penulis ‘Sejarah perlaksanaan undang-undang Islam di negeri Johor’ perkara yang berkaitan dengan nikah gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Dalam Islam Mengenai Nikah Gantung

Salah satu dalil yang biasa digunakan oleh sebahagian alim ulama ialah perkahwinan di antara Rasulullah S.A.W. dengan Saidatina Aishah R.A. Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud:

Menceritakan kepada kami Muhammad bin Yusuf, dia berkata; menceritakan kepada kami Sufyan daripada riwayat Hisyam, daripada riwayat ayahnya, daripada riwayat Aisyah R.A; bahawasanya Rasulullah S.A.W. menikahinya ketika umur beliau enam tahun. Hidup serumah dengannya ketika umur beliau sembilan tahun dan beliau hidup dengan Rasulullah S.A.W. selama sembilan tahun. 

(Hadis Riwayat Al- Bukhari: 5133 )

Hadis ini menjadi dalil berlakunya akad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah. Malah jika atas persetujuan kedua-dua belah pihak untuk beberapa tempoh tertentu, ianya dibenarkan. Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (bersetubuh). Cuma yang mungkin menjadi persoalan ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material). Ada dua pandangan mengenai isu nafkah zahir ini:

a) Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya akad. Maka selepas sahaja akad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.

b) Pandangan jumhur ulama (majoriti ulama) iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu. Syarat tersebut adalah seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan), jimak (bersetubuh), isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.



Kesimpulan yang boleh saya buat ialah nikah gantung adalah satu alternatif yang baik. Ia sangat berguna kepada pasangan yang mempunyai keinginan mendesak untuk berkahwin, namun terhalang kerana beberapa perkara. Nikah gantung mungkin agak janggal dan asing bagi masyarakat melayu, tetapi keperluannya tetap ada untuk mengelakkan berlakunya kes yang lebih parah.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar