MENIKAH TANPA CINTA, BOLEH KE?
MENIKAH TANPA CINTA, BOLEH KE?
Sejak kebelakangan ini ramai yang sering mengagung-agungkan cinta dan ada di antara mereka memberi keutamaan kepada cinta dalam soal mencari pasangan hidup...
Sejak kebelakangan ini ramai yang sering mengagung-agungkan cinta dan ada di antara mereka memberi keutamaan kepada cinta dalam soal mencari pasangan hidup. Cinta dijadikan seperti landasan utama seseorang untuk menikah dan berumah tangga. Namun, sehingga ke saat ini ramai orang terutama golongan remaja yang meyakini keperluan cinta adalah lebih penting sebelum menuju ke arah sebuah perkahwinan.
Apa yang dibimbangkan adalah penjagaan batas-batas pergaulan antara si lelaki dan perempuan. Ianya adalah untuk menghindari dari perbuatan khalwat atau berdua-duaan. Sebagaimana disebutkan dalam ayat berikut:
“Jauhilah berkhalwat dengan perempuan. Demi (Allah) yang diriku berada dalam genggaman-Nya, tidaklah berkhalwat seorang lelaki dengan seorang perempuan kecuali syaitan akan masuk di antara keduanya.” (Hadis Riwayat al-Thabrani)
Seperti contoh yang kita dapat lihat sekarang, apabila pihak keluarga mencari calon pasangan buat anaknya untuk menikah, pasti si anak memberi pelbagai alasan.
Antara alasan yang diberikan adalah “tidak kenal, tidak pernah bercinta, macam mana nak kahwin?” Adakah ianya benar sekiranya tanpa cinta seseorang itu tidak boleh meneruskan sesebuah perkahwinan?
PANDANGAN ISLAM TERHADAP CINTA
Cinta adalah fitrah manusia. Setiap manusia sudah pasti ingin memiliki rasa cinta. Cinta akan terbit antara mereka yang berlawanan jantina. Cinta mampu membuat orang gila, lupa diri dan mampu membuat mereka merasa sedih sekiranya cintanya tidak sampai atau ditolak.
Malah cinta juga mampu membinasakan manusia itu sendiri. Apabila terlalu cinta sesama manusia cinta boleh mengakibatkan manusia itu lupa akan cinta kepada Allah dan rasul-Nya.
Dalam Islam, rasa cinta sangat dihargai kerana rasa cinta sesama manusia dan kepada Allah SWT adalah merupakan landasan untuk seseorang menjalankan ibadah dengan ikhlas. Cinta sejati dalam Islam adalah tatkala dua orang manusia mencintai satu sama lain dan bersama-sama mewujudkan cintanya kepada Allah SWT dengan senantiasa mendorong antara satu sama lain untuk menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
MENIKAH TANPA CINTA
Walaupun menikah memerlukan perasaan cinta, dengan rasa cinta inilah dapat mewujudkan keindahan dalam rumah tangga. Tidak bererti dua orang yang baru sahaja kenal tidak dapat melangsungkan perkahwinan. Hal ini adalah kerana, dalam Islam terdapat istilah taaruf yakni proses perkenalan antara seorang lelaki dan wanita bertujuan untuk mencari jodoh dengan syariat Islam. Hal ini dilakukan sebagai usaha untuk menghindari perbuatan zina.
Tidak ada paksaan untuk menikah - perkahwinan tetap sah sekiranya tidak berlandaskan cinta atau suka sama suka tetapi perkahwinan tidak boleh dipaksa dan mestilah diteruskan atas dasar persetujuan.
Tidak boleh seorang janda dinikahkan hingga ia diajak musyawarah (dimintai pendapatnya), dan tidak boleh seorang gadis dinikahkan hingga diminta izinnya.” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah izinnya seorang gadis?” “Izinnya adalah dengan ia diam”, jawab Rasulullah. (Hadis Riwayat. Al-Bukhari)
Harus dipersetujui oleh gadis - dalam hadis ada disebutkan bahawa seorang gadis dapat menikah atas dasar persetujuannya sahaja.
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya seorang gadis itu malu (untuk menjawab bila diminta izinnya dalam masalah pernikahan).” Beliau menjelaskan, “Tanda redanya gadis itu (untuk dinikahkan) adalah diamnya.” (Hadis Riwayat. Al-Bukhari)
Adanya izin wali pihak wanita - seorang wanita mempunyai hak untuk menolak daripada menikah dengan orang yang tidak disukai atau dicintai namun dia harus menikah dengan izin walinya.
KESIMPULAN
Semua perkara tersebut dapat dijalani sekiranya kita memandang pernikahan sebagai satu ibadah dan merupakan salah satu saranan untuk beriman dan bertaqwa kepada Allah. Jika anda menikah tanpa sebarang rasa cinta maka tanamkanlah benih cinta itu dan semailah di jalan yang diredai Allah SWT.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?