TIPS MENJEMPUT JODOH
TIPS MENJEMPUT JODOH
"jodoh sudah diperjelaskan bahawa ianya adalah rahsia Allah"
Jodoh merupakan rahsia Allah SWT yang kita tidak tahu bilakah datangnya? Di manakah dia? Dan dalam keadaan apa kita mampu bertemu dengannya? Ada yang sudah dipertemukan jodoh pada usia muda, habis sahaja belajar, sudah ada yang melamarnya. Mungkin sudah tertulis, jodohnya mudah begitu sahaja.
Namun ada juga yang sudah meningkat usia, sudah masuk '3 series' tapi masih lagi belum dipertemukan jodoh oleh-Nya. Hal ini sering menimbulkan kegelisahan buat mereka yang masih belum bertemu jodoh. Mereka akan turut diselubungi dengan perasaan malu dengan keluarga, masyarakat sekeliling dan akhirnya akan menyebabkan mereka berasa segan untuk bergaul.
Kenapa jodoh masih juga belum kunjung tiba? Sedangkan jodoh sudah ditetapkan dan ianya tetap rahsia Allah. Namun sebagai manusia, kita diperintahkan untuk berusaha atau berikhtiar. Seperti yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka”. (Surah Ar-Raad:11)
Berikut adalah beberapa tips untuk menjemput jodoh:
Usah terlalu leka ketika cinta datang menghampiri anda
Cinta adalah sebuah perasaan yang kadang kala boleh melekakan seseorang. Apabila datangnya perasaan cinta ini, apapun mampu terjadi dan mampu diserahkan kepada orang yang mereka cintai. Sudah terlalu banyak kes yang kita dapat lihat, apabila seorang perempuan sudah bertemudengan lelaki yang dicintainya, mereka sanggup menyerahkan kehormatannya kepada lelaki itu. Walhal, belum tentu lagi lelaki itu bakal menjadi jodohnya. Oleh itu, kaum perempuan seharusnya lebih berhati-hati dalam perkara ini, silap langkah, maka merekalah yang rugi. Kuasailah rasa cinta itu dengan sebaiknya, jangan biarkan perasaan cinta itu yang menguasai anda.
Perbanyakkan solat istikharah
Solat istikharah adalah solat sunat yang dilakukan untuk memohon petunjuk kepada Allah SWT akan suatu pilihan sama ada pilihan itu baik ataupun tidak untuk kehidupan kita. Dengan mengamalkan solat sunat istikharah, Allah akan memberikan petunjuk sama ada orang yang kita cintai itu adalah yang terbaik atau tidak bagi seseorang untuk meneruskan kehidupan mereka bersama insan yang mereka cintai.
Hindari segala perbuatan maksiat
Ingatlah bahawa orang yang anda cintai sepenuh hati itu adalah insan yang masih belum halal buat anda. Mereka belum menjadi suami/isteri yang sah lagi buat anda. Dia bukan mahram kita, jadi ianya jelas masih haram untuk kita miliki. Pada saat ini, syaitan masih aktif dalam menggoda para manusia untuk melakukan maksiat. Justeru pada masa inilah iman anda mesti kuat supaya dapat menghindari segala perbuatan maksiat.
Sentiasa berdoa memohon jodoh kepada Allah SWT
Doa adalah senjata bagi umat Islam. Doa juga merupakan tanda lemahnya kita sebagai hamba jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT.
Antara doa yang patut diamalkan adalah:
“Rabbi Laa Tadzarnil Fardhaan Wa Anta Khairul Waaritsiin”
Ertinya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidupku seorang diri dan Engkaulah pewaris yang paling baik” (QS: Al-Anbiya:89)
Berikut adalah beberapa tips untuk menjemput jodoh secara Islamik. Semoga bermanfaat bagi mereka yang masih setia dalam menanti jodoh mereka. Insha Allah.
Belum ada jodoh?