Keluar Berdua Berlawanan Jantina Di Tempat Umum
Keluar Berdua Berlawanan Jantina Di Tempat Umum
Allah S.W.T. telah menciptakan manusia dalam keadaan yang mempunyai pelbagai bangsa, latar belakang dan berbeza jantina. Berbeza kabilah dan berbeza puak. Berbeza bahasa dan berbeza negara...
Allah S.W.T. telah menciptakan manusia dalam keadaan yang mempunyai pelbagai bangsa, latar belakang dan berbeza jantina. Berbeza kabilah dan berbeza puak. Berbeza bahasa dan berbeza negara. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana terhadap segala percaturan dan penetapan-Nya. Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)."
(Surah Al-Hujurat: ayat 13)
Apabila kita meneliti ayat dalam surah Al-Hujurat tersebut, kita akan mendapati bahawa kejadian manusia dalam kepelbagaian bangsa dan masyarakat termasuklah dalam hal berlainan jantina adalah fitrah. Tujuan kejadian pelbagai lapisan masyarakat ini adalah kerana Allah S.W.T. mahu kita saling beramah mesra dan kenal-mengenal di antara satu sama lain. Orang yang mulia di sisi Allah bukanlah orang yang lebih tinggi darjat dan bangsanya tetapi yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang bertakwa sebagaimana maksud dalam ayat tersebut.
Dalam artikel kali ini, saya tidak akan menyentuh tentang hubungan antara bangsa atau perbezaan lapisan masyarakat. Secara umumnya ia adalah sesuatu yang digalakkan untuk mengenal bangsa atau masyarakat lain yang berbeza dengan kita. Namun perkara yang saya ingin bincangkan adalah mengenai hubungan antara lelaki dan perempuan. Kebiasaanya perkara inilah yang menjadi persoalan di dalam masyarakat kita hari ini.
Lelaki dan wanita
Allah S.W.T. dengan penuh bijak menciptakan kita, ada yang lelaki dan ada yang wanita. Tidak Allah ciptakan hanya lelaki di muka bumi, begitu juga tidak hanya wanita. Kewujudan kedua-duanya pula disertai dengan beberapa garis panduan penting yang hanya akan dikecapi hikmahnya oleh manusia cerdik lagi suka berfikir.
Kedua-dua lelaki dan wanita hidup sebagaimana yang ditetapkan ke atas mereka. Lelaki cenderung menjadi gagah lagi kuat fizikalnya manakala wanita cenderung menjadi lembut dan tertib. Lelaki sampai kiamat tidak akan boleh mengandung apatah lagi melahirkan zuriat. Wanita pula pasti akan didatangi haid dan sebagainya.
Mereka, lelaki dan wanita hidup sebagai diri mereka. Satu sama lain tidak boleh menukar keistimewaan diri masing-masing walaupun kedua-duanya mahu.
Islam sebagai satu cara hidup yang paling sempurna dan sesuai untuk semua manusia tidak hanya berbicara perihal solat dan zakat. Bahkan Islam juga membicarakan tentang bab mu’amalat iaitu perhubungan sesama manusia. Termasuk juga perbincangan tentang perhubungan antara lelaki dan wanita.
Pergaulan lelaki dan wanita
Apabila lelaki dan wanita hidup sebagai diri masing-masing, maka di sana ada etika tertentu yang perlu mereka patuh dan ikut jika mahu berhubung sesama mereka. Sungguh Allah itu tidak zalim dan kejam, sehingga menyekat manusia berjantina lelaki untuk hidup serta bergaul sesama lelaki sahaja manakala wanita juga hanya bergaul sesama wanita sahaja.
Salah faham seperti ini, kerap kali menjadikan wanita sebagai mangsa, sehingga pergerakan mereka terbatas dan sudut pandang mereka menjadi sempit. Hakikatnya mangsa yang sebenar bukanlah wanita sebaliknya Islam itu sendiri ditohmah sebagai punca kepada sindrom tersebut.
Islam tidak menyekat manusia untuk maju. Ia juga bermakna Islam tidak menyekat manusia bertindak atau melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan mereka maju. Antara cara manusia maju adalah dengan bekerja, terlibat dengan bisnes, mendekati masyarakat dan sebagainya.
Secara dasarnya, kedua-dua lelaki dan wanita tidak disekat untuk memajukan diri mereka dalam apa sahaja aspek yang mereka ceburi. Tidak ada istilah hanya lelaki boleh maju, wanita perlu duduk di rumah. Islam itu prinsipnya bukan menyekat, sebaliknya memberi saluran dan alternatif.
Etika yang perlu dipatuhi keluar jika terpaksa berdua
Apabila manusia bergerak untuk maju, mereka akan bertemu dalam lapangan-lapangan tertentu. Seumpama kehidupan di kampus, kerja di pejabat mahupun turun memberi sumbangan pada masyarakat. Manusia yang bertemu ini, bukan hanya sesama jantina sebaliknya lelaki pasti akan bertemu wanita, dan wanita pula akan bertemu lelaki.
Tidak haram lelaki bertemu wanita dalam satu-satu lapangan kerja, begitu juga wanita tidak haram bertemu lelaki. Mereka boleh berhubung, bergaul dan bekerja bersama-sama. Cuma Islam menyalurkan manusia dengan etika yang betul. Etika inilah yang akan menjadikan pergaulan serta perhubungan tadi selamat, bukan hanya di dunia bahkan hingga ke akhirat.
1. Elak keluar berdua
Walaupun artikel yang saya tulis ini adalah berkaitan etika yang terpaksa diikuti jika berdua, namun saya tetap ingin menyarankan untuk mengelakkan keluar berdua selagi boleh. Saya faham mungkin terdapat beberapa situasi yang anda tidak dapat elak sebagai contoh di tempat kerja. Apabila bekerja makan gaji, kita terpaksa menurut arahan yang diberikan oleh majikan kita selagi tidak melanggar batas agama.
2. Mempunyai tujuan yang jelas
Apabila kita keluar berdua berlainan jantina, kita mesti mempunyai tujuan yang jelas dan bukan sekadar suka-suka. Sebagai contoh, atas urusan kerja atau perkara-perkara yang penting sahaja.
3. Menundukkan pandangan
Menundukkan pandangan maksudnya jangan pandang tanpa ada keperluan untuk pandang. Jangan pandang dengan nafsu. Jangan pandang dengan keinginan tertentu. Jangan pandang tempat-tempat tertentu.
4. Menaiki kenderaan yang berbeza
Menaiki kenderaan yang sama dengan berlawanan jantina akan mengundang fitnah. Sebolehnya asingkan kenderaan anda dengan dia. Menutup ruang fitnah adalah lebih baik.
5. Jangan berjumpa di tempat yang sunyi
Jika berjanji untuk berjumpa, pastikan tempat yang kita pilih bukanlah tempat yang sunyi daripada orang ramai. Pilihlah tempat umum yang agak ramai orang dan tidak menimbulkan fitnah. Contohnya ialah seperti kedai makan, perpustakaan dan sebagainya.
6. Jangan terlalu lama berdua
Pastikan kita berbincang perkara yang sepatutnya sahaja. Elakkan untuk berbual perkara lain yang bukan daripada tujuan asal kita berjumpa dengannya. Jika terlalu lama berdua, ia juga boleh mengundang pelbagai fitnah kepada diri anda dan si dia.
Kesimpulan
Islam adalah sebagai satu cara hidup yang lengkap. Lelaki mahupun wanita tidak sewajarnya membuka ruang fitnah kepada Islam hanya kerana sikap masing-masing. Namun begitu, Islam juga tidak menyempitkan jika pada masa itu keadaan kita adalah darurat dan memerlukan dengan syarat kita menjaga etika yang telah digariskan oleh agama.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?