Tips Apabila Disapa Suami Orang
Tips Apabila Disapa Suami Orang
Walaupun dia datang secara baik, tetapi sebaiknya lindungi diri anda supaya tidak mudah jatuh dengan kata-kata lelaki tadi.
Perasaan cinta merupakan satu anugerah daripada Ilahi. Tidak kira siapa kita, setiap orang berhak untuk menikah bagi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Pernikahan menyatukan dua insan yang menyayangi satu sama lain dalam ikatan yang sah. Pasangan yang sudah berkahwin pula boleh melakukan apa sahaja bersama asalkan perkara tersebut tidak memudaratkan atau melanggar hukum syarak. Namun bagaimana pula keadaannya jika orang yang menyapa anda adalah suami orang? Mungkin anda mengharapkan seorang lelaki bujang, sebaliknya yang datang menegur adalah orang yang berpunya pula. Kemudian adakah perbuatan ini menyalahi hukum-hukum agama? Apapun persoalannya, di sini kami huraikan serba sedikit tips yang boleh dilakukan jika anda disapa suami orang.
1) Kuatkan Hati Dan Jaga Maruah Diri
Pada awal perkenalan, seorang wanita pasti akan berasa terkejut apabila disapa oleh seseorang yang sudah berkahwin. Pada ketika itu, dia mesti tertanya-tanya dari mana lelaki itu datang dan apa sebenarnya hajat orang berkenaan. Walaupun dia datang secara baik, tetapi sebaiknya lindungi diri anda supaya tidak mudah jatuh dengan kata-kata lelaki tadi. Kuatkan hati agar sentiasa bersedia untuk berundur apabila perlu. Pada masa yang sama, jaga maruah diri anda sebagai seorang wanita. Kalau dia cuba mengurat anda secara berlebihan dan menabur kata-kata yang manis, tegaskan bahawa cinta anda hanyalah untuk orang yang berhak menerimanya sahaja. Jika lelaki tersebut benar-benar mahu berkenalan, beri cadangan kepadanya untuk menggunakan ruang yang betul supaya tidak timbul fitnah.
Selain itu, anda juga mesti tidak mahu menimbulkan sebarang konflik dengan isteri si lelaki. Oleh kerana perkenalan itu masih berada di fasa awal, maka jarakkan diri terlebih dahulu dengan si lelaki sehinggalah anda yakin akan niatnya.
2) Tanya Niat Orang Tersebut Dan Kehendaknya
Melihat kepada perkara ini, kalau lelaki tersebut betul-betul ikhlas untuk berkenalan, dia tidak akan berdolak-dalih dalam menyatakan niat sebenarnya. Kalau dia memang mahu mencari seorang isteri yang baru, pertama sekali minta dengannya sedikit ruang dan masa untuk anda berfikir. Semua orang mengetahui bahawa bermadu itu bukan mudah dan topik ini merupakan isu yang sangat sensitif dalam kalangan wanita. Jika si lelaki tampak serius untuk meneruskan hubungan, kami cadangkan agar anda berhubung dengan beberapa orang terlebih dahulu. Contohnya, dapatkan maklum balas daripada ibu bapa dan keluarga anda, isteri pertama si lelaki, rakan-rakan dan para ilmuwan yang terdekat.
Di samping itu, tunaikan amalan-amalan sunat seperti solat sunat Istikharah dan berdoa selalu agar Allah memberi anda petunjuk dalam hal ini. Sungguhpun begitu, pilihan tetap terletak di tangan anda. Anda mempunyai hak untuk menolak sapaan ini jika anda berasa tidak selesa dengan lelaki tersebut. Mungkin ini kelihatan seperti ujian yang berat, tapi ingatlah bahawa Allah tidak menguji kita lebih daripada apa yang kita mampu. Teruskan perkenalan jika ia membuat anda gembira dan semua orang senang dengan keputusan itu. Jika tidak, sebaiknya kami sarankan anda menolak dengan baik. Banyak hal yang perlu dipertimbangkan dalam perkara ini. Misalnya, persetujuan isteri pertama, kemampuan si lelaki untuk bersikap adil dan restu ibu bapa terhadap hubungan yang kita bina.
3) Khabarkan Perkara Ini Kepada Ibu Bapa
Apabila kita berhadapan dengan isu yang rumit seperti ini, molek rasanya jika kita kongsikan perkara ini dengan ibu bapa. Disebabkan mereka berusia dan lebih berpengalaman, mereka pasti mempunyai pendekatan yang lebih lembut dan tersusun. Selain itu, mereka juga boleh memberi kata putus sama ada anda perlu meneruskan hubungan itu atau tidak. Jika mereka tidak bersetuju, maka anda tahu perkara yang perlu dibuat. Jika mereka berlapang dada dengan perkara ini, maka terserah kepada anda untuk membuat keputusan. Apapun respon mereka, seperti yang kami katakan tadi, anda tetap berhak untuk menentukan nasib anda sendiri.
4) Kurangkan Komunikasi Dengan Si Lelaki Untuk Mengelakkan Fitnah
Dalam anda memikirkan keputusan yang terbaik sewaktu awal perkenalan, seeloknya kami cadangkan agar anda mengurangkan komunikasi dengan lelaki tersebut. Walaupun niatnya baik, dia masih mempunyai seorang isteri manakala anda pula masih tidak mempunyai hubungan yang sah dengannya. Kalau dia mendesak, tegaskan pendirian anda untuk berhubung hanya apabila perlu sahaja. Beritahu si lelaki juga bahawa anda menghormati isterinya dan tidak mahu mengecilkan hati si isteri.
Fitnah boleh terjadi dengan pelbagai cara. Oleh itu, cubalah sebaik mungkin untuk mengelakkan diri daripada fitnah dan perkara-perkara yang mendatangkan kemungkaran. Anda mempunyai harga diri dan si lelaki mestilah menghormatinya.
5) Jika Dia Benar-Benar Ikhlas Dan Anda Bersetuju, Minta Dia Berjumpa Dengan Ibu Bapa Anda Dan Adakan Perbincangan Dengan Isterinya Juga
Akhir sekali, jika hubungan itu sudah berterusan dan anda memang sudah terbuka hati untuk menerima lelaki tadi, maka adakan mesyuarat di antara anda, si lelaki, isterinya dan juga ibu bapa anda. Pastikan kalian mendapat persetujuan dan kata sepakat daripada semua pihak. Di samping itu, bincangkan juga cara yang terbaik untuk membina keluarga dengan keadaan yang ada. Si lelaki perlulah selalu berlaku adil dengan isteri pertama dan kemudian anda. Dia juga perlu sedar bahawa tanggungjawabnya sudah menjadi lebih besar kerana dia perlu memimpin dua wanita ke arah yang diredhai Allah.
Dia juga perlu memantapkan ilmu agama agar dia mampu membimbing seluruh keluarganya untuk hidup dengan cara Islam kelak. Seandainya anda dan keluarga merasakan bahawa dia tidak mampu untuk menggalas beban tersebut, maka kami cadangkan supaya tamatkan perhubungan anda di situ. Walaupun kedengaran kasar, tetapi kita tidak mahu hubungan tersebut mendatangkan kerugian sahaja di hari depan nanti. Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
“Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka bererti ia telah sempurna imannya.”
(Hadis Riwayat Al-Hakim)
Secara ringkasnya, semuanya berbalik kepada niat masing-masing. Jika niatnya baik dan caranya betul, maka teruskanlah mengikut kehendak masing-masing asal tidak melanggar hukum agama. Kami pasti anda tahu apa yang terbaik untuk diri anda sendiri. Namun jika perkenalan itu sia-sia, maka cuba sebaik-baiknya untuk menjauhkan diri daripada orang tersebut. Sewaktu berdepan dengan keadaan ini, mohonlah bantuan dan perlindungan daripada Allah. Semoga Dia memberi kemudahan dan bimbingan kepada kita.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?