Betul Ke Jodoh Sudah Ditetapkan?
Betul Ke Jodoh Sudah Ditetapkan?
"Ada yang belum kahwin dan masih bujang, kemudian dia bertemu jodoh dengan seseorang. Itu namanya jodoh..."
Soalan-soalan berkaitan dengan jodoh sering kali berlegar dalam kalangan orang yang masih bujang dan tidak berkahwin. Antara soalan yang selalu ditanya adalah, “betul ke jodoh sudah ditetapkan?”. Ya. Memang benar, jodoh susah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Jodoh, rezeki dan ajal adalah antara perkara yang sudah termaktub dan sebahagian daripada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Takdir pula disebut dalam bahasa Arab sebagai ‘qadar’ iaitu suatu ketetapan atau keputusan. Beriman kepada qada dan qadar Allah S.W.T. adalah satu daripada enam rukun iman yang wajib bagi setiap muslim. Rasulullah S.A.W. telah bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Iman itu ialah engkau percaya kepada Allah, para Malaikatnya, kitab-kitabnya, para Rasulnya, hari akhirat, dan engkau percaya kepada qadar yang baiknya ataupun yang buruk”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Maka jelas daripada hadis di atas, beriman kepada qadar (ketetapan) adalah sebahagian daripada enam rukun iman yang wajib diimani. Tidak beriman dengan salah satu rukun akan menyebabkan keimanan kita tidak lengkap.
Maksud Jodoh
Jodoh dari segi bahasa bermaksud pasangan hidup. Jodoh biasa digunakan bagi merujuk kepada pasangan kita sama ada suami atau isteri. Ada yang belum kahwin dan masih bujang, kemudian dia bertemu jodoh dengan seseorang. Itu namanya jodoh. Ada yang sudah kahwin bertahun-tahun kemudian bercerai atau pasangan mereka meninggal dunia, itu juga namanya jodoh. Bezanya adalah jodoh mereka tidak panjang.
Ada pula yang tidak bertemu jodoh sehingga akhir usia tetapi mungkin Allah tetapkan jodoh mereka di syurga bersama para bidadari. Ini semua dalam ketetapan dan takdir Allah. Ia di luar kemampuan manusia biasa. Namun ketetapan ini sudah ditentukan sama ada cepat atau lambat. Di dunia ataupun di akhirat.
Jodoh juga tidak semestinya hanya seorang. Ada yang berkahwin beberapa kali, maka jodohnya dengan beberapa orang. Malah jika seseorang lelaki berkahwin lebih daripada satu atau berpoligami, jadi jodohnya adalah dengan isteri-isteri yang dikahwininya itu. Jodoh boleh jadi tetap atau berubah. Saya percaya, ramai yang berharap jodoh mereka akan kekal ke akhirnya bahkan hingga ke syurga. Namun persoalan jodoh, ia masih dalam kekuasaan Allah S.W.T. Kita hanya boleh berdoa dan mengharapkan yang terbaik buat diri kita.
8 Tanda-tanda Jodoh
1. Susah Senang Bersama
Tanda jodoh yang pertama ialah pasangan yang anda pilih mestilah sanggup menerima anda di waktu senang mahupun susah. Seperti kata peribahasa Melayu, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.’ Ada orang, hanya mahu menjadi peneman pada waktu senang sahaja. Pada waktu yang susah tidak mahu bersama. Jika si dia jodoh anda, si dia pasti sentiasa ada untuk anda pada waktu susah ataupun senang. Ketika inilah perhubungan anda dan si dia diuji.
2. Tidak Berlakon
Tanda seterusnya yang boleh diperhatikan ialah si dia tidak berlakon di hadapan anda. Cuba lihat cara dia bercakap atau melakukan apa-apa aktiviti. Adakah perlakuan itu dilakukan dengan secara spontan atau dibuat-buat. Jika dia sendiri kurang selesa dengan gayanya, dia mungkin sedang berlakon. Namun apabila si dia tampil bersahaja dan tidak berlakon, ia adalah calon pasangan yang sesuai buat anda.
3. Menerima Anda Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah anda lakukan, si dia tidak ambil peduli. Si dia tidak kisah siapa anda sebelum ini dan sanggup menerima diri anda seadanya. Apa yang penting baginya adalah siapa anda sekarang. Walaupun anda seorang yang tidak kaya, tidak cantik dan mempunyai bermacam-macam kekurangan, si dia tetap bersama anda. Itulah tanda jodoh. Jangan lepaskan si dia yang mempunyai perwatakan sebegini.
4. Sentiasa Jujur
Selain itu, untuk mengenali jodoh yang baik adalah anda dapat melihat sifat kejujuran pada diri si dia. Walaupun sesuatu perkara itu pahit untuk diluahkan, namun si dia tetap jujur untuk membicarakan tentangnya. Dia tidak pandai menipu dan berbohong. Sifat jujur ini ada pada diri Rasulullah S.A.W. hatta sebelum dilantik menjadi Rasul.
Oleh kerana itulah, masyarakat Arab jahiliah pada masa itu suka kepada perwatakan Rasulullah S.A.W. sehingga baginda digelar sebagai ‘Al -Amin’ yang bermaksud orang yang dipercayai. Allah S.W.T. juga telah berfirman di dalam surah An-Najm yang bermaksud:
“Dan tiadalah yang diucapkannya itu(Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”
(Surah An-Najm : Ayat 4-5)
5. Boleh Berkomunikasi
Komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung ataupun tidak langsung dengan menggunakan perantaraan seperti surat, mesej, telefon dan sebagainya. Komunikasi perlukan teknik dan masa yang betul supaya salah faham tidak berlaku. Ada orang berpisah kerana tidak pandai berkomunikasi dengan pasangan atau yang lebih malang tidak berkomunikasi langsung.
Oleh sebab itu, tanda jodoh yang baik ialah si dia perlu ada sifat untuk berkomunikasi dan sedia berbincang jika timbul sesuatu isu. Sesuatu masalah perlu diatasi dengan cara dan teknik yang betul seperti saling berkomunikasi demi menjaga perhubungan yang telah dibina.
6. Dipercayai Dan Mempercayai
Saling mempercayai adalah kunci kepada suatu perhubungan yang kuat. Jika anda tidak ada rasa percaya kepada si dia, itu tandanya dia mungkin bukan jodoh yang terbaik untuk anda. Sifat percaya dan dipercayai ini sangat berkait rapat dengan sifat jujur yang saya sebutkan sebelum ini. Oleh sebab itu, anda mesti menjadi orang yang dipercayai dan mempercayai si dia.
7. Memahami Diri Anda
Tanda si dia jodoh anda yang seterusnya ialah si dia adalah seorang yang memahami diri anda. Memahami diri adalah suatu yang agak mustahil jika anda belum benar-benar taaruf (kenal) dengan lebih mendalam bakal pasangan anda itu. Jadi ambil masa untuk taaruf dengan bakal pasangan. Cuba untuk memahami si dia dan begitulah juga sebaliknya.
8. Petunjuk Setelah Istikarah
Solat ‘istikarah’ merupakan cara yang terbaik dalam urusan memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. Ia adalah perkara yang penting setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan jodoh, maka sandaran dan kebergantungan kita pada akhirnya ialah hanya kepada Allah S.W.T. Inilah yang dinamakan tawakal. Mungkin selepas anda melakukan solat istikarah, anda akan mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T. Mempunyai hati yang tenang dan rasa selesa dengan si dia juga boleh jadi petunjuk bahawa si dia adalah jodoh anda.
Jodoh Sudah Ditetapkan
Jodoh sudah ditetapkan, ya betul. Namun untuk mendapatkan jodoh, ia mestilah dengan usaha. Jodoh tidak akan datang bergolek atau turun daripada langit dengan begitu sahaja. Mungkin ada kes terpencil jodoh datang sendiri, ia tidaklah mustahil. Namun begitu, kebanyakan masa ia datang dengan usaha.
Anda mesti berusaha menjadi yang terbaik untuk mendapatkan jodoh yang baik. Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah An-Nur yang bermaksud:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji pula adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik pula adalah untuk wanita-wanita yang baik."
(Surah An-Nur : Ayat 26)
Wallahualam.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?