Jangan Terlalu Memilih Dalam Mencari Jodoh
Jangan Terlalu Memilih Dalam Mencari Jodoh
"Salah pilih boleh membuatkan anda merana suatu hari nanti malah ada yang sehingga meragut nyawa.."
Dalam kehidupan di dunia yang sementara ini, ada satu ungkapan berkaitan hidup yang berbunyi ‘hidup ini adalah pilihan, maka buatlah pilihan yang terbaik untuk kepuasan diri’. Perlu diingat, membuat pilihan dalam semua perkara yang anda lakukan adalah perlu bagi mencari keselesaan dan mencapai kebahagiaan.
Dalam konteks jodoh pula, tidak salah jika anda bersikap memilih dalam mencari pasangan hidup. Anda akan hidup bersamanya sepanjang hayat bukan hanya sehari dua. Oleh itu tidak ada salahnya untuk menetapkan beberapa kriteria dalam mencari jodoh namun haruslah berpada.
Dalam pemilihan jodoh, ia seharusnya dilakukan dengan cermat. Ini adalah kerana ianya akan menentukan kebahagiaan seseorang dalam rumah tangga nanti. Salah pilih boleh membuatkan anda merana suatu hari nanti malah ada yang sehingga meragut nyawa.
Julai 2022, kita digemparkan dengan satu insiden di mana seorang suami tergamak mengelar leher isteri dan anak dalam satu kejadian di Johor Bahru. Tragisnya difahamkan wanita itu baru sahaja habis pantang serta bayi tersebut baru berusia 44 hari. Oleh itu anda dinasihatkan untuk teliti dahulu perangai si dia sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Memilih Boleh Tetapi Jangan Terlalu Memilih
Memilih pasangan hidup sudah semestinya tidak semudah membeli ikan di pasar dan setiap perkara yang perlu dilakukan haruslah berhati-hati. Ini kerana banyak aspek yang perlu dititikberatkan dalam proses mencari. Dialah yang bakal menempuh gelora hidup yang penuh pancaroba bersama. Malah dia jugalah yang menjadi kawan, pembimbing, pelindung, pembantu dalam pelbagai aspek kehidupan dalam menguruskan hal rumah tangga nanti.
Oleh kerana itu, tidak ada salahnya jika anda mempertimbangkan banyak kemungkinan dalam soal memilih pasangan agar tidak menyesal di kemudian hari. Bagaimanapun jangan pula terlalu memilih sehingga mengharapkan kesempurnaan pada bakal pasangan anda. Anda harus ingat bahawa dalam dunia ini tidak ada manusia yang sempurna. Namun apa yang anda boleh harapkan adalah meletakkan usaha untuk mencari yang terbaik untuk saling melengkapi kekurangan yang ada.
Dato’ Ustaz Sharhan dalam satu video di aplikasi Tiktok miliknya turut menekankan jangan terlalu memilih sangat dalam soal mencari jodoh kerana usia kita semakin meningkat, jadi jangan terlalu jual mahal, risau tidak laku.
Kriteria Mencari Jodoh
Dalam hal mencari jodoh, Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud,
“Seorang wanita dinikahi kerana empat (4) sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.”
(HR Bukhari dan Muslim)
Jelas dalam hadis ini bahawa dalam usaha mencari pasangan, perkara yang perlu diperhatikan oleh kaum lelaki dalam diri calon pasangan itu ialah hartanya; kaya atau tidak. Seterusnya adalah keturunannya; apakah dia berasal dari keturunan yang baik-baik dan kecantikannya; rupa paras. Dan kemudian barulah agamanya; apakah dan amalan agamanya. Namun, Islam menyarankan bahawa sebaik-baik pilihan adalah pilihan yang dibuat berdasarkan kepada kepada faktor agama.
Dalam hal mencari jodoh ini, bukan kaum Adam sahaja yang berhak untuk memilih, kaum wanita juga berhak untuk memilih pasangannya. Perkara ini jelas dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud,
“Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di atas muka bumi, dan kerosakan yang berpanjangan.”
(HR At-Termidzi)
Melalui hadis kedua ini, Rasulullah S.A.W berpesan kepada para wali supaya memilih calon suami untuk anaknya dalam kalangan orang yang memiliki agama dan akhlak yang mulia. Calon suami yang memiliki ciri-ciri ini diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan sebaik-baiknya. Memelihara hak-hak dan kehormatan ahli keluarga, mendidik isteri dan anak-anak serta memberi nafkah sewajarnya.
Walaupun dalam Islam wali boleh mencarikan jodoh untuk anak perempuannya, namun dengan peredaran masa, orang muda lebih cenderung memilih jodoh mereka sendiri. Ibu bapa juga tiada halangan dengan perkembangan ini kerana pada akhirnya, anak-anak akan merujuk ibu bapa masing-masing kerana itulah tuntutan agama dan budaya kita apabila mereka mahu mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, keserasian bersama menjadi faktor utama sebuah rumah tangga mampu bertahan. Kalau boleh carilah pasangan yang sama prinsip dengan anda untuk lebih memahami dan mendapat keserasian. Malah Ustazah Nor Bahyah dalam segmen Tanyalah Ustaz juga sering menekankan tentang faktor keserasian kerana ianya amat penting dalam rumah tangga nanti.
Jangan Terburu-buru Dalam Memilih Jodoh
Semasa proses pencarian jodoh atau dalam perhubungan, setiap keputusan yang dibuat perlulah difikirkan terlebih dahulu dan perlu perbincangan supaya sikap terburu-buru tidak akan terjadi. Terburu-buru adalah sikap yang tidak perlu ada dalam diri setiap manusia. Sikap ini menjadikan seseorang itu kerap tersalah langkah dan kemudian menyesal di kemudian hari. Bak kata pepatah, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.
Anda dinasihatkan untuk bertenang dan berfikir sebelum bertindak dalam pemilihan jodoh. Allah S.W.T kurniakan akal bukan untuk dibiarkan begitu sahaja. Akal digunakan untuk berfikir dan antaranya untuk membezakan baik dan buruk. Ambil contoh apabila seseorang lelaki minat pada seorang wanita tetapi atas dasar kecantikannya sahaja tanpa memikirkan sifat dalaman wanita itu. Sedangkan rupa yang cantik tidak menjamin akan kekal kerana usia akan menewaskan rupa sedikit demi sedikit.
Begitu juga bagi seorang wanita, dia melihat kepada rupa paras lelaki itu yang tampan membuatkan dia sudah lupa tujuan asal dia untuk berkahwin. Walhal rupa yang tampan tidak semestinya memberi jaminan yang baik dalam rumah tangga nanti. Saya tertarik dengan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Prof. Muhaya di dalam ceramahnya suatu ketika dulu. Beliau menyebut ‘wanita paling malang adalah wanita yang tersalah pilih suami’
Tambah beliau, jika suaminya seorang pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab, maka ia akan menjadi syurga bagi si isteri. Jika sebaliknya, hidup si isteri akan menjadi neraka buatnya. Di atas keperluan inilah anda disarankan untuk tidak terburu-buru dalam memilih pasangan untuk memastikan bakal suami atau isteri adalah orang yang mampu menjaga anda nanti.
Istikharah dalam membuat keputusan
Sebagai orang yang beragama Islam, Istikharah amat digalakkan untuk menyelesaikan jalan yang buntu atau ingin membuat sesuatu keputusan. Masa yang diberikan selama berkenalan jangan dipersiakan sebaliknya cuba mengenali pasangan dengan baik.
Dalam proses berkenalan seharusnya dapat mengenali seseorang itu dari segi sikap, sifat, dan pertuturan. Ambil masa yang diperlukan dan tidak perlu terburu-buru kerana dengan izin Allah S.W.T, perhubungan tersebut mungkin boleh melangkah ke alam perkahwinan. Selepas sampai satu tempoh anda berpuas hati dan yakin terhadap pasangan, lakukan solat istikharah dan berdoa supaya diberikan petunjuk dan pilihan yang anda buat adalah tepat.
Jangan hanya lakukan sekali, lakukan berulang kali supaya Allah S.W.T berikan petunjuk. Keputusan kita pada hari ini akan menentukan nasib kita pada hari esok. Jika kita membuat keputusan mengikut petunjuk dari Allah S.W.T, maka kita akan berasa lebih tenang untuk menempuh hari-hari mendatang. Apabila kita mencari jodoh yang diredhai oleh Allah S.W.T pula, kita akan dapat membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan dirahmati selalu. Sekiranya berasa dialah jodoh anda, maka jangan tangguh untuk menghalalkan perhubungan tersebut.
Saya ingin tegaskan di sini, memilih bukanlah suatu kesalahan. Malah di dalam mencari jodoh, memilih merupakan keperluan bagi mendapatkan calon suami atau isteri yang terbaik. Namun ianya memerlukan kesabaran yang tinggi. Setiap orang mungkin berbeza ujiannya. Ada yang cepat mendapat jodoh, namun ada yang lambat. Apa yang perlu dilakukan adalah usaha. Jangan pernah berputus asa daripada berusaha.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?