Tanda-tanda Anda Sudah Bersedia Untuk Berkahwin
Tanda-tanda Anda Sudah Bersedia Untuk Berkahwin
"Oleh itu, kita sepatutnya meletakkan niat untuk berkahwin sebelum memulakan sesuatu perhubungan."
Seperti yang kita tahu, semua manusia dilahirkan dengan perasaan cinta dan kasih sayang. Perasaan itu adalah anugerah yang diberikan oleh Allah untuk dimanfaatkan sebaiknya. Setiap orang pastinya inginkan kebahagiaan dalam hidup. Ayat al-Quran ada menyebut, maksudnya:
“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur (mengingkari) pula akan nikmat Allah?”
(Surah An-Nahl, Ayat 72)
Mungkin atas alasan itulah soal mencari jodoh menjadi topik hangat dalam kalangan orang bujang. Namun begitu, tidak semua individu yang teruja untuk bercinta cenderung untuk berkahwin. Sesetengahnya hanya mencari tempat untuk menghilangkan kebosanan atau sekadar mencari keseronokan sahaja dalam perhubungan. Definisi cinta seperti inilah yang sebenarnya ditegah dalam Islam. Oleh itu, kita sepatutnya meletakkan niat untuk berkahwin sebelum memulakan sesuatu perhubungan. Akan tetapi, apakah tanda-tanda yang menunjukkan kita sudah sedia untuk berkahwin? Di sini kami huraikan beberapa cadangan yang boleh anda pertimbangkan.
1. Berasa teruja untuk hidup berpasangan
Merujuk semula kepada surah tadi, Allah telah menciptakan manusia untuk hidup berpasang-pasangan. Maka dari itu, sudah menjadi lumrah kita untuk mendambakan kebahagiaan daripada seorang kekasih tetapi dengan cara yang betul. Apabila kita berasa teruja untuk hidup berpasangan, dari situ kita telahpun mengambil satu langkah lebih dekat ke arah perkahwinan. Kalau perasaan itu belum ada, pastinya kita belum bersedia untuk memberikan komitmen dalam perhubungan. Akan tetapi, perasaan teruja ini hanyalah satu perkara asas dalam menentukan sejauh mana kita bersedia untuk berkahwin. Ada segelintir orang yang teruja untuk mempunyai kekasih tetapi hakikatnya dia mempunyai niat yang salah. Jangan pula kita menjadi orang yang ‘rambang mata’ dalam mencari pasangan. Nampak sahaja ada orang yang berlainan jantina sedang ‘online’ ataupun aktif di laman sosial, dia pun menegur orang tersebut tanpa segan silu.
Apa yang penting di sini adalah niat dan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Jika kita rasa orang itu sesuai, maka tegurlah dengan berhemah dan jangan main-main. Insya-Allah, dengan usaha yang betul dan doa yang tak putus-putus dipanjatkan kepada-Nya, jodoh itu pasti akan memberikan kita kegembiraan di masa akan datang. Oleh itu, dalamilah semula perkara ini. Sifat keterujaan untuk bercinta itu mungkin adalah tanda kita sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Namun begitu, disiplin diri dan niat yang serius perlu ada dalam memastikan pencarian kita itu bukan sia-sia.
2. Bertanggungjawab dan sabar dalam menyelesaikan masalah
Kadang-kadang bila kita bercakap mengenai golongan muda khususnya, ungkapan ‘tanggungjawab’ bukanlah ungkapan yang lazim menggambarkan golongan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana ramai antara mereka yang lebih gemar untuk hidup bebas tanpa sebarang halangan. Jarang rasanya kita berjumpa dengan orang muda yang bertanggungjawab terhadap hidupnya dan matang dalam menyelesaikan satu-satu masalah. Jika kita berpeluang untuk berkenalan dengan orang seperti ini, mungkin saja dia calon yang sesuai buat kita.
Namun dalam konteks ini, dua kualiti ini adalah sangat penting dalam mengukur persediaan kita untuk berkahwin. Cuba muhasabah diri dan teliti kehidupan seharian kita. Kita pasti sudah bersedia untuk berkahwin jika aturan masa kita kemas dan kita ikhlas dalam melakukan tugas. Selain itu, kita juga tenang dalam menyelesaikan masalah tanpa berasa kalut. Ujian yang bakal kita hadapi tidak akan menjadi lebih mudah setelah kita menjalinkan hubungan atau berkahwin nanti. Oleh itu, sifat sabar dan tenang itu perlu untuk memastikan hubungan yang terbina kelak sentiasa utuh. Walaupun di luar konteks jodoh, bukankah dua kualiti ini menjadikan kita insan yang lebih seimbang?
3. Sudah mula berdoa untuk mendapatkan jodoh yang baik
Jodoh itu sudah ditetapkan oleh Allah, jadi mengapa tidak kita yakin akan perancangan dan mendekatkan diri kepada-Nya? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Dia tahu bilakah masa yang sesuai untuk kita bertemu jodoh. Apa yang boleh kita lakukan adalah terus berdoa untuk memohon restu, kemudahan dan kelapangan dada dari-Nya. Semoga Dia memberikan kita kebaikan dalam setiap langkah yang kita ambil. Kalau kita sudah mula berdoa untuk mendapatkan jodoh yang baik, maka sudah tentu pintu hati kita telah terbuka untuk mendirikan rumah tangga. Ini bermakna kita sedar bahawa soal jodoh itu berada di tangan Allah. Banyakkan berdoa dan berikhtiar supaya kita mendapat calon suami atau isteri yang boleh membimbing kita ke arah syurga-Nya.
4. Sudah mula merancang untuk kumpul duit kahwin
Zaman sekarang, duit merupakan keperluan yang paling utama dalam hidup kita. Semakin kos hidup meningkat, semakin kita perlu bekerja keras demi memastikan hidup kita berada di landasan yang betul. Dalam sibuk kita mengira bajet bulanan, sempat pula kita asingkan sedikit duit untuk perbelanjaan kahwin. Perkara itu juga adalah ‘lampu hijau’ yang menandakan anda sudah bersedia untuk melangkah ke fasa hidup yang seterusnya. Banyak perancangan yang perlu difikirkan sekiranya kita mahu berkahwin. Justeru, simpanan awal khas untuk perkara ini dapatlah sedikit sebanyak memudahkan proses persiapan nanti. Sungguhpun begitu, kami tidak menekankan bahawa duit adalah segala-galanya dalam hal ini.
Perkahwinan seharusnya mudah dan mengikut garis panduan Islam sahaja. Yang selebihnya cumalah adat yang dibentuk mengikut budaya kita. Jika kita mempunyai kewangan yang cukup untuk melaksanakan kedua-duanya, maka silakan berbuat demikian. Akan tetapi, jika kita mempunyai bajet yang terhad, maka lengkapkanlah dahulu perkara yang wajib. Allah tidak menyuruh kita untuk membazir walaupun sewaktu berkahwin. Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita menyimpan duit kahwin dari awal supaya segalanya berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja anda memulakan langkah ini, anda juga sudah memberi tanda bahawa anda sedia untuk berkahwin.
5. Ibu bapa menyokong niat anda untuk berumah tangga
Dalam satu institusi keluarga, kebiasaannya ibu bapa merupakan orang yang paling dipercayai kerana mereka memahami tingkah laku anak-anak mereka. Mereka juga adalah orang yang sesuai untuk bertanyakan sama ada kita sudah bersedia untuk berkahwin atau tidak. Seperti yang kita tahu, mereka sudah melalui fasa tersebut terlebih dahulu. Boleh sahaja mereka kongsikan pengalaman masa lalu bersama dengan kita. Selain itu, mereka juga mengetahui dari gerak geri kita sama ada kita sesuai atau tidak untuk memulakan komitmen sebagai seorang suami atau isteri.
Kalau ibu bapa menyokong niat anda, maka teruskanlah apa yang terbaik. Tetapi jika sebaliknya, duduk berbincang dengan ibu bapa dan tanya pada mereka apakah yang perlu diperbaiki agar kita dapat menjadi orang yang lebih baik. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka terutama sekali apabila melibatkan perkahwinan.
Kesimpulannya, banyak tanda-tanda yang boleh kita perhatikan untuk menilai sama ada kita bersedia untuk berkahwin atau tidak. Seperti biasa, rajinkanlah beribadah dan solat Istikharah agar selalu memperoleh rahmat dan kemudahan dari-Nya. Di samping itu, tanamkan dalam hati untuk cari pasangan yang baik dan bentuklah perhubungan nanti mengikut syariat Islam.
Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?