TIPS MENJADI ISTERI SOLEHAH
TIPS MENJADI ISTERI SOLEHAH
"seorang isteri ingin menjadi yang terbaik di mata suami tersayang"
Selepas memasuki alam rumah tangga, setiap pasangan mahupun lelaki dan wanita mengimpikan keluarga yang sakinah, warahmah dan mawaddah. Impian untuk membina keluarga seperti itu memerlukan seorang suami yang soleh, berjiwa pemimpin dan isteri yang solehah. Namun, seorang isteri pula ingin menjadi yang terbaik di mata suami tersayang. Berikut kami kongsikan beberapa tips untuk menjadi seorang isteri yang solehah:
Mendapatkan restu suami
Sudah menjadi lumrah seorang wanita yang perlu mendapatkan restu daripada suaminya terlebih dahulu dalam apa jua urusan. Seperti yang kita dapat lihat di sekeliling kita pada masa ini, kebanyakan wanita memilih untuk berkerja kerana ingin membantu suaminya dalam mencari rezeki dek kerana ekonomi yang kurang stabil pada zaman sekarang. Namun, adakah suami mereka merestui keputusan itu? Maka, sebagai seorang isteri, dapatkan restu daripada suami anda terlebih dahulu. Jika suami anda tidak restu, ketepikan hasrat anda dalam meneruskan pekerjaan. Begitu juga untuk perkara-perkara lain. Dapatkan keizinan suami terlebih dahulu.
Menjaga maruah diri
Ternyata seorang isteri menjadi cerminan buat suaminya. Jika seorang isteri mempunyai tingkah laku yang baik, maka baiklah anggapan orang luar terhadap suaminya. Oleh itu. kaum wanita, beringatlah bahawa maruah suami terletak di tangan kita sendiri, jika anda sentiasa menjaga maruah diri, maka terjagalah maruah si suami.
Mengutamakan keluarga
Apabila seorang wanita telah diijabkabulkan, tanggungjawab seorang wanita telah menjadi lebih besar. Tinggi macam mana pun pangkat kita di tempat kerja, namun tugas seorang isteri adalah memastikan keperluan suaminya terjaga. Jika sudah dikurniakan cahaya mata, tugas dalam mendidik anak dan membesarkan anak sudah menjadi perkara utama buat kaum isteri. Utamakan keluarga terlebih dahulu dalam apa jua urusan.
Sentiasa berlembut dengan suami
Seorang isteri mestilah bersikap sopan santun dan lemah lembut dengan suaminya. Perwatakan sebegini dapat membuatkan suami berasa bahagia, malah suami juga akan berasa senang ketika berada bersama anda. Dalam setiap perbicaraan, cubalah bersikap tolak ansur dan menjaga tutur kata. Jangan terlalu berkeras dengan suami.
Wahai kaum isteri, kejarlah ‘title’ isteri solehah ini. Nescaya anda tidak akan rugi, malah lebih disayangi dan dihormati :)
Belum ada jodoh?