JANGAN GOPOH MEMILIH PASANGAN!

JANGAN GOPOH MEMILIH PASANGAN!

“Cinta itu boleh diumpamakan seperti makan sambal belacan. Walau pedas hingga mengalir air mata masih namun dimakan juga”

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

“Cinta itu boleh diumpamakan seperti makan sambal belacan. Walau pedas hingga mengalir air mata masih namun dimakan juga”. Inilah petikan lirik lagu daripada filem “Lady Boss” yang menggambarkan cinta dalam satu hubungan mesti ada suka dan duka tetapi masih mampu diteruskan juga. Begitu juga cinta dan perasaan kasih antara lelaki dan wanita adalah lumrah dalam kehidupan.

Semasa proses pencarian jodoh atau dalam perhubungan, setiap keputusan yang dibuat perlulah difikirkan terlebih dahulu dan perlu perbincangan supaya sikap terburu-buru tidak akan terjadi. Terburu-buru adalah sikap yang tidak perlu ada dalam diri setiap manusia. Sikap ini menjadikan seseorang itu kerap tersalah langkah dan kemudian menyesal di kemudian hari. Bak kata pepatah, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Jadi dalam soal mencari jodoh dan dalam perhubungan sering bersangkut-paut dengan sikap terburu-buru. Berfikir, berbincang dan istikharah sebelum bertindak adalah kunci utama dalam perhubungan.

Berfikir dalam membuat keputusan.

Seperti yang telah diterangkan dalam permulaan tadi, bertenang dan berfikir sebelum bertindak. Allah kurniakan akal kepada kita bukan untuk dibiarkan begitu sahaja. Akal digunakan untuk berfikir dan antaranya untuk membezakan baik dan buruk. Ambil contoh apabila seseorang yang bernama lelaki berminat kepada seorang wanita tetapi atas dasar kecantikannya sahaja tanpa memikirkan sifat dalaman wanita itu. Harus diingat bahawa bercinta atas dasar rupa tidak dapat memberi kebaikan dalam perhubungan.

Selain daripada itu, wanita juga tidak terlepas dalam situasi ini. Seronok melihat lelaki kacak sehingga sanggup membuat apa sahaja. Jangan wanita! Jangan! Maruah dan diri anda tidak ternilai untuk dijual kepada lelaki. Memang bangga bila ada pasangan yang kacak dan cantik, tetapi harus diingat kecantikan seorang wanita dan kacaknya seorang lelaki tidak akan bertahan kerana usia akan menewaskan rupa sedikit demi sedikit.

Berbincang bersama pasangan. 

Dalam perhubungan, setiap keputusan yang dibuat tidak kira oleh lelaki ataupun wanita haruslah berdasarkan perbincangan kerana apabila dua idea berkongsi pendapat, keputusan yang diperolehi akan lebih tepat dan make sense bak kata orang putih. Berfikir dalam membuat keputusan seperti yang dikongsikan sebelum ini adalah langkah pertama kerana berfikir adalah aktiviti manusia setiap hari. Contoh satu situasi apabila pasangan anda yang dulunya ceria dan kini muram. Mesti anda hairan dan terus berfikir apakah punca yang menyebabkan terjadinya sifat sebegitu. Pasangan anda yang menjadi tidak ceria akan membuat perhubungan menjadi suram akibat tiada komunikasi dan perkongsian.

Istikarah dalam membuat keputusan. 

Bagi yang beragama islam, istikharah amat digalakkan didalam agama untuk menyelesaikan jalan yang buntu atau ingin membuat sesuatu keputusan. Masa yang diberikan selama berkenalan jangan dipersiakan dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah, sebaliknya cuba mengenali pasangan dengan baik. Dalam proses berkenalan seharusnya dapat mengenali seseorang itu dari segi sikap, sifat, dan pertuturan. Ambil masa yang diperlukan dan tidak perlu terburu-buru kerana dengan izin Allah, perhubungan tersebut mungkin boleh melangkah ke alam perkahwinan.

Selepas sampai satu tempoh anda berpuas hati dan yakin terhadap pasangan, lakukan solat istikharah dan berdoa supaya diberikan petunjuk dan pilihan yang anda buat adalah tepat. Jangan lakukan sekali, lakukan berulang kali supaya Allah berikan petunjuk. Inshaa Allah, jika hati berasa tenang dan tidak gusar apabila berkomunikasi bersama pasangan, ini bermakna Allah berikan petunjuk yang baik. Sekiranya berasa dia lah jodoh anda, maka jangan tangguh untuk menghalalkan perhubungan tersebut!

Kesimpulan. 

Jangan anggap setiap keputusan yang dibuat secara terburu-buru itu akan memberi kesan positif. Berfikirlah masak-masak dahulu serta berbincang dengan pasangan supaya hubungan dapat dijaga serta dapat membuat keputusan yang bijak. Bidalan ada mengatakan, ‘berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat’.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar