Lelaki yang tidak sesuai dijadikan calon suami!

Lelaki yang tidak sesuai dijadikan calon suami!

"Sama juga halnya seperti memilih wanita untuk dijadikan isteri, perempuan juga memiliki hak yang sama..."

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Lelaki merupakan ketua dalam keluarga. Mereka adalah insan hebat yang dipilih Allah untuk memimpin keluarga. Tanggungjawab seorang lelaki dan ketua keluarga sebenarnya adalah sangat besar kepada islam dan keluarga mereka sendiri. Sebab itu mereka dipilih Allah sebagai insan yang memimpin institusi keluarga, imam solat malah memimpin masyarakat.

Di dalam urusan memilih jodoh, ada beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan. Sama juga halnya seperti memilih wanita untuk dijadikan isteri, perempuan juga memiliki hak yang sama untuk memilih lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami mereka. Ini kerana besarnya kesan kepada rumah tangga mereka jika pilihan yang dibuat adalah tidak betul dan tepat.

Nabi saw telah bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah;

“Jika (seorang lelaki) datang (untuk meminang anak perempuan kamu) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya, nikahkanlah ia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan maka akan terjadi fitnah di (muka) bumi.”

Maksud daripada hadis di atas, Nabi Muhammad sangat menekankan pemilihan yang dibuat untuk calon suami adalah dinilai daripada aspek agama dan akhlak seorang lelaki. Jadi, menilai tahap agama dan akhlak seseorang lelaki merupakan dua kriteria yang penting untuk seorang perempuan memilih imam mereka. Jika kita abaikan dua perkara ini, maka fitnah dan kerosakan akan terjadi.

Kami sediakan beberapa ciri-ciri lelaki yang perlu dielakkan atau tidak sesuai dijadikan calon suami untuk perempuan yang berhajat atau masih mencari calon suami mereka. Perempuan boleh menilai daripada ciri-ciri tersebut untuk rujukan supaya mereka membina rumah tangga yang harmoni dan bahagia.

1.Mengabaikan solat.

Perhatikan solat calon suami anda. Jika anda susah untuk menyelidik bab solat tersebut, tanyalah kepada kawan atau sahabat-sahabat yang terdekat dengannya. Orang yang mengabaikan solat yang wajib biasanya akan gagal dalam urusan agama wajib yang lain. Jadi, lihatlah solat lima waktunya terlebih dahulu.

2.Tidak menghormati kedua ibu bapanya.

Jika ibu bapa sendiri pun mereka tidak hormat dan selalu melawan cakap, maka lagi senang untuk mereka tidak hormat kepada isteri mereka. Perhatikan semasa bercakap ditelefon atau semasa bersama dengan keluarga lelaki tersebut.

3.Tidak bertanggungjawab.

Seorang lelaki haruslah memiliki sikap bertanggungjawab. Ini kerana, dengan sikap tanggungjawab inilah mereka akan memikul tanggungjawab memimpin keluarga. Lelaki yang tidak mempunyai sikap tanggungjawab, akan gagal memimpin keluarga. Nilailah calon suami anda daripada tanggungjawab dia dengan keluarga dia. Tanggungjawab dia sebagai pelajar jika masih belajar. Adakah si dia benar-benar menjalankan tanggungjawab dengan amanah atau sekadar main-main dan sambil lewa.

4.Kedekut dan berkira.

Mempunyai suami yang kedekut juga amat malang bagi seorang perempuan. Kedekut dan berjimat dua perkara yang berbeza. Jangan samakan. Kedekut adalah berkira walaupun benda itu satu keperluan kepada keluarga seperti makanan dan bahan keperluan keluarga lain. Manakala, berjimat adalah untuk perkara yang berbentuk kehendak atau kemahuan seperti kereta besar, perabot mewah dan sebagainya. Jika tiada pun tidak memberi kesan kepada keluarga. Elakkan mendapat suami yang kedekut jika anda tidak mahu makan hati pada masa depan.

5.Penakut.

Takut merupakan satu fitrah manusia. Ia bukan sahaja sifat seorang perempuan malah juga seorang lelaki apabila berhadapan dengan satu situasi yang menakutkan. Namun, penakut yang melampau bukanlah ciri suami yang baik. Sebagai contoh takut jika berseorangan di rumah kerana terpengaruh dengan cerita-cerita hantu dan sebagainya. Macam mana si dia hendak membela isteri dan anak-anak nanti jika perasaan takut menguasai diri ?

Ini adalah beberapa ciri-ciri lelaki yang kami senaraikan kepada perempuan yang masih mencari calon suami mereka sebagai rujukan bersama. Anda mungkin ada beberapa ciri lagi yang anda tetapkan sebagai aras untuk anda memilih suami idaman. Terpulang kepada masing-masing.

Harap bermanfaat!

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar