TIPS UNTUK MEMUJUK LELAKI
TIPS UNTUK MEMUJUK LELAKI
"ingatlah, lelaki itu merajuk kerana inginkan perhatian dan mahu pasangannya mengambil berat tentangnya"
Ianya sudah menjadi fitrah seorang wanita yang mempunyai hati yang sensitif berbanding lelaki. Dalam hubungan pula, tidak semestinya wanita saja yang merajuk, lelaki juga mempunyai perasaan dan akan terasa dengan sesuatu perkara, jangan ingat hanya wanita sahaja yang boleh terasa ya. Lelaki zaman kini lebih sensitif dan mudah tersentuh, tidak bermaksud mereka ini seorang yang lembut tapi kaum adam juga miliki hati dan perasaan. Biarpun mereka sering kelihatan macho, mereka juga mahukan ruang untuk dipujuk. Kaum wanita jangan ambil mudah dengan perkara ini, kerana ini juga memainkan peranan yang penting dalam hubungan. Hari ini, kami akan kongsikan beberapa tips dalam memujuk lelaki.
Cari Sebabnya
Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah dengan mengetahui mengapa punca lelaki itu merajuk. Jangan hanya biarkan sahaja. Jika anda sedar kesilapan itu berpunca dari anda, berterus-teranglah dan mengakui kesilapan anda. Lelaki seorang yang ego, jangan anda menambah dan mencabar lagi keegoaannya. Lebih baik anda meminta maaf dan mengakui kesilapan untuk meneruskan hubungan yang baik.
Berikan Ruang
Sekiranya anda melakukan satu kesalahan dan si dia mula merajuk, jangan terus memberikan penjelasan kepadanya. Beri dia ruang untuk ‘melayan perasaan’ dahulu. Setelah rajuknya reda, barulah anda cuba mendapatkannya dan menjelaskan keadaan yang sebenar.
Masak Makanan Kegemarannya
Sebagai tanda meminta maaf, anda boleh memasak sesuatu yang istimewa dan letakkan di atas meja pejabatnya untuk makan tengah hari diselitkan bersama nota 'minta maaf'. Kemungkinan selepas membaca nota itu, dia akan menghubungi anda dan keadaan kembali menjadi normal seperti sedia kala. Tak cuba mesti tak tahu kan?
Buat Kejutan Untuk Dia
Jika sebelum ini dia ada mengajak anda melakukan sesuatu seperti menonton bola tetapi anda menolak, apa kata kali ini, anda pula yang mengajaknya? Cuba lakukan sesuatu yang si dia gemar dan mungkin dia akan kembali seperti biasa selepas melakukan perkara ini. Cubalah dahulukan?
Gunakan Kreativiti Anda
Wanita sering dikatakan kreatif dalam melakukan sesuatu. Sekiranya si dia langsung tidak mengendahkan anda, mungkin anda boleh menulis penjelasan anda dan kata-kata maaf di dalam sebuah kad yang anda buat sendiri. Ayat-ayat cinta dan usaha anda pasti membuatkan rajuknya reda. Apatah lagi dia melihat usaha anda yang bersungguh-sungguh.
Kelemahan Diri
Sebagai pasangan si dia, anda pasti tahu kelemahannya bukan? Apa kata anda cubanya untuk memenangi semula hati si dia? Tetapi berpada-padalah, jangan sehingga mencabar keegoan si dia. Jika berlaku, bertambah besarlah masalah anda.
Diamkan Diri
Sekiranya usaha yang telah dilakukan tidak berjaya dan si dia masih merajuk dengan anda, cuba mendiamkan diri. Setelah berusaha sedaya upaya untuk memujuknya, diamkan diri dan sekiranya si dia menyayangi anda, dia pasti rindu dan akan menghubungi anda.
Kesimpulan
Apa pun yang anda lakukan, ingatlah lelaki itu merajuk kerana inginkan perhatian dan mahu pasangannya mengambil berat tentangnya. Mungkin tanpa anda sedar, kesibukan anda mungkin menyebabkan si dia berkecil hati. Bina hubungan anda bersama dengan baik dan elakkan dari pergaduhan yang boleh menyebabkan sesuatu yang tidak baik berlaku.
Belum ada jodoh?