Ibu bapa anda tidak setuju anda berkahwin dengan pilihan hati anda? Buat 5 cara ini.

Ibu bapa anda tidak setuju anda berkahwin dengan pilihan hati anda? Buat 5 cara ini.

"Restu ibu bapa merupakan perkara yang amat penting untuk menjayakan sesuatu hubungan"

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Setiap orang mengimpikan yang mereka akan berjodoh dengan pilihan hatinya. Sama ada lelaki atau perempuan, kebanyakkan pasangan yang berkahwin pada zaman kini, mereka lebih suka memilih pasangan masing-masing untuk dijadikan calon suami atau isteri mereka. Ia bukanlah satu kesalahan di dalam islam. Bahkan di dalam satu hadis juga, Rasulullah ada menyebutkan tentang beberapa ciri pilihan pasangan kita.

“Wanita biasanya dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana parasnya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu memilih wanita yang baik agamanya. Kalau tidak, nescaya kamu akan rugi.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka, jelas bagi orang islam tidak kira lelaki atau wanita bahawa setiap pilihan jodoh kita, mesti berasaskan kepada 4 ciri ini iaitu harta, rupa paras, kedudukan dan agama. Dan Rasulullah memberi jaminan bahawa memilih yang baik agamanya tidak akan rugi. Hadis di atas lebih tertumpu kepada lelaki kerana biasanya lelaki yang akan memilih calon isteri. Namun, ia tetap boleh dijadikan rujukan bagi wanita kerana merekalah golongan yang menerima pinangan dan sepatutnya mereka menerimanya di atas ciri yang sama berdasarkan hadis.

Restu ibu bapa merupakan perkara yang amat penting untuk menjayakan sesuatu hubungan. Walaupun ia bukanlah perkara yang wajib ketika mahu bernikah, tetapi kita dituntut agar berbuat baik kepada ibu bapa kita. Ada beberapa tips yang boleh dilakukan untuk mengambil hati mereka supaya menerima pilihan hati kita.

1. Minta pasangan untuk belajar agama.

Ibu bapa biasanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Orang yang banyak dan tinggi ilmu agama, biasanya adalah calon suami atau isteri yang paling ideal. Tidak perlu calon pasangan anda itu seorang ustaz atau ustazah. Cukup dia seorang yang cukup solat 5 waktu dan tahu asas-asas islam yang lain seperti mengaji al quran dan hukum feqah yang asas. Dalam masa sama, anda juga harus berusaha belajar agama. Jangan hanya harapkan pasangan anda sahaja. Tunjukkan bahawa anda dan pasangan sudah bersedia berkahwin dan hidup bersama.

2. Yakinkan ibu bapa anda yang anda dan pasangan sudah bersedia daripada sudut kewangan, mental dan fizikal.

Jika anda atau pasangan baru bekerja, ambil masa dulu untuk membuat simpanan perkahwinan. Kewangan merupakan antara perkara penting yang akan meyakinkan ibu bapa anda menerima pasangan anda. Simpanlah sebanyak mungkin untuk tabung perkahwinan anda. Jangan harapkan ibu bapa untuk membantu kos perkahwinan anda. Jika kita ada kewangan yang kukuh, insya Allah tiada halangan bagi mereka juga.

3. Ambil hati ibu bapa bakal pasangan walaupun mereka tidak suka.

Belikan hadiah dan selalu tanya khabar merupakan perkara yang boleh dilakukan untuk mengambil hati ibu bapa pasangan anda. Untuk lelaki, biarlah digelar ‘gentlemen’. Jika anda serius hendak berkahwin, anda mesti berani berjumpa dengan ibu bapa bakal pasangan anda. Untuk wanita pula, mereka boleh berusaha dengan menelefon kepada ibu bakal calon suami. Jika tidak berani, mungkin anda boleh bermula dengan mesej-mesej ucapan dulu seperti ucapan hari lahir dan sebagainya. Kirimkan hadiah juga akan mengambil hati bakal emak mertua anda kerana sifat orang perempuan biasanya suka apabila menerima hadiah.

4. Sabar dan terus berusaha.

Kesabaran adalah kunci yang paling utama bagi menghadapi ibu bapa bakal pasangan yang tidak menyukai kita. Teruskan berusaha memikat hati mereka. Bercakap dengan lembut, jangan melawan dan tetap hormat kepada mereka. Mudah-mudahan dengan segala kesabaran dan usaha anda dan bakal pasangan, ia akan melembutkan hati mereka. Biarlah masa yang menentukan. Mungkin ada yang sekejap dan mungkin ada yang mengambil masa terlalu lama.

5. Doa dan tawakal kepada Allah.

Setelah segala usaha kita lakukan, jangan lupa untuk berdoa kepada Allah supaya dilembutkan hati mereka untuk menerima kita dan pasangan kita. Usaha tanpa doa ibarat rumah tanpa tiang. Kemudian, serahkan segala urusan tersebut kepada Allah.

Ini hanyalah beberapa tips untuk mengambil hati ibu bapa anda dan bakal mertua jika mereka tidak menyukai anda dan pasangan anda berkahwin. Tiada jaminan bahawa tips ini akan berjaya dan membantu. Ia juga adalah salah satu usaha yang boleh dilakukan. Jika keputusannya tetap juga sebaliknya, anggaplah ia adalah ujian. Mungkin sesuatu yang kita anggap baik, sebenarnya adalah buruk bagi kita. Dan sesuatu yang kita anggap buruk, mungkin itulah yang terbaik buat kita.

Wallahualam.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar