Ingin Menjemput Jodoh? Ini Rahsianya!

Ingin Menjemput Jodoh? Ini Rahsianya!

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah. Jodoh tidak pernah lambat walau sesaat dan tidak akan lari jika di kejar...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah. Jodoh tidak pernah lambat walau sesaat dan tidak  akan lari jika di kejar. Itu lah yang telah dijanjikan oleh Allah kepada kita sebagai hamba-Nya. Malangnya, ramai di kalangan kita yang tidak berusaha malah meletakkan sepenuhnya kebergantungan kepada Allah tanpa berusaha mencari. Selalu kita dengar ramai celoteh dan senda gurau di kalangan kita yang masih tercari-cari bakal suami dan isteri. Tetapi persoalannya disini, adakah kita berusaha atau kita hanya menunggu ibarat menunggu bulan jatuh ke riba? Jodoh itu rahsia Allah. Namun, perlu ada doa seiring dengan usaha termasuklah amalan rahsia yang  kita boleh cuba amalkan untuk ditemukan jodoh.

Jaga solat di awal waktu

Kita selalu mengeluh mengapa jodoh kita belum kunjung tiba. Tapi pernah atau tidak terdetik dihati adakah kita di antara hamba Allah yang bersegera melaksanakan solat wajib ketika azan berkumandang atau kita masih leka dengan urusan duniawi? Sebagai hamba Allah yang taat, kita perlu perbaiki kelemahan ini agar dengan menjaga solat wajib di awal waktu antara asbab jodoh kita akan segera bertandang.

Seseungguhnya Rasulullah S.A.W juga ada bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah” Riwayat al-Tirmizi.

Betulkan niat perkahwinan

Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, perbetulkan niat kita apa tujuan utama kita ingin berkahwin? Sebab setiap perbuatan itu perlu dimulai dengan niat. Sekiranya niat kita berkahwin kerana nafsu atau harta mungkin perkahwinan yang dibina tidak akan berkekalan. Niat lah bahawa kita berkahwin adalah untuk mendapat keredhaan Allah dan bukan sekadar nafsu semata-mata. Sesungguhnya perkahwinan yang dibina atas dasar redha kepada Allah akan membawa kita kepada pengakhiran yang baik dan kekal abadi.

Baca surah yasin setiap pagi

Fahaman kita surah yasin selalunya dibaca pada malam jumaat atau ketika melawat orang sakit atau meninggal dunia. Namun sebenarnya jika kita mengamalkan membaca surah yasin setiap hari banyak fadilat yang boleh kita perolehi antaranya boleh menjadi magnet menjemput jodoh. Sesungguhnya Rasulullah bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس ، وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap perkara ada jantung (hati)nya sedangkan jantung (hati) Al-Qur’an adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya maka Allah s.w.t. akan menulis baginya dengan bacaannya tersebut, bacaan seluruh Al-Qur’an sebanyak sepuluh kali

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi dalam kitab Al-Jami’e As-Sunan beliau kitab Fadha’il Al-Qur’an pada Bab Ma Ja’a fi Fadhl Yasin. Disini jelas kita ketahui banyak manfaat dan pahala yang bakal kita perolehi sekiranya kita mengamalkan membacanya secara tetap.

Baca Surah al- waqiah setiap malam

Amalan membaca surah al-waqiah juga banyak memberi manfaat antaranya akan diberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah termasuklah dalam soal jodoh. Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya:“Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.”Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.

Berterus-terang

Mungkin ada di kalangan kita yang menyukai seseorang tetapi hasrat itu terpaksa di pendam begitu sahaja atas alasan malu untuk memulakan sesuatu perhubungan. Perempuan boleh sahaja memulakan langkah walaupun mungkin akan di ibaratkan seperti perigi mencari timba. Namun, kita perlu menyingkap sejarah dari kisah Siti Khadijah melamar Nabi Muhammad yang akhirnya lamaran itu diterima baik oleh Nabi Muhammad s.a.w. Jelas menunjukkan sekiranya kita berniat baik InsyaAllah Allah akan memberikan jalan yang mudah untuk kita ke peringkat yang seterusnya. Apa yang penting kita perlu berusaha dan selebihnya kita bertawakkal kepada Allah.

