3 Perkara Yang Perlu Tahu Sebelum Menjadi Seorang Suami Atau Isteri
3 Perkara Yang Perlu Tahu Sebelum Menjadi Seorang Suami Atau Isteri
"Mereka berkahwin hanya mengikut trend, mengikut ajakan kawan dan yang paling utama terpengaruh dengan media sosial. Jelas di sini menunjukkan bahawa niat asal mereka sudah salah.."
Siapa yang tidak gembira jika sudah tiba masa mereka untuk melangkah ke alam perkahwinan? Setiap individu, mereka mesti berasa gembira kerana bakal menjejakkan kaki ke fasa yang baru dalam hidup bersama-sama dengan orang yang mereka sayangi. Fitrah seorang manusia sukakan antara satu sama lain yang berlawanan jantina memang satu perkara yang tidak boleh dinafikan. Malah, ikatan tersebut haruslah dihalalkan dengan cara yang sah dalam Islam iaitu melalui perkahwinan.
Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Ar- Rom yang bermaksud;
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Rom: Ayat 21)
Artikel kali ini kami akan membincangkan tentang tiga perkara yang perlu anda tahu sebelum anda menukar status anda kepada seorang suami atau isteri.
- Niat yang betul
Faktor kebahagiaan rumah tangga bergantung kepada niat pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Sebelum mendirikan sebuah perkahwinan, kenal pasti dahulu apa tujuan kita untuk berkahwin. Adakah hanya untuk melepaskan nafsu semata-mata atau atas dasar untuk menghalalkan sahaja tanpa mengetahui definisi utama sebuah perkahwinan?
Perkahwinan adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Sebab itu Islam menggalakkan umatnya untuk menyegerakan perkahwinan jika sudah bersedia. Namun adakah betul niat kita untuk berkahwin dengan seseorang itu? Perlu diingat bahawa perkahwinan adalah perjanjian antara dua pasangan untuk membina keluarga yang diredhai Allah dalam menuju ke syurga. Jangan disebabkan niat yang tidak betul, hubungan suami isteri itu mengundang kepada sebuah perceraian.
Naib canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Mohammad Shatar Sabran berkata, punca perceraian dalam kalangan muda berlaku diakibatkan daripada sebuah trend semata-mata tanpa sebarang perancangan yang kukuh. Tambah beliau lagi, mereka berkahwin hanya mengikut trend, mengikut ajakan kawan dan yang paling utama terpengaruh dengan media sosial. Jelas di sini menunjukkan bahawa niat asal mereka sudah salah.
Justeru itu, betulkan niat anda sebelum berkahwin. Sekiranya niat berkahwin untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T, insya-Allah ia akan membuahkan sikap yang terpuji antara suami dan isteri kelak.
- Jaga pergaulan sebelum berkahwin
Pergaulan dalam bahasa Arab disebutkan ikhtilat yang bererti bercampur. Maksud pergaulan (ikhtilat) dalam perbincangan ini ialah bergaul atau bercampur di antara Ielaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat berlaku interaksi dalam bentuk pandang memandang atau perbualan di antara seseorang dengan lain.
Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (iaitu tiada hubungan mahram atau hubungan suami isteri). Ianya bertujuan untuk menyempitkan hubungan dan pergaulan antara kedua-duanya hanya kepada keperluan (bukan kebebasan) kerana kebebasan akan mendorong kepada zina. Allah S.W.T. juga melarang hamba-Nya daripada perbuatan yang cenderung kepada penzinaan. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Isra yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)...” (Surah Al-Isra: Ayat 32)
Setiap perhubungan sebelum perkahwinan termasuklah kaedah berkawan sebelum berkahwin ada batasnya. ‘Lesen’ mahu kenal dengan niat untuk berkahwin bukanlah alasan untuk anda membuat perkara-perkara yang dilarang agama. Pastikan setiap perbuatan anda mengikut saluran yang betul dan jangan melanggar batasannya.
- Janji Allah kepada mereka yang berkahwin
“Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui” (An Nuur ayat 32)
Janji Allah yang tidak mampu kita sangkal adalah rezeki selepas berkahwin. Meskipun masih ada antara kita diuji dengan sesuatu masalah sebelum atau selepas berkahwin tetapi percayalah setiap ujian yang datang pasti ada khabar gembira yang menanti. Rezeki yang dimaksudkan tidak semestinya berbentuk wang ringgit tetapi ianya boleh datang dalam bentuk suami atau isteri yang membahagiakan atau rezeki anak.
Hakikat yang perlu difahami oleh umat Islam adalah rezeki yang sedikit tetapi berkat dan mencukupi adalah jauh lebih baik dari rezeki yang melimpah ruah tetapi sering tidak cukup. Oleh itu, sekiranya mahukan rezeki yang diberkati, jalanilah pekerjaan dengan amanah dan sebaik mungkin untuk mendapat ganjaran rezeki yang berlipat ganda.
Jangan sesekali menganggap bahawa perkahwinan merupakan satu bebanan. Mungkin anda rasa kewangan anda masih tidak cukup namun percayalah rezeki boleh datang dalam pelbagai sumber. Namun niat anda mestilah selaras dengan syariat Islam iaitu untuk mendirikan masjid.
Dalam mengejar pangkat isteri atau suami yang baik, seseorang itu mestilah mempunyai tahap keimanan dan ketakwaan yang sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Keimanan dan ketakwaan yang tinggi pada Allah S.W.T mampu membimbing kita untuk menjadi seorang suami atau isteri yang baik. Insya-Allah, sama-sama kita mengamalkan prinsip ini untuk hubungan yang bahagia.
Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?