Lelaki, ini yang patut anda lakukan untuk mendapatkan wanita yang anda minati

Lelaki, ini yang patut anda lakukan untuk mendapatkan wanita yang anda minati

"tidak dinafikan bahawa wanita meletakkan penampilan yang menarik adalah antara salah satu ciri-ciri yang harus ada pada seorang lelaki..."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

Lelaki dan wanita menggunakan cara yang berbeza dalam meluahkan perasaan mereka. Perempuan lebih memilih untuk menzahirkan perasaan manakala lelaki pula lebih suka memendam dan tidak terlalu menunjuk rasa kasih sayang. Namun jika seseorang lelaki itu sanggup mempamerkan rasa kasih sayang mereka terhadap wanita secara terbuka, maka itu menunjukkan rasa sayang yang sebenar. 

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh siswazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  orang lelaki lebih gemar untuk memendam perasaan berbanding wanita. Ini turut dipengaruhi oleh sifat maskuliniti yang dimiliki oleh lelaki di mana mereka ingin mengekalkan keegoan mereka yang dikatakan lebih ‘macho’ berbanding wanita. Ia juga sedikit sebanyak memberikan sedikit kekeliruan bagi kaum wanita untuk memahami signal yang cuba disampaikan oleh seorang lelaki. Keadaan ini merumitkan mereka untuk mendapatkan wanita yang mereka sukai.

Bagi lelaki di luar sana, untuk mengelak diri anda dari ‘terlepas’ untuk memiliki wanita idaman anda, jom amalkan beberapa perkara seperti di bawah:

Penampilan menarik

Apabila bercakap mengenai tentang tarikan, itu mungkin adalah satu perkara yang subjektif. Namun tidak dinafikan bahawa wanita meletakkan penampilan yang menarik adalah antara salah satu ciri-ciri yang harus ada pada seorang lelaki. Lumrah kita sebagai seorang manusia yang mahukan sesuatu yang sedap mata memandang. 

Meskipun penampilan sememangnya bukan hal yang paling utama, namun penampilan memainkan peranan penting untuk diperhatikan di mata setiap wanita. Ini adalah kerana penampilan juga mencerminkan keperibadian seseorang itu. Kalau penampilan sendiri pun tidak terurus, maka secara automatik mereka sudah dapat membayangkan sifat keperibadian anda sendiri. Antara perkara yang harus dititikberatkan adalah mengenai pemilihan pakaian, gaya rambut dan personaliti kita sendiri. 

Banyak nas dalam Al-Quran dan al-hadis yang menjelaskan bahawa Islam meraikan kecantikan bahkan menuntut manusia untuk memperlihatkan diri mereka dalam keadaan yang cantik dalam masa yang sama sunyi daripada sifat riak dan takabbur. Ia dianggap sebagai memperlihatkan nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T ke atas dirinya.

Dai Hamidah berkata, menjaga kecantikan dan kesihatan memang dianjurkan dalam Islam. Malah katanya, Rasulullah S.A.W sendiri menggesa agar kita sedaya upaya menghilangkan keaiban yang ada pada diri kita, menjaga kecantikan, tampil rapi dan disenangi oleh sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan kita.

Sabda Rasulullah S.A.W: "Sesungguhnya Allah itu cantik dan amat sukakan kecantikan. la sukakan melihat kesan-kesan nikmat kepada hamba-Nya serta Allah benci kesusahan dan bala bencana. (Riwayat al-Baihaqi)

Tahu kesukaannya

Sekiranya anda sudah menaruh hati pada seseorang itu, sewajarnya anda sudah mengetahui tentang apa yang disukai olehnya. Anda pun tahu bahawa perempuan ini memang mempunyai perwatakan yang manja yang selalu inginkan perhatian. Oleh itu mereka sangat suka jika anda dapat memanjakan diri mereka dengan cara anda tersendiri. Misalnya memberi hadiah kesukaannya atau makanan kegemarannya. Ianya bukan bermaksud hipokrit atau pura-pura tetapi lebih untuk menambat hati si dia.

Todd Kashdan, pakar psikologi dan sosial di sebuah universiti menyatakan bahawa rata-rata kaum lelaki tidak peka tentang hal ini. Beliau menjelaskan bahawa kaum wanita adalah kaum yang sangat gemar menerima sebarang hadiah apatah lagi kalau ianya diberikan secara kejutan oleh kaum lelaki. Hadiah  yang dimaksudkan tidak semestinya sesuatu yang mahal atau mewah, yang penting adalah keikhlasan dari si pemberi.

Tambahan pula jika anda sudah tahu akan kesukaan wanita itu, anda akan lebih mudah membuat ianya sebagai topik dalam setiap perbualan. Nescaya si dia akan perasan bahawa anda benar-benar berusaha mendapatkan hatinya. Anda pun akan jadi lebih bersemangat dalam usaha untuk mendekatinya.

Segera bertindak

Seperti yang kita tahu lelaki adalah insan yang sangat susah untuk meluahkan perasaan secara jelas kepada pasangannya. Sedangkan dalam Islam, kita digalakkan untuk memberitahu isi hati jika kita suka dengan seseorang. Namun dengan syarat, suka dan minat pada si dia disertai niat untuk berkahwin dengannya. 

Ustaz Azhar ada menegaskan dalam ceramah beliau mengenai hukum meluahkan perasaan pada seorang perempuan. Beliau berkata lebih baik berterus terang kepada si wanita tetapi mestilah jangan dalam keadaan khalwat. Sebaiknya berjumpa dengan ibu bapa si wanita dengan menyatakan hasrat di hati. 

Namun jangan sesekali memendam perasaan itu. Jika anda tidak luahkan, si dia sudah tentu tidak tahu tentang perasaan anda. Beranikanlah diri untuk meluahkan padanya kerana ianya penting untuk anda tahu sama ada hubungan itu boleh ke tahap seterusnya atau tidak. Maka segeralah bertindak dengan sewajarnya.

Jaga tutur kata 

Jika anda ingin mendapatkan wanita idaman anda, jangan terlalu menunjukkan watak yang terlalu serius. Wanita menyukai lelaki yang pandai berkomunikasi dan tahu bezakan sesuatu yang lawak dan sesuatu yang serius. Jadi awasi percakapan anda semasa berbicara dengan wanita. Mereka tidak suka apabila lelaki meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka.

Apabila anda berbicara, bercakaplah dengan lemah lembut dan tetaplah jadi diri anda yang sebenar. Elakkan berpura-pura dengannya. Apatah lagi jika anda terpaksa mencari identiti baru semata-mata mahu memikat dirinya. Tindakan ini sudah pasti akan menyusahkan diri anda sendiri. Kami percaya si dia pasti terpikat dengan kelembutan layanan anda pada dirinya.

Anda mungkin juga boleh selitkan pujian apabila berbicara dengannya. Wanita memang lemah dengan pujian tetapi pujilah dengan ikhlas.  Wanita dapat merasakan keikhlasan pujian anda itu. 

Sekiranya anda sudah menaruh hati pada seseorang, ayuh buka langkah dan lakukan sesuatu yang sewajarnya. Namun ingat, setiap tindakan dan perbuatan haruslah tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Jom bina Baitul Muslim (keluarga muslim)

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar