Himpunan Doa Bagi Mereka Yang Sedang Mencari Jodoh
Himpunan Doa Bagi Mereka Yang Sedang Mencari Jodoh
Jodoh tetap terserah pada Allah S.W.T. Jadi doa-doa ini hanyalah sebagai ‘jambatan’ untuk kita memohon pertolongan-Nya...
Hari ini, ramai antara kita terutamanya orang muda yang berkata bahawa jodoh itu susah dicari. Sebenarnya agama Islam menggariskan pelbagai usaha yang boleh dilakukan untuk menjemput jodoh terutamanya dari segi ibadah. Contohnya, kita boleh menunaikan solat sunat hajat, berzikir dan juga berdoa. Oleh itu, berikut adalah beberapa doa yang boleh diamalkan buat mereka yang sedang mencari jodoh. Harus diingatkan bahawa kita hanya mampu berikhtiar. Jodoh tetap terserah pada Allah S.W.T. Jadi doa-doa ini hanyalah sebagai ‘jambatan’ untuk kita memohon pertolongan-Nya dan bukan satu penyelesaian yang mutlak.
1. Surah Al-Anbiya, ayat 89
Berikut adalah potongan ayat tersebut:
وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْداً وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi".
Sesetengah orang menggelar ayat ini sebagai ‘Doa Nabi Zakaria’. Menurut sumber-sumber yang kami baca, ayat ini berkisah tentang Nabi Zakaria yang memohon doa kepada Allah agar dikurniakan keturunan (zuriat) agar Baginda boleh mewariskan peranan kenabian kepada keturunannya.
Doa ini bukan sahaja sesuai untuk diamalkan oleh mereka yang sedang mencari jodoh, tetapi dalam masa yang sama boleh juga diamalkan oleh pasangan yang menantikan cahaya mata. Apapun, berdoalah dengan penuh ikhlas dan istiqamah. Semoga amalan ini diberkati oleh Ilahi dan ditemukan kita dengan si dia. Sebelum berdoa, bersihkan dulu hati kita. Berserah sepenuhnya kepada Allah S.W.T dan jangan biarkan pandangan peribadi kita mengaburi petunjuk yang Dia berikan.
2. Surah Al-Furqan, ayat 74
Berikut pula adalah ayat seperti yang dinyatakan di atas:
وَالَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا
Maksudnya: Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”
Amalkan doa ini bukan sahaja untuk memohon jodoh, tapi juga meminta jodoh yang menjadi penyejuk mata. Apa maksudnya? Maksudnya seorang kekasih yang mulia, beriman, setia dan mampu memimpin kita ke arah yang diredhai oleh Allah. Perkahwinan itu bersifat aman, bukanlah bersifat kalut atau haru-biru. Jika perjalanan menuju perkahwinan itu tidak membahagiakan, mungkin ada perkara yang perlu kita perhatikan.
Justeru, amalkanlah doa ini sebagai ikhtiar untuk mendapatkan seorang jodoh yang baik. Sebagai manusia, kita tidak tahu ‘baik’ itu bagaimana sebenarnya. Atas sebab itulah kita meminta petunjuk Ilahi untuk memberikan yang terbaik bagi-Nya buat diri kita.
3. Surah al-Qasas, ayat 24
Seterusnya adalah doa daripada Surah al-Qasas, ayat 24:
رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".
Ada juga yang mengenali doa ini sebagai doa Nabi Musa. Secara amnya, ayat ini boleh dibaca untuk memohon sebarang kebaikan atau rezeki daripada Allah Azzawajalla. Menurut rujukan kami, ada juga ulama yang menyimpulkan bahawa ‘rezeki’ yang digambarkan dalam ayat tersebut merujuk kepada jodoh. Ini kerana jodoh juga adalah satu kebaikan yang dapat mendekatkan diri kita kepada-Nya.
Apapun pandangannya, doa ini boleh dibaca selalu, misalnya ketika setiap kali selepas solat fardhu. Insya-Allah, dengan ihsannya, Dia akan mengurniakan jodoh yang baik buat kita.
4. Doa Lazim
Seterusnya adalah doa lazim yang boleh dibaca oleh kaum Adam yang bujang di luar sana untuk mendekatkan jodoh. Doanya adalah seperti berikut:
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ زَوْجَةً طَيِّبَةً أَخْطُبُهَا وَأَتَزَوَّجُ بِهَا وَتَكُوْنُ صَاحِبَةً لِى فِى الدِّيْنِ وَالدُنْيَا وَالْأَخِرَةِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, berikanlah kepadaku isteri yang terbaik dari sisi-Mu, isteri yang aku lamar dan nikahi dan isteri yang menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat.”
Buat kaum Hawa yang bujang pula, anda boleh baca doa seperti yang di bawah:
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ زَوْجًا طَيِّبًا وَيَكُوْنُ صَاحِبًا لِى فِى الدِّيْنِ وَالدُنْيَا وَالْأَخِرَة
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, berikanlah kepadaku suami yang terbaik dari sisi-Mu, suami yang juga menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat.”
Sambil kita berdoa, jangan lupa untuk niatkan dalam hati bahawa kita ingin berkahwin kerana Allah Taala dan sesungguhnya kita yakin akan perancangan-Nya.
Walau apa sahaja hajat kita sama ada jodoh ataupun perkara lain, berdoa dan beribadahlah dengan ikhlas untuk memohon kebaikan dari Ilahi. Seperti yang kita selalu ungkapkan terutamanya dalam majlis-majlis keraian, “yang baik datang daripada Allah, yang buruk datang daripada diri kita sendiri”. Namun begitu, ingin kami tegaskan di sini bahawa doa-doa ini hanyalah sekadar cadangan sahaja untuk anda amalkan. Tidaklah kami mengatakan bahawa apabila kita baca doa-doa ini, “jodoh akan terus sampai ke rumah”. Ini juga tidak bermakna yang kalau anda mahukan seorang calon, anda mesti membaca doa-doa tadi. Sebaliknya, seperti yang kami nyatakan di awal tadi, ini hanyalah sebagai ikhtiar kita selaku manusia biasa.
Secara umumnya, anda boleh membaca apa-apa doa yang baik untuk menyampaikan hajat kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar. Contohnya, lafazkan saja, “Ya Allah, aku berhajat untuk berkahwin. Temukanlah aku dengan seseorang yang baik dan beriman. Amin…” Selagi doa itu memohon sesuatu yang betul dan tidak memudaratkan, insya-Allah tidak akan tertolak doa tersebut.
Sesudah kita berusaha, jika jodoh belum juga tiba, redha saja dengan kehendak-Nya dan jangan bersangka buruk kepada Ilahi. Mungkin jodoh itu ada tetapi belum sampai waktunya. Segala aturan dan ujian yang Dia berikan adalah untuk kebaikan kita sendiri. Insya-Allah, semoga kita semua menjadi insan yang mulia di sisi Allah S.W.T.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?