Jaga Ibu bapa dengan baik

Menyingkap kembali kisah Alqamah yang derhaka kepada ibunya. Alqamah adalah seorang pemuda yang kuat beribadah, banyak puasa dan suka bersedekah. Akan tetapi dia telah membuatkan ibunya terasa hati dengan perbuatannya. Ketika Nabi Muhammad s.a.w bertemu ibunya untuk mengetahui cerita sebenar, ibunya berterus terang kepada nabi yang dia terasa hati dengan Alqamah yang sangat mengutamakan isterinya berbanding dirinya.

Namun begitu, ketika Nabi Muhammad mengarahkan bilal mengumpul kayu untuk membakar Alqamah, demi kasih dan sayangnya ibu kepada anaknya, ibunya telah pun memaafkan Alqamah dan akhirnya Alqamah dapat mengucapkan kalimah syahadah lalu meninggal dunia di saat itu juga. Pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah ini ialah  kita kena sentiasa beringat sesungguhnya redha Allah itu terletak pada redha kedua ibu bapa kita. Saat kita berbakti dan membahagiakan mereka mungkin ketika itulah mungkin doa kita untuk bertemu jodoh yang baik dimakbulkan Allah.

Jangan terlalu memilih

Manusia tidak lepas dari perasaan memilih, kerana itu fitrah kita sebagai manusia. Pernah atau tidak kita sedar mungkin disebabkan sikap kita yang terlalu memilih yang membuatkan jodoh lambat sampai kepada kita. Kita harus ubah persepsi ini kepada susut pemikiran yang lebih baik. Jodoh adalah cerminan kepada diri kita sendiri. Jangan terlalu memilih, asalkan cukup agama dan mempunyai akhlak yang baik dan mereka datang dari keluarga yang baik-baik, itu sudah cukup untuk dijadikan pilihan hidup.

Cari kebaikan orang lain

Kita perlu menjauhi sikap memandang rendah terhadap orang lain dan perlu bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa kita semua tiada apa-apa kerana semuanya milik Allah. Kita perlu memandang dan melayan sesiapa sahaja dengan kebaikan, maka yang akan datang kepada kita juga pasti kebaikan juga. Begitulah juga dengan konsep jodoh.

Tahajjud setiap malam

Ketika mana orang sedang lena di buai mimpi, kita bangunlah di sepertiga malam untuk bertahajjud dan berdoa kepada Allah. Hal ini kerana, pada ketika ini kita akan berasa dekat dengan Allah dan Allah sangat sayang hamba-Nya yang sentiasa bertahajjud dan meminta doa kepada-Nya. Jangan malu meminta dengan Allah kerana Allah sentiasa memakbulkan doa hamba-Nya yang meminta kepadanya dengan bersungguh-sungguh.

Menjauhi perkara haram dan maksiat

Sesungguhnya kebaikan tidak akan hadir dalam hati yang dipenuhi maksiat dan dosa kerana kebaikan itu bersifat nur yakni cahaya. Begitu juga dengan kita, sebenarnya kita tidak akan bahagia saat kita melakukan dosa. Hal ini kerana, dosa kita itulah yang akan membuatkan kita jauh daripada Allah.

Kesimpulannya, buat yang masih mencari jodoh, jangan mudah putus asa dan sentiasa berbaik sangkalah dengan Allah. Sekiranya jodoh kita lambat, mungkin ini bukan masa yang sesuai lagi untuk kita. Bersangka baik lah kepada Allah yang mungkin berikan masa untuk kita persiapkan diri terlebih dahulu menjadi yang lebih baik sebelum kita melangkah ke alam perkahwinan yang penuh dengan cabaran dan ujian. Sentiasa yakin dengan dan juga boleh amalkan rahsia yang kami kongsikan ini. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar