Tidak Mudah Putus Asa Sebab Percintaan Lampau

Tidak Mudah Putus Asa Sebab Percintaan Lampau

"Wanita lebih cenderung menderita akibat putus cinta dan memerlukan tempoh yang lama untuk pulih sepenuhnya.."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

 

 

Jatuh cinta adalah sesuatu yang misteri, aneh, unik dan ada kala ianya sukar dijelaskan. Cinta merupakan satu anugerah daripada Allah S.W.T. yang tidak ternilai. Perasaan cinta itu adalah naluri semula jadi manusia. Dengan sebuah cinta, manusia saling berkasih sayang tanpa mengenal usia. Sesungguhnya manusia tidak boleh lari dari fitrah untuk mencintai dan dicintai. Agama Islam juga tidak melarang umatnya untuk jatuh cinta namun mestilah berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan. 

Jangan sesekali meletakkan cinta kita sesama manusia melebihi daripada cinta kepada Allah S.W.T kerana ianya boleh merosakkan akidah dan tauhid kita. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, ada kalanya ia berakhir dengan plot yang kita impikan malah ada yang berlaku disebaliknya pula. Disebabkan cinta juga ianya mampu meruntuhkan sebuah perkahwinan yang sudah lama dibina. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Cintailah orang yang kau cinta dengan sewajarnya, boleh jadi suatu hari dia menjadi orang yang kau benci. Dan bencilah kepada orang yang kau benci sewajarnya, boleh jadi suatu hari dia yang kau benci menjadi orang yang kau cinta" 

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

 

Realitinya, putus cinta sesuatu yang memeritkan. Selain dirundung kesedihan, seseorang yang mengalami putus cinta juga pasti akan kecewa dan amarah hingga mengalami tekanan perasaan. Siapakah yang lebih menderita apabila putus cinta? Lelaki atau wanita? Mengikut kajian yang dijalankan di Binghamton University, Amerika Syarikat oleh Profesor Antrolopogi, ia mendapati wanita lebih cenderung menderita akibat putus cinta dan memerlukan tempoh yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Kesan Buruk Putus Cinta

Ada daripada kita pernah merasai pengalaman putus cinta dan berasa patah hati akibat hubungan yang dibina sudah terputus di tengah jalan. Kesan daripada patah hati itu membuatkan seseorang bukan hanya bersedih tetapi tekanan emosi. Apa yang membuatkannya bertambah parah apabila ia mula memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan fizikal seseorang. Berikut adalah lima tanda patah hati yang boleh menganggu kesihatan mental dan fizikal yang perlu dititikberatkan:

  1. Rasa Tidak Sihat

Kajian membuktikan orang yang patah hati mengalami rasa tidak sedap badan. Kesakitan emosi dan fizikal ini disebabkan pengaktifan sistem saraf simpati dan parasimpati yang menghalang fungsi reaksi seperti melambatkan degupan jantung dan pernafasan. Oleh sebab itu, orang yang sedang patah hati sering mengalami sesak nafas, sakit dada dan demam. 

  1. Suka Bersendirian

Setiap orang yang sedang patah hati lebih suka bersendirian kerana itulah tempoh yang sesuai untuk mereka berehat dan bertenang. Bagaimanapun sekiranya ada yang sampai mula menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan, ia petanda bahaya. 

  1. Tidak Terurus

Sekiranya seseorang itu sudah mula malas mandi atau menjaga penampilan, mereka juga berada pada paras yang bahaya. Ianya adalah lebih baik untuk cuba melawan perasaan patah hati itu dan sekurang-kurangnya menjaga diri sendiri atau dapatkan bantuan dari pakar.

  1. Obses Dengan Hubungan Lalu

Putus cinta dan meneruskan kehidupan dengan orang lain bukan satu perkara mudah. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka masih obses dengan kisah lalu. Ini termasuklah terus menerus melihat (stalk) laman sosial si dia, merayu dan paling membimbangkan sekiranya wujud perasaan ingin balas dendam.

  1. Sukar Tidur

Kebiasaannya mereka yang putus cinta akan mengalami Insomnia (keadaan tidak dapat tidur atau sukar untuk tidur). Ia adalah perkara biasa tetapi akan menjadi luar biasa dan tidak normal apabila ia berpanjangan. Sukar tidur disebabkan memikirkan kisah lalu boleh memberi kesan kepada kesihatan secara keseluruhan. Amalkan pemakanan sihat dan gaya hidup sihat untuk selesaikan masalah ini.

Move On Selepas Putus Cinta

Putus cinta merupakan satu pengalaman yang memeritkan bagi orang yang bercinta. Zaman remaja dan alam percintaan memang tidak dapat dipisahkan. Ia seakan suatu perkara ‘wajib’ yang perlu dilalui oleh golongan ini. Walaupun banyak tegahan telah dinyatakan bahawa dalam ajaran Islam, tiada percintaan sebelum pernikahan, namun masih ramai anak muda tidak mengambil peduli akan hal tersebut. Melainkan jika seseorang itu ingin mengenali hati budi seseorang disertai dengan niat untuk mengahwininya, maka ianya dibolehkan. 

Berdasarkan kajian yang dilakukan di negara bukan Islam oleh Pakar Psikologi, sebelum seseorang remaja menemui cinta sejati, dia akan patah hati sekurang-kurangnya 10 kali. Patah hati yang dimaksudkan boleh disebabkan oleh kekacauan dari pihak ketiga atau berpunca daripada si dia sendiri. Hingga akhirnya menyebabkan mereka sendiri fobia untuk bercinta lagi. Sudahnya, mereka cuba belajar melepaskan dan melangkah ke fasa ‘move on’ dari cinta bertepuk sebelah tangan. 

  1. Beri Masa Pada Diri Sendiri

Tidak dinafikan melupakan seseorang yang pernah bertakhta di hati bukannya perkara yang mudah namun ianya bukanlah mustahil. Cuba bagi masa pada diri sendiri dan andai kata kamu berjaya meloloskan diri dari masalah ini, apakah kesannya? Sudah pasti hidup kamu akan lebih bahagia. 

Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah misalnya seperti keluar bersenam, membaca buku dan sebagainya. Luangkan masa bersama keluarga atau kawan-kawan dengan pergi  melancong atau berkelah. Ianya sangat digalakkan supaya hati dan perasaan dapat terisi dengan ‘sesuatu’ supaya tidak akan melalut pada kisah lalu yang tidak memberi faedah. Cari kawan yang ‘sekepala’ yang boleh membuatmu ketawa.

Jangan sesekali berseorangan kerana ia akan mengingatkan kamu kepada si dia. Jangan bazirkan masa dan perasaan kerana penantian itu memenatkan dan sia-sia. Mulakan hidup baru dan cekal dengan prinsip sendiri. Itu sebaiknya. 

  1. Dekatkan Diri Pada Allah

Selain pendekatan sosial, kita perlu ingat untuk sentiasa memohon keredaan Allah S.W.T agar diberi kekuatan dalam menerima takdir yang ditetapkan-Nya. Allah S.W.T telah memperingatkan kita supaya manusia hanya berserah diri kepada-Nya semata-mata. Berharap kepada manusia belum tentu dibalas dengan kebaikan. Adakalanya kita akan dikecewakan. 

Usah tangisi akan takdir ini kerana setiap orang lain ujiannya. Pernahkah kamu terdengar  kalimah, “La Tahzan, Innallaha Ma’ana” yang membawa maksud ‘Jangan bersedih sesungguhnya Allah bersama kita’?

Kalimah tersebut dapat disimpulkan bahawa Allah S.W.T tidak menuntut kita untuk bersedih dalam pelbagai masalah kehidupan duniawi. Ini adalah kerana sesungguhnya Allah S.W.T itu ada untuk kita dan Insya-Allah kamu akan lebih tenang dan bersemangat untuk hari-hari yang mendatang. Jangan buruk sangka pada takdir Allah S.W.T kerana setiap ketentuan-Nya pasti ada hikmah atau dalam erti kata lain, husnudzon kepada takdir Allah S.W.T.

"Maka sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" 

(Surah Al-Insyirah: 5-6)

  1. Luahkan Pada Orang Yang Terdekat

Tidak seharusnya malu untuk meluahkan perasaan kepada mereka yang terdekat dengan kamu, misalnya ibu bapa atau adik-beradik. Mereka adalah darah daging kamu dan pastinya tidak akan membiarkan kamu bersedih. Sekadar pelukan sahaja pun sudah memadai untuk menenangkan kamu daripada terus berduka. Mungkin juga ada daripada mereka yang pernah menempuh fasa ini dan pastinya tahu bagaimana jalan keluarnya. 

Justeru itu, bagi mereka yang sedang melalui fasa ini, janganlah terlalu bersedih dan perlahan-lahan cuba untuk ‘move on’. Bak kata Ustaz Zul Pandan, ‘move on’ mengajar seseorang untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi perpisahan yang akan datang. Ianya juga dapat mendidik kamu untuk menjadi lebih matang dalam menerima setiap perpisahan. Prinsipnya mudah, jangan mudah putus asa hanya kerana gagal mempertahankan hubungan. 

Beringatlah sentiasa bahawa apa yang Allah S.W.T tuliskan di lauh mahfuz untuk kita, itulah yang terindah. Mungkin dia bukan jodoh kita. Bunga bukan hanya sekuntum dan kumbang bukan cuma seekor.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar