Mengenali Orang Bermasalah Sewaktu Mula Berkenalan Untuk Mencari Jodoh
Mengenali Orang Bermasalah Sewaktu Mula Berkenalan Untuk Mencari Jodoh
Orang yang bermasalah boleh datang dalam pelbagai rupa. Baik lelaki atau wanita, pilihlah dengan cermat orang yang hendak kita hampiri.
Kita semua mengetahui bahawa jodoh merupakan ketentuan daripada Allah sejak sebelum kita dilahirkan lagi. Kita semua adalah manusia biasa yang pastinya inginkan kebahagiaan daripada seorang suami atau isteri yang baik. Ayat al-Quran ada menyebut, maksudnya:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
(Surah Ar-Rum, Ayat 21)
Walau bagaimanapun, ujian turun kepada sesetengah orang di mana Allah hadirkan mereka dengan seorang calon yang tidak menepati kriteria ataupun bermasalah. Walaupun perkara ini kerap berlaku, kita patut bersyukur kerana ujian tersebut hadir sebelum satu-satu ikatan itu dijalinkan. Maksudnya, kita masih mempunyai masa untuk membuat keputusan yang dirasakan tepat. Jika kita menyedari hal ini sesudah berkahwin, maka masalah yang timbul akan menjadi lebih rumit untuk diselesaikan. Oleh itu, macam mana untuk mengenali orang bermasalah sewaktu mula berkenalan untuk mencari jodoh?
1) Lihat Personaliti Atau Tingkah Laku Orang Tersebut
Sewaktu mula berkenalan dengan seseorang, perkara pertama yang perlu kita perhatikan adalah personaliti ataupun tingkah laku orang tersebut ketika berinteraksi dengan kita. Teliti gaya percakapannya, gerak tubuhnya, pandangan matanya dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, walaupun kita berkenalan dengan seorang lelaki yang matang dan berkeyakinan tinggi, mereka mesti akan menunjukkan juga rasa malu ketika mula bertemu. Kalau lelaki tersebut kelihatan sangat selesa dan tidak kekok langsung ketika di awal perkenalan, mungkin ianya kerana dia sudah melalui pengalaman tersebut sebelum ini.
Dalam hal ini, si wanita perlu bijak dalam mengatur langkah. Cuba dalami niat sebenar lelaki tersebut menyapa kita. Jika niatnya memang baik, maka teruskanlah hubungan itu kalau ada keserasian di antara kalian berdua. Tetapi jika dia kelihatan seperti ingin bermain-main sahaja atau tidak mampu untuk memberi komitmen, maka jauhkanlah diri dari awal. Pada masa yang sama, ada juga wanita yang bermasalah sewaktu hendak memulakan perhubungan yang serius. Ada yang terlalu cerewet dan ada pula yang tidak mahu mengalah dalam apa-apa keadaan.
Orang yang bermasalah boleh datang dalam pelbagai rupa. Baik lelaki atau wanita, pilihlah dengan cermat orang yang hendak kita hampiri. Semoga Allah sentiasa memberi panduan kepada kita. Justeru, cuba langkah ini terlebih dahulu jika anda ingin melihat sama ada orang itu bermasalah atau tidak. Orang mungkin boleh berpura-pura tetapi mereka tidak boleh menipu selama-lamanya.
2) Gagal Berkomunikasi Dengan Baik Dan Jelas
Pendapat kami yang kedua pula adalah berkaitan dengan cara seseorang itu berkomunikasi. Orang yang bermasalah biasanya tidak dapat bercakap dengan baik dan jelas. Kebiasaannya mesej yang cuba disampaikan sukar difahami walaupun diulang berkali-kali. Hal ini mungkin terjadi kerana mereka tidak berlaku jujur ketika bercakap dan ungkapan tersebut difikirkan secara spontan sahaja. Selain itu, orang yang bermasalah juga selalu berahsia terhadap diri mereka. Tanyalah apa-apa soalan. Mereka akan cuba mengelak atau mengubah topik perbualan.
Kalau kita serasi dengan seseorang, proses komunikasi itu akan berjalan dengan lancar walaupun baru berkenalan. Perbualan kita akan terasa mesra dan menarik biarpun kedua-duanya masih segan dengan satu sama lain. Jika hal ini tidak terjadi, maka ada isu yang perlu dilihat di antara kedua-dua orang calon. Di sini bukanlah kami cadangkan untuk anda menolak orang itu mentah-mentah, cuma anda perlu berwaspada dan pertimbangkan semua jalan yang ada.
3) Tidak Memaklumkan Tentang Kita Kepada Keluarganya
Selain itu, orang yang bermasalah juga akan keberatan untuk memberitahu keluarga mereka tentang urusan perkenalan ini. Walaupun baru berkenalan atau berjumpa, tetapi perkara ini sepatutnya dikongsi bersama keluarga supaya fitnah tidak timbul. Di samping itu, ibu bapa kita juga boleh memerhatikan interaksi di antara kita dan si dia. Mereka turut boleh memberi nasihat yang berguna jika perlu. Namun begitu, kalau si dia enggan memaklumkan tentang hubungan tersebut, mungkin dia sengaja menyembunyikannya atas kepentingan peribadi ataupun dia tidak serius untuk membina ikatan yang ada.
Sebagai ibu bapa, kami yakin mereka mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Jika mereka merestui hubungan kita, maka itu satu khabar yang gembira. Tetapi jika mereka tidak setuju, hal ini mungkin kerana mereka curiga terhadap sesuatu dan beranggapan bahawa hubungan tersebut tidak akan kekal. Sungguhpun begitu, mereka tetap berhak untuk mengetahui dengan siapa kita berjumpa dan berkenalan. Dengan restu mereka, barulah semuanya akan menjadi lebih lancar. Sambil-sambil itu, jangan lupa untuk terus berdoa kepada Ilahi supaya segala urusan kita dipermudahkan.
4) Lihat Media Sosialnya
Salah satu alternatif lain untuk mengetahui sama ada si dia bermasalah atau tidak adalah dengan melihat media sosialnya. Dalam keadaan ini, cuba lihat siapa yang diikuti, dia berhubung dengan siapa, cara penulisannya dalam media sosial dan sebagainya. Lelaki yang baik akhlaknya akan tetap menjaga mata dan mulut walaupun sewaktu menggunakan media sosial.
Sebagai contoh lain, sekiranya dia sering menggunakan bahasa-bahasa yang kasar ketika menulis ‘status’ di media sosial, ini menunjukkan sifatnya yang tidak bersabar dan semberono (sembarangan) sahaja dalam melakukan sesuatu. Pihak lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang sama rata dalam perkara ini. Kedua-duanya perlulah menjaga adab dan tutur kata walaupun dalam menggunakan platform atas talian (online). Atas sebab itu, perwatakan seseorang di laman sosial boleh dijadikan kayu pengukur untuk melihat sama ada dia bermasalah ataupun tidak.
5) Mempunyai Keraguan Yang Berlebihan Terhadap Kita
Akhir sekali, seseorang calon itu boleh dianggap bermasalah jika dia mempunyai keraguan yang berlebihan terhadap kita sewaktu mula berkenalan atau bertemu. Memang betul, sikap berhati-hati itu penting terutamanya dalam soal mencari jodoh. Namun sifat ragu-ragu yang berlebihan akan merosakkan suasana yang ada. Ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu langsung tidak terbuka untuk menerima kehadiran seseorang yang baru dalam hidupnya. Keraguan itu biasa tapi perasaan tersebut perlu dikawal dengan akal fikiran yang terbuka.
Kalau si dia langsung tidak mempercayai kita, bagaimana kita hendak pastikan hubungan itu berlanjutan ke arah yang lebih jauh? Sebagai seorang manusia biasa, kita perlukan keseimbangan dalam hidup. Sayang biar berpada, takut juga biar berpada. Orang lain hanya mampu memberikan nasihat tetapi kita yang harus memilih jalan yang terbaik. Seeloknya, ambillah tindakan berlandaskan ajaran Islam dan bercintalah apa adanya. Sekali lagi, jika dia memang baik, maka teruskanlah hubungan itu. Jika tidak, usah menyakiti perasaan satu sama lain.
Apa Yang Perlu Dibuat Jika Kita Bertemu Dengan Calon Yang Bermasalah?
Jika di awal artikel tadi kami sudah huraikan cara-cara mengenali calon yang bermasalah, di sini kami huraikan pula apa tindakan yang wajar diambil jika kita bertemu dengan orang yang seperti itu.
1) Bawa Bersabar Dan Lihat Jika Dia Boleh Berubah
Merujuk kepada kata-kata tadi, ketidaksempurnaan menjadikan kita sempurna sebagai manusia. Maka jika kita berdepan dengan seorang calon yang bermasalah, jangan gopoh untuk terus meninggalkannya. Sebaliknya, bawa bersabar dan ajak si dia untuk melakukan kebaikan. Beri kata-kata yang positif untuk menggalakkan si dia untuk berubah. Kalau dia sememangnya berubah, maka panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana telah membuka hati orang tersebut. Ini juga menunjukkan bahawa dia serius untuk meneruskan hubungan yang ada.
Namun jika kita sudah berusaha sehabis baik dan dia masih berada di takuk yang sama, jadi mungkin keputusan yang sesuai adalah untuk mengundur diri daripada proses perkenalan itu. Barangkali Allah sudah mengaturkan orang yang lebih baik buat kita dan si dia.
2) Berdoa Agar Allah Membuka Hati Kita Dan Si Dia Serta Memberi Kita Petunjuk
Di samping itu, kita patut sentiasa berdoa agar Allah memberi petunjuk dan kemudahan kepada kita. Doalah tanpa jemu supaya yang baik didekatkan, yang buruk dijauhkan. Sesudah itu, apapun kesudahannya antara kedua-dua calon, redhalah kerana kita pasti itu adalah yang terbaik. Mungkin orang yang kita anggap bermasalah itu sememangnya adalah jodoh kita dan masalah yang timbul hanyalah ujian-Nya semata-mata. Dengan bantuan Allah, segala masalah dapat diselesaikan dan hubungan yang bahagia dapat dibina. Baginda S.A.W bersabda, maksudnya:
”Jika datang kepada kalian sesiapa yang kalian redha akan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia. Jika kalian tidak melakukannya maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan.”
(Riwayat al-Tabarani)
Yang penting, kita meletakkan cinta kita pada Yang Esa terlebih dahulu sebelum kita meletakkan cinta pada manusia. Itulah permulaan kepada hubungan yang berkekalan.
3) Jika Urusan Menjadi Semakin Sulit Dan Hati Kita Tidak Tenang, Maka Undur Diri Secara Sopan Dan Belajar Daripada Kesilapan
Petunjuk Allah datang dalam macam-macam cara. Ini mungkin salah satu daripadanya. Selepas kita berdoa dan melakukan Istikharah misalnya, hati kita masih berasa berat untuk meneruskan hubungan dengan si dia, maka sudah tiba masa untuk melepaskan ikatan tersebut. Allah tidak akan menyukarkan urusan kita selain untuk memberi kebaikan yang lebih besar. Apabila hubungan cinta tidak menjadi, janganlah gusar atas apa yang berlaku. Sebaliknya, belajar daripada kesilapan agar kita mempunyai pengalaman yang bernilai untuk dibawa pada masa akan datang. Undur diri secara berhemah dan doakan kebahagiaan masing-masing.
Oleh itu, carilah seorang insan yang baik seperti yang dituntut, tapi jika si dia bermasalah, cuba selesaikan selagi mampu. Siapa tahu, dengan kehadiran kita dia mampu untuk memperbaiki hidupnya. Walau bagaimanapun, jangan pula mengharap pada yang tak pasti. Jika dia bukan jodoh kita, akan terlepas jua. Ingat, yang paling penting adalah memperbetulkan niat kita mencari jodoh kerana Allah. Di samping itu, minta pendapat keluarga sama ada si dia sesuai atau tidak dengan kita. Siapa yang lebih mengenali kita selain keluarga sendiri, bukan? Semoga kita semua akan mendapat seorang suami atau isteri yang melengkapi hidup kita nanti. Amin…
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?