Persediaan Sebelum Mencari Jodoh

Persediaan Sebelum Mencari Jodoh

Ikatan yang baik seharusnya berakhir dengan perkahwinan...

Dikarang oleh asyrafjemaat | Tips dan petua

 

Orang selalu menyebut, jodoh kita sudah ditentukan oleh Tuhan sejak dari mula lagi. Maka dengan itu, soal jodoh ini sering menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat terutamanya bagi golongan muda. Ada yang berkejar-kejar mahu mencari calon kerana tidak mahu ketinggalan merasa bahagia pada usia yang muda. Namun begitu, ketika semua orang sibuk mencari calon suami atau isteri, jangan pula kita tergopoh-gapah. Ikatan yang baik seharusnya berakhir dengan perkahwinan dan keluarga yang baik pula bermula dengan calon suami dan isteri yang baik budi dan imannya. Oleh itu, beberapa persediaan mestilah dilakukan agar kita melangkah ke fasa seterusnya dengan penuh keyakinan dan niat yang betul. Yang paling penting, rasa cinta kepada Allah perlu diperkuatkan kerana Dia sahaja yang kekal dan kebahagiaan hubungan kita bergantung kepada keredhaan-Nya. Hadis ada menyebut:

“Barangsiapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya.” 

(Hadis Riwayat Abu Dawud) 

Ayuh kita lihat serba sedikit persediaan yang boleh dilakukan sebelum mencari jodoh.

1. MENCINTAI ALLAH TERLEBIH DAHULU

Sebagai manusia biasa, kita harus sentiasa menyandarkan rasa cinta dan keimanan kepada Allah S.W.T terlebih dahulu. Ini kerana hanya Dia sahaja yang mampu mengatur hidup manusia ke arah kebahagiaan dan seterusnya menuju ke syurga yang kekal abadi. Sebelum mencari jodoh, eloklah jika kita menambah baik ibadah wajib yang dikerjakan. Ibadah-ibadah sunat lain seperti berzikir, bersedekah dan membaca al-Quran juga boleh dilakukan supaya segala urusan kita dipermudahkan. Iman dan taqwa yang tinggi adalah penting dalam mewujudkan ikatan yang suci dan seterusnya keluarga yang bahagia. Seorang teman hidup yang baik mestilah berupaya untuk mengingatkan kita supaya tunduk kepada Allah.

Agama Islam bukanlah bersifat keras atau tegas sebenarnya. Sebaliknya, ia menyediakan garis panduan yang lengkap dalam pelbagai aspek kehidupan. Fokus utama hidup manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya dan selebihnya adalah hiasan dunia yang dianugerahkan oleh Allah. Maka dengan itu, sebelum kita membuat keputusan untuk mencari pasangan, bukalah hati kita dahulu untuk mencintai Allah Yang Maha Esa.

2. MEMPELAJARI ILMU BERKAITAN CARI JODOH DAN MEMBINA KELUARGA 

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke syurga”

(Hadis Riwayat Muslim)

Melalui hadis ini, kita dapat lihat betapa pentingnya menuntut ilmu dalam kehidupan. Bukan sahaja ilmu meluaskan pandangan dan pengetahuan kita, malahan orang yang berilmu sentiasa memperoleh bantuan dan kemudahan dari Allah. Dalam konteks cari jodoh, ilmu memberikan seseorang itu jalan untuk mencari calon yang sesuai dengan dirinya. Selain itu, orang yang berilmu pasti akan lebih bersedia untuk membina satu keluarga yang diberkati. Panduan yang diletakkan oleh agama adalah menyeluruh. Jawapan tentang cara mencari pasangan, persediaan sebelum berkahwin, doa-doa untuk menjemput jodoh dan lain-lain sudah ada di depan mata. Kita hanya perlu mencarinya dengan menimba ilmu. Tidak akan rugi orang yang menimba ilmu dengan niat kerana Allah. Tambahan pula, orang yang bercinta dengan ilmu di dadanya dapat memastikan hubungan itu bukan sia-sia.

Akhir sekali, alam perkahwinan pasti terasa seperti inderaloka jika kedua-dua individu mempunyai ilmu rumahtangga yang cukup. Ambil masa untuk belajar sebelum kita membuat keputusan untuk mencari calon suami atau isteri.

3. KUMPUL DUIT KAHWIN 

Isu mengumpul duit kahwin sudah menjadi tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Mana tidaknya, ada pihak yang gemar mengadakan majlis persandingan secara besar-besaran sehingga membebankan pasangan pengantin sendiri. Tidak salah kalau sesebuah keluarga itu ingin membuat majlis yang besar, maklumlah berkahwin hanya sekali. Namun begitu, perbelanjaan yang dikeluarkan perlulah selari dengan kemampuan kita khasnya buat pengantin. Allah tidak suka manusia yang membazir, jadi mengapa perlu berhabis duit hanya untuk bersanding? Cukup dengan majlis yang ringkas dan mengikut syarak. Pada masa yang sama, jika bakal pengantin dan keluarganya itu berkemampuan, maka berbelanja lebih untuk majlis tersebut tiada salahnya asalkan tidak membabitkan pembaziran.

Oleh itu, persediaan mestilah dilakukan dari awal. Jika kita masih tidak mempunyai seorang calon, alangkah baiknya jika kita mengasingkan sedikit wang daripada pendapatan kita dari awal sebagai simpanan perkahwinan. Sekurang-kurangnya ini akan mengurangkan bebanan ketika hendak bernikah atau bersanding nanti.

4. ADA GAMBARAN JELAS MENGENAI KRITERIA CALON YANG KITA CARI

Lain orang, lain coraknya. Sudah menjadi lumrah setiap manusia untuk menyukai perkara yang berbeza. Begitu juga dalam mencari jodoh, setiap individu mempunyai kriteria yang berlainan dalam memilih seorang calon suami atau isteri. Sebaiknya, kriteria pertama yang diletakkan adalah mempunyai pegangan agama yang kukuh. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, destinasi akhir kita adalah akhirat. Justeru, carilah seseorang yang boleh membawa kita ke arah syurga. Selain itu, letaklah kriteria-kriteria lain yang membawa kebaikan dalam kehidupan kita kelak. Sebagai contoh, seorang wanita yang menutup aurat, seorang lelaki yang mampu memimpin keluarga dan lain-lain lagi. Dalam kita berkata sedemikian, kita manusia tidak lari daripada kelemahan dan keburukan. Setiap orang mempunyai nilai negatif yang berbeza. Di sini, apa yang perlu dilihat adalah kesanggupan individu terbabit untuk berubah menjadi lebih baik. Ada sesetengah orang yang dahulunya kurang berilmu dalam agama tetapi berhijrah selepas berkahwin. Itu membuktikan bahawa manusia boleh berubah jika diberi ruang dan diajar.

Sebagai manusia juga, kebiasaannya kita turut meletakkan kriteria-kriteria yang melibatkan fizikal luaran seseorang. Hal ini tidak menjadi masalah kerana insan yang kita pilih itu akan hidup dengan kita sehingga akhir hayat dengan izin Allah. Wajah itulah yang akan kita tatap hari-hari, jadi tidak salah untuk kita melihat seseorang pada rupa. Cuma, janganlah terlalu bersandar padanya kerana rupa akan berubah juga suatu hari nanti. Kadangkala, rupa yang kurang cantik dihiasi pula dengan adab yang berseri. Oleh itu, pilihlah dengan pintar calon yang sesuai dengan hati kita.   

5. MENYATAKAN HASRAT UNTUK MENCARI JODOH PADA IBU BAPA DAN KELUARGA

Dalam keluarga kita, ibu bapa turut berperanan untuk menjadi sahabat kita. Ertinya, mereka terbuka untuk mendengar idea atau luahan kita dan mereka ada di sisi sekiranya kita ditimpa masalah. Apabila masanya sudah tiba, kita perlulah memberitahu ibu bapa mengenai niat kita untuk mempunyai seorang kekasih hati. Terdapat beberapa alasan mengapa kita harus memberitahu mereka. Pertama sudah semestinya kerana mereka orang tua kita, jadi mereka berhak untuk tahu kalau kita sudah bersedia untuk menikah. Kedua, mereka boleh berkongsi pengalaman dalam mencari jodoh dan membina keluarga yang gembira kerana mereka telah melalui fasa itu terlebih dahulu.

Ketiga, mereka juga boleh membantu mencari calon yang bersesuaian dengan kita. Sebagai ibu bapa, mereka sudah faham dengan citarasa kita. Mereka mesti tahu orang seperti mana yang kita mahu dan mereka boleh turut membantu dalam proses pencarian terbabit.

Dengan itu, janganlah berdiam sahaja dengan ibu bapa sekiranya kita sudah bersedia untuk mencari pasangan. Khabar yang baik kan elok dikongsi. Siapa tahu, calon kita sebenarnya sudah ada di hadapan mata ibu bapa kita.

6. LAKUKAN SOLAT ISTIKHARAH UNTUK MEMOHON PETUNJUK 

Orang ramai sudah biasa mendengar tentang amalan solat Istikharah ini untuk memohon petunjuk sewaktu membuat pilihan. Walaupun sudah menjadi kebiasaan, amalan istikharah tetap menjadi salah satu cara terbaik dalam kita mencari jodoh. Dengan keizinan Ilahi, selalunya petunjuk akan datang setelah kita rajin menunaikan solat Istikharah dengan kerap. Ada yang beranggapan bahawa petunjuk daripada solat Istikharah akan muncul dalam mimpi sahaja. Sebenarnya itu tidak betul. Allah memberi petunjuk dalam pelbagai cara. Contohnya, hati kita tiba-tiba terpaut dengan kuat kepada seseorang, kenalan yang baru muncul dalam hidup kita atau ibu bapa kita memperkenalkan kita dengan seseorang yang mereka tahu. Jika kita kurang pasti dengan petunjuk yang Allah berikan, kita boleh terus melakukan Istikharah sehingga kita betul-betul yakin itulah jalan yang hendak Allah tunjukkan. Oleh itu, jangan malas untuk menunaikan solat Istikharah dan memohon bantuan Allah ketika hendak mencari jodoh.

Kesimpulannya, banyak persediaan yang wajar kita lakukan sebelum mencari jodoh yang sesuai dengan kita. Sebaiknya, kita memperbaiki kekurangan diri terlebih dahulu supaya kita menjadi calon yang lebih baik untuk pasangan kita nanti. Selain itu, kita mesti ingat garis panduan yang ditetapkan dalam Islam semasa mencari jodoh. Insya-Allah, bila tiba waktunya, jodoh kita akan tiba. Dengan persiapan yang rapi, kita akan melangkah ke alam perkahwinan dengan penuh yakin dan memperoleh keluarga yang bahagia nian.  

 

 Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar