Kenali Pasangan Dulu Baru Fikir Soal Kahwin

Kenali Pasangan Dulu Baru Fikir Soal Kahwin

"Tidak semua yang kita ingin di dunia mampu menjadi hak kita. Sama juga seperti cinta, kita mampu mencintai seseorang tetapi tidak semestinya kita mampu memilikinya.."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

Setiap insan ingin memiliki perasaan dicintai dan mencintai. Rasa cinta yang datang akan membawa seribu kemanisan kepada mereka. Perasaan dan cinta inilah yang menerbitkan rasa ingin berkorban, melindungi dan mempertahankan sesuatu yang disayangi dan dicintai itu. 

Apabila seseorang itu sedang dilamun cinta, mereka seolah-olah seperti sedang angau. Ada satu adegan dalam filem lakonan Allahyarham P.Ramlee berjudul Pak Belalang yang mengutarakan berkenaan penyakit angau. Apabila mereka diserang penyakit angau, mereka akan jadi tidak tentu arah, lupa diri dan ada yang tidak lalu makan. 

Bak kata pepatah, mandi tak basah dan tidur tak lena memikirkan si jantung hati. Situasi ini benar-benar parah bagi mereka yang sedang berhadapan dengan cinta. Malah sehingga ada yang tidak dapat mengawal emosi mereka sendiri yang membawa kepada kemudaratan. Namun kadang-kala cinta itu mampu membuatkan manusia buta. Bukan buta kerana memandang harta atau rupa tetapi memandang cinta yang tulus suci. Sebab itu apabila mahu lakukan apa-apa sekalipun kita dinasihatkan untuk tidak terburu-buru. 

Jangan Terlalu Taksub Dengan Cinta

Sejak azali lagi naluri manusia memang ditentukan untuk mempunyai perasaan kasih sayang dan cinta terhadap mereka yang berlawanan jantina. Malah ada juga yang sanggup bermati-matian mengejar dan berjuang demi memiliki orang yang mereka cintai. Namun pernahkah mereka terfikir bahawa apabila mereka terlalu mengejar atau obses dengan cinta terhadap pasangan sehinggakan mereka lupa terhadap yang Maha Pencipta?

Tidak semua yang kita ingin di dunia mampu menjadi hak kita. Sama juga seperti cinta, kita mampu mencintai seseorang tetapi tidak semestinya kita mampu memilikinya. Dalam sedar tak sedar, kita sudah menjadi hamba kepada cinta sehingga yang penting dilupakan. Malah apa yang berlaku di sekeliling pun dikatanya baik sehingga boleh menolak keluarga demi cinta.  Jangan sesekali membiarkan cinta menakluki diri kita. 

Akhbar Sinar Harian pada Ogos 2013 ada memaparkan sebuah kisah duka seorang gadis yang sanggup melarikan diri meninggalkan keluarga demi sebuah cinta. Malah disebabkan tindakan itu juga mereka juga telah terlanjur beberapa kali. Gadis itu berkata segala-galanya berubah apabila dia mengenali lelaki itu yang dianggapnya sebagai pelindung apabila lelaki itu selalu memberi kata-kata semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan. 

Inilah yang dikatakan terlalu taksub dalam bercinta sehingga maruah diri tergadai. Jangan terlalu taksub dan asyik dengan cinta tanpa ada penilaian dan pertimbangan akal fikiran yang waras.

Pertama Kali Berasa Nikmat Cinta

Dalam cinta biasanya tersimpan seribu macam perasaan yang amat sukar digambarkan. Bermula dengan rasa suka, hati berdetak, mulut tersenyum tanpa bicara, muka bertambah seri, dan akhirnya cinta itu menjadi milik kita. Amat mudah untuk melafazkan cinta tetapi amat mudah juga melupakan cinta. Cinta sebenarnya merupakan satu fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia. Cinta wujud hasil daripada satu perasaan yang halus.

Cinta yang hanya berlandaskan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan hina. Oleh hal yang demikian, sebagai remaja, sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa. Iaitu dengan lebih memahami makna dan erti serta cara yang sesuai untuk menerima dan menzahirkan cinta kepada seseorang. Jangan hanya membuta tuli dan mengikut tuntutan nafsu semata.

Harian Metro pada Julai 2019 ada melaporkan tentang kisah seorang wanita berusia 22 tahun mula terlanjur sejak dua tahun lalu dengan teman lelakinya (yang baru dikenalinya) dan mengandung anak luar nikah pada Februari 2018. Iktibar yang dapat diperoleh dari kisah cinta yang malang ini adalah remaja perlu berhati-hati dengan mainan perasaan walaupun merupakan perkara yang amat sukar dilakukan, apatah lagi semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam. 

Jangan Terburu-buru

Semasa dalam proses suai kenal, setiap keputusan yang dibuat perlulah difikirkan terlebih dahulu dan perlu perbincangan supaya sikap terburu-buru tidak akan terjadi. Terburu-buru adalah sikap yang tidak perlu ada dalam diri setiap manusia. Sikap ini menjadikan seseorang itu kerap tersalah langkah dan kemudian menyesal di kemudian hari. Bak kata pepatah, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. 

Bagi yang beragama islam, istikharah amat digalakkan di dalam agama untuk menyelesaikan jalan yang buntu atau ingin membuat sesuatu keputusan. Masa yang diberikan selama berkenalan jangan dipersiakan dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah, sebaliknya cuba mengenali pasangan dengan baik. 

Dalam proses berkenalan seharusnya dapat mengenali seseorang itu dari segi sikap, sifat, dan pertuturan. Ambil masa yang diperlukan dan tidak perlu terburu-buru kerana dengan izin Allah, perhubungan tersebut mungkin boleh melangkah ke alam perkahwinan. Berfikir, berbincang dan istikharah sebelum bertindak adalah kunci utama dalam perhubungan.

Tidak cukup kenal pasangan

Kita hanya akan benar-benar mengenali pasangan kita setelah kahwin dengannya. Apabila sudah berkahwin, barulah segala rahsia serta kelemahan diri terbongkar. Jangan cakap sudah kenal pasangan 10 atau 20 tahun sebelum ini dah tahu hati budi pasangan. Sebenarnya selagi kita belum kahwin dan tidur sebantal, selagi tu kita tidak kenal dia sepenuhnya. Hanya selepas kahwin baru kita nampak perangai pasangan kita yang sebenar.

Jangan ingat kahwin hanya kerana ingin berseronok semata-mata dan menghalalkan hubungan. Kena fikir apa tanggungjawab kita selepas kahwin. Perkahwinan menuntut persefahaman dan jalinan komunikasi yang berkesan antara kedua-dua pasangan. Suami perlu belajar dan berusaha mengenali isteri, begitu juga isteri berusaha mengenali suami. Begitulah lumrah kehidupan selepas berkahwin.

Mstar Online ada melaporkan disebabkan oleh kegagalan untuk mengesan sikap buruk pasangan semasa di alam percintaan, banyak pasangan yang terkandas terutama ketika di awal usia perkahwinan mereka. Ketika ini kes-kes tuntutan cerai meningkat setiap tahun yang dianggarkan 33 kes berlaku setiap hari.

Oleh itu kenali dan dalamilah sikap pasangan masing-masing sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Ianya sangat penting supaya kita sentiasa bersedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan pada masa akan datang. 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar