Persediaan Sebelum Menjadi Suami
Persediaan Sebelum Menjadi Suami
Untuk menjadi seorang suami yang baik, para lelaki perlulah bersedia dengan lebih awal kerana tanggungjawab mereka akan menjadi lebih besar sesudah berkahwin kelak.
Sebagai seorang manusia biasa, pastinya setiap lelaki mengidamkan seorang teman yang mampu membahagiakan hidupnya. Atas sebab itu, ramai lelaki yang sudah mula fokus untuk membina perkahwinan yang berkekalan. Namun begitu, perkahwinan bukanlah perkara yang mudah kerana membentuk keharmonian rumah tangga itu memerlukan komitmen sepenuh masa dan kesabaran yang tinggi. Untuk menjadi seorang suami yang baik, para lelaki perlulah bersedia dengan lebih awal kerana tanggungjawab mereka akan menjadi lebih besar sesudah berkahwin kelak. Hal ini bertepatan dengan maksud ayat al-Quran yang berikut:
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka."
(Surah an-Nisa’, ayat 34)
Oleh itu, mari kita lihat serba sedikit persediaan yang boleh dilakukan oleh para lelaki sebelum menjadi seorang suami.
1) Memperbaiki Kualiti Solat
Orang selalu berkata, jika kita ingin memperbaiki diri, perbaikilah hubungan kita dengan Allah terlebih dahulu. Itu sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang yang beragama Islam. Langkah pertama yang perlu diambil dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah adalah dengan memperbaiki kualiti solat. Solat itu tiang agama, maka ia menjadi asas yang penting dalam kehidupan kita. Belajar untuk solat dengan lebih khusyuk, solat di awal waktu dan solat berjemaah bila berkesempatan. Insya-Allah, sekiranya kita berdisiplin untuk beribadah kepada Allah, kita juga akan berdisiplin dalam menjadi ketua keluarga nanti. Di samping itu, Allah juga akan memberi kemudahan buat hambanya yang rajin beribadah.
Jadi ingat, jangan gopoh ketika solat dan berdoalah dengan penuh ikhlas. Semoga usaha ini membentuk kita untuk menjadi seorang suami yang baik kepada isteri kita di masa akan datang.
2) Mempunyai Tujuan Dan Perancangan Dalam Hidup
Sama seperti kejadian siang dan malam, hidup ini ada pasang surutnya. Oleh itu, mempunyai tujuan yang teguh dan perancangan dalam hidup boleh mempersiapkan kita untuk menghadapi hari-hari yang sukar. Tujuan hidup membuka arah untuk kita selusuri manakala perancangan yang teratur membimbing kita ke arah garisan penamat. Sebagai seorang suami kelak, para lelaki harus sentiasa membuat keputusan yang tepat.
Kita juga mestilah bijak dalam menyelesaikan masalah agar hubungan yang dibina tidak goyah. Dengan adanya tujuan dan perancangan dalam hidup, kita sedikit sebanyak sudah membekalkan diri dengan pengisian yang berguna. Lelaki yang berjaya adalah lelaki yang fokus dalam hidupnya dan ini termasuk dengan hal-hal rumah tangga.
3) Mendalami Ilmu Agama Terutamanya Bab Kekeluargaan
Agama Islam sudah menggariskan pelbagai panduan yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Jawapan yang kita perlukan sebenarnya terletak dalam ayat-ayat al-Quran dan sunnah-sunnah nabi. Akan tetapi, jawapan-jawapan tersebut perlulah dicari dan dipelajari kerana ilmu tanpa pemahaman adalah sia-sia.
Jika kita ingin mendalami ilmu agama khususnya dalam bab kekeluargaan, rujuklah ahli agama yang berdekatan dan minta pandangan mereka. Jangan pernah serik untuk belajar kerana ilmu itu tiada penghujungnya. Dengan ilmu agama yang mencukupi, kita pasti sudah bersedia untuk bergelar suami.
4) Mengajar Diri Untuk Memahami Wanita
Selain daripada pernyataan-pernyataan di atas, seorang lelaki juga perlu mengajar dirinya untuk memahami wanita. Sesetengah orang berpendapat bahawa wanita itu kompleks dan sukar untuk difahami. Sungguhpun begitu, sifat inilah yang perlu kita hargai kerana perbezaan antara lelaki dan wanita menjadikan alam perkahwinan itu harmoni.
Kadangkala diam wanita itu ada maksudnya, dalam kasarnya ada kelembutan dan dengan senyuman itu tersimpan rahsia. Jika kita ingin berkahwin, kenalilah si dia dengan lebih terperinci supaya kita dapat memenuhi kehendak mereka kelak. Indah sungguh ciptaan Ilahi yang menjadikan lelaki dan wanita itu berbeza.
5) Menjaga Kesihatan
Mungkin ramai yang tidak sedar tetapi kesihatan merupakan satu aspek yang penting dalam mendirikan rumah tangga. Setiap pasangan pasti inginkan sebuah perkahwinan yang lancar dan bahagia. Tanpa kesihatan fizikal dan mental yang baik, barangkali hubungan itu akan menjadi sulit. Misalnya, jika kita menghidap penyakit kronik, maka kita terpaksa bergantung kepada si isteri untuk menguruskan diri. Bukan mudah untuk hidup dalam keadaan sedemikian.
Oleh itu, jagalah kesihatan kita mulai sekarang agar kita bebas daripada sebarang penyakit yang merbahaya. Bak kata orang, “mencegah lebih baik daripada merawat”.
6) Kurangkan waktu berseronok dan fokus pada matlamat hidup
Seperti yang diterangkan pada awal artikel, perkahwinan merupakan satu tanggungjawab yang besar. Apabila seorang lelaki mempunyai komitmen yang besar seperti ini, maka masa yang diperuntukkan untuk berseronok perlulah dikurangkan untuk memberi ruang kepada urusan rumah tangga. Ini tidak bermakna si lelaki tidak boleh beriadah langsung, cuma masa itu perlu diseimbangkan sebaiknya. Dalam hal ini, sikap toleransi memainkan peranan yang cukup penting.
Apapun, buat keputusan dengan cermat supaya kita dapat memuaskan kemahuan diri dalam masa yang sama memberi masa untuk melaksanakan tanggungjawab. Ingat juga untuk capai matlamat hidup. Kalau matlamat kita adalah untuk mempunyai keluarga yang bahagia, maka berusahalah untuk meraihnya.
Kesimpulannya, sebagai seorang lelaki, kita perlu mengatur setiap langkah dengan teliti agar kita dapat menjadi seorang suami yang baik nanti. Kalau kita kurang pengalaman dan ilmu, minta tunjuk ajar daripada mereka yang pakar untuk memperbaiki diri kita. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik kerana Allah sentiasa memberkati niat yang mulia.
Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?