TIPS MENCARI PASANGAN
TIPS MENCARI PASANGAN
Antara tips mudah untuk mendapatkan hasrat yang sudah lama diimpikan adalah dengan menggunakan orang tengah sebagai perunding bicara. Merekalah seperti utusan-utusan yang memegang amanah yang akan melamar si puteri yang tercinta...
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur; 24:32)
Memiliki pasangan yang sesuai dan serasi dengan diri merupakan dambaan diri seseorang. Walaupun begitu, bagaimana cara untuk meminang si dia yang bersuri di hati? Adakah masih sesuai dengan surat cinta dan mesej dengan nama yang tidak diketahui?
Antara tips mudah untuk mendapatkan hasrat yang sudah lama diimpikan adalah dengan menggunakan orang tengah sebagai perunding bicara. Merekalah seperti utusan-utusan yang memegang amanah yang akan melamar si puteri yang tercinta. Dengan cara tulus dan sopan, orang tengah ini memainkan peranan membicarakan isi hati yang terkandung di sebalik hasrat seorang putera.
Cara ini sebenarnya banyak dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa di universiti dan kolej apabila sudah berkenan dengan seseorang di tempat yang sama mereka belajar. Mereka akan mengajukan kepada pensyarah tertentu tentang hasrat yang terbuku. Sebagai mengikut sunnah Rasulullah dan menjunjung keimanan yang tinggi, maka pilihan menggunakan orang tengah adalah yang terbaik. Pensyarah inilah yang akan menjadi orang tengah mahasiswa terbabit.
Selain itu, seseorang yang berhasrat untuk menikah juga boleh menggunakan pendekatan yang lebih realistik dan fleksibel. Dengan mendekati adik-beradik bakal pasangan yang sama jantina dengannya, maka hasrat di hati mudah untuk disampaikan. Hal ini telah dibuktikan dan cara ini adalah mengikut syariat.
Manakala cara yang dominan menggunakan orang tengah adalah menggunakan perkhidmatan kawan baik. Selaku kawan baik atau sahabat setia, dialah yang sudi menjadi orang tengah kita. Seseorang ini hendaklah jujur dan amanah. Bimbang jika kawan yang kurang baik, bertukar tangan pula!
Begitu juga menggunakan orang tengah di kalangan ibu bapa dan sanak-saudara kerana mereka adalah orang yang lebih hampir dengan kita. Mereka lebih mengenal diri kita dan ciri-ciri yang sesuai untuk bakal pasangan kita. Lagipun, mereka adalah antara golongan yang diharapkan dan diyakini.
Meskipun begitu, cara menggunakan orang tengah kini telah berubah kepada kaedah yang lebih efektif mengikut perkembangan semasa dan keperluan zaman. Cara tersebut adalah dengan menggunakan badan organasasi tertentu dalam mengatur urusan pertemuan jodoh dan pernikahan.
Badan organisasi ini akan menolong untuk mencari calon yang sesuai mengikut permintaan klien. Jika klien berkenan dan si bakal pasangan bersetuju, mereka akan dipertemukan untuk melihat dengan lebih dekat. Setelah berbincang dan masing-masing berkenan, maka diaturkan pertemuan antara keluarga supaya rancangan pernikahan dapat berjalan dengan lebih lancar.
Setelah semua itu, setiap manusia tetap sahaja ada kekurangan masing-masing. Pencarian jodoh bagi seorang hamba adalah lemah dalam mencari hikmah-Nya. Oleh sebab itu, setiap bakal pasangan hendaklah menunaikan solat istikharah, mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk yang terbaik untuk diri masing-masing. Hal ini kerana Allah lebih mengetahui jodoh terbaik buat diri seseorang, sedangkan seorang hamba Allah terbatas ilmunya dalam mengetahui hal ghaib.
Solat istikharah boleh ditunaikan sama ada dua rakaat sehingga dua belas rakaat. Pada sujud yang terakhir, mohonlah di dalam hati agar Allah memberikan pasangan yang terbaik untuk diri kita. Setelah solat, banyakkan berselawat ke atas Nabi dan berdoalah dengan merendahkan hati, betapa lemahnya kita mendapatkan sesuatu tanpa izin-Nya.
Seandainya jodoh masih belum ditemui, teruskan berdoa terutama di malam yang sepi dan bersangka baik atas setiap aturan-Nya. Tuhan lebih mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya. Mungkin sahaja Allah mahukan kita lebih bersedia dengan mencari ilmu agama dan mengasah ilmu rumahtangga.
Bagi yang masih belajar dan belum mampu untuk menyara pasangan, fokuslah pada bidang pengajian supaya tidak mengganggu pelajaran. Bimbang yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Nota : Penulisan di atas merupakan pandangan penulis, Luqman bin Zainudin dan tidak mewakili pihak BaitulMuslim.com. Artikel ini ialah artikel yang memenangi tempat kedua dalam 'Pertandingan Menulis Artikel BaitulMuslim.com'.
Belum ada jodoh?