Mencari Rezeki Sebelum Berkahwin

Mencari Rezeki Sebelum Berkahwin

Benar Allah menjanjikan rezeki bagi yang berkahwin, tetapi itu bukannya alasan untuk kita tidak berusaha dari awal.

Dikarang oleh asyrafjemaat | Tips dan petua

 

 

Pada hari ini, soal mencari jodoh bukan lagi satu topik perbualan yang asing dalam kalangan orang ramai. Setiap orang pasti menginginkan sebuah perkahwinan yang bahagia sehingga ke akhir hayat. Agama Islam turut menggalakkan kita untuk berkahwin di usia muda supaya kita terhindar daripada melakukan maksiat. Apa tidaknya, semakin moden dunia kita, semakin mudah kita terjerumus dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Islam juga menggariskan bahawa rezeki akan datang sesudah kita berkahwin kelak. Hal ini perlu dijelaskan kerana ada sesetengah pihak yang takut untuk mendirikan rumah tangga gara-gara masalah kewangan yang mengganggu diri mereka. Hal ini bertepatan dengan satu ayat al-Quran yang bermaksud,

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui."

(Surah An-Nur, ayat 32) 

Usah khuatir tentang rezeki kerana Allah sudah menjanjikan kemudahan apabila kita berkahwin nanti. Sesungguhnya rezeki Allah itu luas dan Dia akan memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki. Namun begitu, kami percaya bahawa persediaan untuk menstabilkan kewangan diri perlu juga dilakukan sebelum berkahwin. Perkara ini untuk mengelakkan berlakunya kesulitan selepas kita mendirikan rumah tangga. Dalam hal ini kita perlu berlaku adil. Benar Allah menjanjikan rezeki bagi yang berkahwin, tetapi itu bukannya alasan untuk kita tidak berusaha dari awal. 

Kepentingan Mencari Rezeki Sebelum Berkahwin

1. Tidak Perlu Kaya, Tetapi Cukup Untuk Memberi Nafkah Kepada Isteri

Hal ini memfokuskan kepada pihak lelaki kerana mereka yang akan menjadi ketua keluarga selepas berkahwin. Agama Islam itu sifatnya mudah dan indah. Kita tidak disuruh untuk mencari harta semata-mata dan dihujani dengan wang demi untuk menyara keluarga. Namun, biarlah pendapatan yang kita ada mencukupi agar kita mampu memberi nafkah kepada si isteri. Antara jenis nafkah adalah tempat tinggal yang selesa, pakaian dan makanan yang bersesuaian. Jika kita rasa pendapatan kita sekarang tidak mencukupi untuk menyara dua orang (diri kita dan isteri), maka kita mestilah bekerja keras lagi demi membentuk sebuah keluarga yang harmoni. 

Tidak ada perkara yang datang sekelip mata tanpa usaha khususnya dalam membina ikatan suami isteri yang sah. Kami yakin jika anda benar-benar komited untuk menjadi seorang suami, maka anda akan melakukan segala yang termampu untuk menyenangkan semua pihak. Oleh itu, cubalah sedaya upaya untuk mengumpul wang simpanan daripada awal. Pada masa yang sama, jangan lengahkan urusan perkahwinan terlalu lama. 

2. Mampu Menyara Keluarga Terutamanya Ibu Bapa

Walaupun kita sudah mempunyai keluarga sendiri sesudah berkahwin, tetapi kita masih perlu membantu keluarga sendiri apabila diperlukan. Buat para lelaki, antara isteri dan ibu, kita masih perlu dahulukan ibu. Berbeza dengan wanita, antara suami dan ibu, wanita perlu dahulukan suami. Di sini kita boleh lihat betapa pentingnya peranan suami dalam membuat keputusan untuk keluarga mereka. Sebagai contoh, suami perlulah berlaku adil terhadap isteri. Seandainya ibu mertua kita memerlukan sesuatu daripada isteri kita, janganlah dilarang akan hal tersebut sekiranya hal itu membawa kebaikan. 

Dari segi kewangan pula, kami pasti setiap orang masih memberikan wang bulanan kepada ibu bapa masing-masing walaupun sudah berkahwin. Berbeza dengan waktu bujang, komitmen kita akan meningkat dengan agak drastik kerana pelbagai keperluan harus kita penuhi. Bawa berbincang di antara anda berdua (lelaki dan perempuan) agar urusan kewangan ini tidak menjadi satu beban yang besar apabila hendak berkahwin. Ketika si lelaki mencari alternatif untuk mencari duit lebih, tidak salah rasanya untuk pihak si wanita turut membantu mencari pendapatan tambahan. Pada tahap ini, toleransi amat penting di antara lelaki dan wanita yang hendak berumah tangga. Dengan demikian, barulah kedua-duanya dapat disatukan dengan aman dan terancang. Malahan, keluarga masing-masing juga akan terjaga kerana kedua-dua pihak sudah bersedia dengan perancangan kewangan yang baharu.  

3. Memberikan Ketenangan Dalam Hidup Berumah Tangga

Sebuah kebahagiaan itu tidak boleh diukur dengan nilai material (harta benda). Namun dalam dunia hari ini, wang sudah menjadi aset yang penting dalam mengharungi kehidupan. Terdapat ramai insan yang kurang bernasib baik terpaksa hidup dalam kekurangan kerana tidak mampu menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi. Oleh itu, kami sekadar memberi peringatan agar berusahalah sebaiknya untuk membina masa depan yang cerah. Jangan lupa juga untuk menambah duit tabung kita secara konsisten kerana duit tersebut yang akan kita gunakan dikala waktu sukar nanti.

Atas sebab itulah kami menyatakan bahawa rezeki itu memberikan ketenangan dalam hidup berumah tangga. Rezeki itu memang ada, cuma terserah kepada kita untuk mencarinya. Selebihnya, kita serahkan urusan tersebut kepada Yang Esa. Memetik sebuah nukilan yang diambil daripada satu lagu lama Melayu, kata-katanya berbunyi, 

“Harta bukan milikmu, untukmu hanya rezeki, terkurang himpun lagi, terlebih memberilah.” 

(Derma Bukan Tontonan - Herman Tino) 

Begitulah lumrah manusia. Kita mampu berikhtiar, tetapi Allah saja yang mampu mengurniakan semuanya. Oleh itu, dalam kita berusaha untuk membina sebuah keluarga sendiri, tingkatkan juga amal ibadah kita supaya Allah terus membuka pintu-pintu kebaikan buat kita. 

Cara Mencari Rezeki Sebelum Berkahwin

1. Merancang Bajet Mengikut Kesesuaian

Sekiranya kita sudah bekerja, kebiasaannya kita akan membahagikan wang hasil daripada gaji kita mengikut keperluan dan komitmen. Contohnya, sesetengah orang akan melangsaikan dahulu hutang-hutang yang ada seperti hutang pengajian dan hutang kereta. Sesudah itu, barulah mereka akan mengira wang untuk perbelanjaan dan simpanan. Ada pihak profesional, misalnya Majalah Labur yang berpendapat bahawa kalau kita mampu, simpanan kita perlulah merangkumi 20% daripada gaji bersih kita. Kalau tidak mampu pula, cuba untuk simpan sekurang-kurangnya 10% daripada nilai yang ada. Berikut hanyalah cadangan sahaja. Bajet mestilah ditentukan bersesuaian dengan kos kehidupan seseorang individu. Gunalah apa sahaja teknik yang kita tahu asalkan simpanan itu ada setiap bulan dan dalam masa yang sama kita mempunyai duit poket untuk berbelanja. 

Semakin tinggi kos sara hidup, semakin kurang perbelanjaan yang patut kita keluarkan. Hal ini supaya kita masih mempunyai duit yang cukup walaupun sudah berada di hujung bulan. Walaupun begitu, kami tidak bermaksud untuk menyuruh anda berlapar dan hidup sehelai sepinggang sahaja. Apa yang kami maksudkan adalah rancang kewangan anda dengan rapi di mana anda mempunyai ruang untuk menyimpan, membeli keperluan asas dan juga mampu memanjakan diri anda sekali-sekala. Jangan khuatir, rezeki tidak datang bergolek kepada semua orang. 

Mungkin anda rasa anda susah, tetapi sebenarnya ada ramai lagi di luar sana yang senasib dengan anda. Jika anda hidup dalam kekurangan tetapi masih ingin berkahwin, maka kuatkan semangat anda dan fikirkan jalan keluar yang ada untuk memperbaiki hidup anda. Insya-Allah, Allah sentiasa melihat hamba-hambanya yang berusaha mencari rezeki yang halal. 

2. Menabung Bersama-sama (Bagi Lelaki Dan Perempuan)

Apabila sudah berkahwin nanti, sudah menjadi tanggungjawab suami dan isteri untuk memastikan hubungan rumah tangga itu manis hendaknya. Anda boleh sahaja membentuk kemesraan tersebut dari awal dengan saling membantu untuk mengumpul simpanan. Pihak lelaki dan perempuan masing-masing boleh membuat tabung sendiri yang dikhaskan bagi urusan perkahwinan. Jangan pula ‘tebuk’ tabung itu kerana wang tersebut bertujuan untuk memudahkan urusan rumah tangga anda kelak. 

Kami sarankan agar anda letak satu jumlah sebagai matlamat anda. Cara ini akan memotivasikan diri anda untuk terus mengisi tabung tersebut sehinggalah anda berjaya mencapai sasaran yang diingini. Kalau anda rasa jumlah yang ada tidak cukup, boleh sahaja anda tambah duit lebihan anda ke dalam tabung yang sedia ada. Biar lebih, jangan kurang. 

3. Membezakan Kemahuan Dan Keperluan  

Dengan adanya pelbagai platform atas talian (online), kini urusan jual beli sudah menjadi lebih senang. Tekan sahaja satu butang, barang yang kita pesan akan sampai di depan rumah keesokan harinya. Jika kita tidak berhati-hati, platform seperti ini akan mempengaruhi kita untuk membeli barangan yang tidak kita perlukan. Kadang-kadang, apabila kita nampak sahaja tawaran jualan murah, kita akan cenderung untuk mencari sebarang benda yang kita rasakan berbaloi. Hakikatnya, kita hanya membeli kerana tawaran yang diberikan. 

Oleh itu, elakkan daripada melayari platform-platform seperti ini jika anda tidak mempunyai wang tambahan. Berbelanja dengan cermat dan ingat fokus anda untuk mengumpul duit kahwin. Belajar juga untuk bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang. Mungkin itupun sudah cukup untuk membantu aktiviti seharian kita. Ingat, ada insan yang lebih susah daripada kita yang mahukan sesuatu yang kita punyai. Jadi jangan pernah kita lupa akan nilai sesuatu barang. Wang juga tinggi nilainya dalam dunia moden ini. Belanjakan wang mengikut kemampuan kita. 

4. Rancang Satu Jangka Masa Untuk Kita Menyimpan 

Agama kita menuntut agar kita menyegerakan sesebuah perkahwinan. Di samping itu, kami pasti setiap orang terutamanya wanita tidak mahu menanti terlalu lama untuk mendirikan rumah tangga dengan calon pilihannya. Di sini kami sarankan supaya anda merancang satu jangka masa untuk mengumpul simpanan. Ini bererti anda letakkan satu tarikh akhir yang mana anda tahu jumlah yang diinginkan itu dapat dicapai. Setelah anda meletakkan jangka masa ini, anda perlu berdisiplin dalam memastikan jumlah itu ada tepat pada masanya. Mungkin anda boleh membuat kira-kira dan membahagikan jumlah besar itu kepada jumlah yang boleh dikumpul secara bulanan. 

Ambil perhatian terhadap jumlah yang sudah anda kumpul. Jika anda selalu menyimpan lebih maka tidak menjadi masalah. Tetapi jika anda terkurang dari segi jumlah, cari jalan supaya anda boleh mengejar semula tempoh masa yang sudah anda tetapkan. Kami akui menyimpan bukan mudah. Tetapi bak kata pepatah, “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.”

5. Cuba Cari Sumber Pendapatan Sampingan Untuk Menambah Simpanan Kita

Zaman sekarang, ramai antara kita yang mempunyai kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan masing-masing. Mana tidaknya, saban hari harga barangan keperluan kian meningkat tetapi kita masih berada di tangga gaji yang sama. Bagi mengelakkan kurangnya bajet di masa akan datang, cuba anda ikhtiarkan untuk mencari sumber pendapatan kedua di mana-mana. Dengan rangkaian internet, pilihan yang kita ada semakin meluas. Kita hanya perlu cari dan rajinkan diri sahaja. Biar kita berkorban sewaktu zaman bujang dan merasai hasilnya selepas berkahwin. 

Pulangan daripada sumber pendapatan kedua adalah berbeza mengikut pekerjaan. Misalnya, kalau kita memilih untuk menjadi seorang pemandu ‘e-hailing’, pulangannya bergantung kepada berapa ramai pelanggan yang kita perolehi dan jumlah jarak yang kita lalui. Selain itu, sesetengah daripada kita juga melakukan kerja secara bebas (freelance) mengikut kebolehan masing-masing. Jika kita rajin, kerja sebegini sedikit sebanyak mampu menambah duit poket yang kita ada. 

Fokuskan sumber pendapatan kedua anda untuk menambah lagi simpanan. Gunakan duit tersebut untuk berbelanja hanya apabila anda betul-betul pasti yang simpanan anda pada ketika itu sudah mencapai sasaran. Namun jika waktu mendesak, ambillah duit yang ada dan lakukan kira-kira sebaiknya. Ingatkan juga diri sendiri bahawa rezeki itu Allah yang beri. Maka ikhlaskan hati dalam bekerja kerana di situ terletaknya keberkatan. 

6. Melakukan Ibadah Sunat Dan Bertawakal 

Akhir sekali, setelah kita berikhtiar untuk mencari rezeki, letakkanlah sepenuh keyakinan kita terhadap ketentuan-Nya. Amalkan bersedekah kerana sedekah tidak mungurangkan harta, malahan menambahkannya. Amalan sedekah juga membersihkan hati dan memberi kesembuhan kepada diri kita. Selain itu, jangan lupa untuk berzikir serta membaca doa-doa lazim. Niatkan dalam hati supaya Allah membuka pintu rezeki dan pintu kebaikan seluas-luasnya bukan sahaja buat kita tetapi juga buat ibu bapa, keluarga dan calon isteri/suami kita. 

Mungkin tanpa kita sedari, sebelum ini rezeki kita kurang bukan kerana kita tidak berusaha, tetapi ibadah kita kurang kepada Ilahi. Mungkin juga kita tidak menjaga diri atau lisan dengan baik sehingga Dia menarik semula kurniaan-Nya daripada kita. Dari itu, muhasabah diri kita agar selalu melakukan kebaikan dan bertaubatlah segera jika kita berbuat silap. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani. 

Begitulah perjalanan yang perlu kita tempuhi dalam membentuk diri kita untuk menjadi seorang suami atau isteri yang baik. Perkahwinan itu mudah, tetapi menjaga ikatan itu bukan satu tugas yang boleh diambil ringan. Oleh itu, lakukanlah apa yang sewajarnya supaya kita bersedia mengharungi alam perkahwinan kelak. Ingin kami tekankan, rezeki manusia datang dalam pelbagai bentuk. Tetapi untuk kali ini, kami memberikan tumpuan kepada mencari harta atau pendapatan.  

Orang Melayu selalu menyebut, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Semoga usaha yang kita lakukan cukup untuk membina satu hubungan yang bahagia serta diredhai oleh Allah. 

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar