Cara Menangani Konflik Dalam Hubungan

Cara Menangani Konflik Dalam Hubungan

"Jika dibiarkan dan tidak ditangani dengan baik, hal tersebut mampu membawa kepada perhubungan yang tidak sihat"

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

Konflik dalam hubungan memang sering kali terjadi terutama untuk mereka yang sedang bercinta mahupun bagi mereka yang sudah bertunang. Namun jangan sesekali membiarkan masalah itu berlarutan dan lebih baik mencari jalan untuk segera menyelesaikannya. Jika dibiarkan dan tidak ditangani dengan baik, hal tersebut mampu membawa kepada perhubungan yang tidak sihat. Malah sesuatu konflik juga boleh mengganggu aktiviti seharian seseorang misalnya dalam pekerjaan dan kehidupan hariannya. 

Konflik yang melanda mampu mempengaruhi hubungan sehingga berakhir dengan sebuah perpisahan. Harian Metro ada melaporkan pasangan yang putus tunang akibat keluarga kedua-dua belah pihak sering berselisih pendapat mengenai belanja kahwin serta hantaran. Namun sekiranya konflik itu diselesaikan dengan cara baik dan perbetulkan selisih faham tersebut, sudah tentu perpisahan dapat dielakkan.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Airil Haimi Mohd Adnan berkata isu perkahwinan yang tidak kekal antara pasangan Muslim dan agama lain menjadi masalah sosial yang membimbangkan. Ini kerana ada perkahwinan yang khabarnya bertahan hanya beberapa jam sebelum perceraian. Oleh itu, pertunangan perlu menjadi benteng pertahanan terawal. 

Lelaki mahupun wanita harus bijak menangani setiap konflik yang terjadi dengan sebaiknya agar hubungan kembali harmoni. Berikut kami kongsikan beberapa cara untuk menyelesaikan konflik dalam hubungan.

Pilih Waktu Dan Tempat Yang Sesuai

Ketika ingin menyelesaikan sesuatu konflik, pastikan kedua-dua pasangan sudah berada dalam keadaan tenang. Jika salah seorang antara anda masih marah, tundakan dahulu perbincangan tetapi janganlah terlalu lama.  Pastikan setiap perbincangan mestilah kena dengan tempatnya. Elakkan gangguan dari perkara lain supaya proses perbincangan dapat diteruskan dengan tenang.

Kawal Emosi

Pengawalan emosi adalah sangat penting ketika membicarakan setiap permasalahan. Emosi yang tidak terkawal akan menjadikan perbincangan menjadi semakin tegang. Saat anda merasakan emosi sedang tinggi, hentikan perbincangan. Nescaya perbincangan di saat itu tiada penyelesaiannya. Sebelum bertindak atau mengatakan sesuatu, fikirkanlah sebaik-baiknya terlebih dahulu kerana setiap kata dan tindakan akan memberi impak yang besar buat pasangan. 

Luahkan Secara Terus Terang

Ungkapkan perasaan anda secara terus terang. Kata-kata anda mestilah secara terbuka dan terhormat. Pastikan setiap perbicaraan dilakukan dengan jelas dan tenang tanpa ada perasaan marah. Anda mestilah rasional dalam setiap tindakan dan percakapan. Hindari dari menggunakan kod-kod tertentu atau bahasa kiasan yang menyukarkan pasangan anda untuk memahami maksud tersirat.

Jadilah Pendengar Yang Baik

Setibanya giliran pasangan anda pula yang bersuara atau memberi pendapat, berilah peluang kepadanya tanpa memotong percakapannya. Jadilah pendengar yang baik dan utarakan pendapat anda pula selepas selesai mendengar keluhan pasangan anda. Sentiasa bertindak rasional dan jangan terlalu mengikut emosi. Beri ruang pada pasangan anda dan jangan sentiasa merasakan diri anda itu di pihak yang betul. Hormat pada pendapat pasangan anda dan jangan terlalu ego.

Berusaha Untuk Mencapai Kata Putus

Dua individu yang mengalami konflik pasti mempunyai pendapat yang berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, untuk mengatasi konflik, anda dan pasangan haruslah berusaha untuk mencari persamaan antara satu sama lain dan mencapai kata putus atau “common ground” yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak dan seterusnya meleraikan konflik yang dialami. 

Bantuan Pihak Ketiga

Sebaiknya, setiap permasalahan hendaklah diselesaikan antara anda dan pasangan sahaja. Namun sekiranya anda merasakan konflik yang melanda itu menjadi semakin rumit, adalah lebih baik untuk anda mendapatkan bantuan dari pihak ketiga iaitu keluarga anda atau keluarga pasangan. Jika ingin lebih professional, anda boleh mendapatkan khidmat dari pihak kaunseling mahupun psikologi.  

Jangan Ambil Mudah Dengan Konflik Dalam Hubungan

Dalam ilmu psikologi, meluahkan masalah secara positif adalah salah satu daya tindak yang baik dan dapat mengurangkan tekanan hidup. Namun ramai antara pasangan tidak mahu melakukannya kerana takut dan bimbang hubungan mereka terjejas dan seterusnya boleh membawa kepada pergaduhan serta perpisahan. Berdasarkan kajian, konflik ini timbul apabila seseorang itu terpaksa melakukan beberapa pilihan terhadap tuntutan yang diminta pasangan.

Selain itu, akan berlaku komunikasi yang negatif sehingga boleh membawa kepada masalah tekanan yang tinggi. Ini juga boleh membawa kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan. Jika tidak dikawal boleh menyumbang kepada masalah bunuh diri.

Justeru, adalah penting untuk meluahkan masalah secara positif kepada pasangan kerana ia akan membantu membentuk persefahaman yang tinggi. Malah dari segi pemikiran pula, lebih baik anda dan pasangan duduk berbincang bersama bagi mengambil tindakan bersesuaian untuk keluar dari masalah yang melanda.

Dilema, konflik dan masalah biasa berlaku ketika tempoh bertunang. Namun, jangan dilihat dari sudut keburukannya sahaja kerana banyak kebaikan dan hikmah yang akan diraih calon suami dan calon isteri ketika melalui tempoh pertunangan. Usahakan untuk melalui tempoh bertunang dengan sabar dan mesra, hadapi cabaran dan dugaan sebaiknya. Dengan izin Allah, kelak perkahwinan itu akan kekal ke akhir usia.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar