Calon Pilihan Ibu Bapa - Terima Atau Tolak?

Calon Pilihan Ibu Bapa - Terima Atau Tolak?

...proses taaruf memberi ruang buat seseorang itu untuk mengenali calon yang dibawa oleh ibu bapa mereka.

Dikarang oleh asyrafjemaat | Tips dan petua

 

 

Zaman sekarang, jika kita perhatikan orang di sekeliling kita, ramai antara mereka yang sedang berusaha untuk mencari jodoh atau calon yang baik. Bukan mudah untuk memulakan langkah pertama dalam membentuk sesebuah keluarga. Namun begitu, bak kata pepatah Melayu, “kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Kebiasaannya, orang akan mencari calon bermula dengan kenalan rapat dan orang yang berada di sekeliling mereka. Seringkali apabila seseorang tidak menjumpai calon yang sesuai, ibu bapa mereka dengan terbuka menawarkan diri untuk mendapatkan mereka seorang calon. Dalam situasi ini, timbul pula pelbagai persoalan. Adakah calon yang dipilih itu sesuai dengan kita? Perlukah kita bersetuju dengan pilihan itu ataupun kita boleh tolak sahaja? Di sini kami huraikan beberapa hujah bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut.  

Bertaaruf dahulu untuk mengenali orang tersebut 

Ayat al-Quran ada menyebut, maksudnya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat: Ayat 13)

Menurut potongan ayat ini, maka jelaslah Allah menyeru manusia untuk berkenal-kenalan kerana kita datang daripada latar belakang dan keinginan yang berbeza. Dalam konteks topik kita pula, proses taaruf memberi ruang buat seseorang itu untuk mengenali calon yang dibawa oleh ibu bapa mereka. Siapa tahu, calon yang dibawa itu berakhlak mulia dan mampu menjaga kita dengan baik. Mungkin juga orang itulah jodoh yang sudah tertulis buat kita. Oleh itu, luaskan pandangan kita dan jangan menolak pilihan ibu bapa secara terburu-buru. Adakan pertemuan dengan orang terbabit dan lihat tingkah lakunya (ditemani oleh ibu bapa masing-masing), buka sebentar hati untuk memahami orang tersebut dengan lebih rapat, kemudian barulah fikirkan setiap timbangan yang wajar sama ada orang yang diperkenalkan itu sesuai atau tidak dengan kita. 

Seandainya dia bukanlah orang yang kita cari, undur diri secara sopan supaya kita tidak menyakiti hati sesiapa. Itulah tujuan taaruf iaitu untuk menilai sejauh mana kita serasi dengan calon yang ada. Taaruf tidak bermakna kita harus menerima terus calon tersebut, sebaliknya ia memberi kita peluang dan masa untuk melihat baik buruk sesuatu perkara. Jika keserasian terbentuk sewaktu tempoh taaruf, pastinya itu satu khabar gembira buat ibu bapa kita dan sebaiknya hubungan itu berakhir dengan pernikahan. Oleh itu, ambillah peluang untuk bertaaruf terlebih dahulu dengan calon yang dipilih oleh ibu bapa kita sebelum membuat sebarang keputusan.  

Ibu bapa sudah tentu memberikan yang terbaik untuk anak mereka 

Sebagai ibu bapa, sudah tentu keperluan dan kebahagiaan anak-anak menjadi keutamaan. Setiap ibu bapa pasti akan tersenyum melihat anak mereka gembira, berjaya dalam kehidupan dan bertemu jodoh dengan calon suami atau isteri seperti yang diidamkan. Begitulah mulianya darjat ibu bapa kita. Keprihatinan ibu bapa apabila bercakap soal cari jodoh juga tiada kurangnya. Mereka tentu mahukan seorang menantu yang ramah kepada manusia dan tekun beribadah kepada Yang Esa. Oleh sebab itu, jangan pula kita melenting sekiranya mereka berniat untuk memadankan kita dengan calon pilihan mereka. Pasti ada suatu keunikan yang terletak pada personaliti seseorang itu yang membuatkan ibu bapa kita berasa senang melihatnya. Mungkin sebab itu juga mereka merasakan bahawa orang itu padan dengan kita. 

Seperti yang dikatakan tadi, ibu bapa kita hanya mahukan yang terbaik untuk diri kita. Takkan ibu bapa kita sendiri mencari seorang calon yang hidupnya huru-hara dan adabnya tidak cantik, bukan? Kita berhak untuk berasa curiga kerana kita manusia biasa, tapi biarlah rasa curiga itu tidak mengaburi pemikiran logik kita. Apa yang penting, kita duduk berbincang dengan ibu bapa kita untuk mendapatkan kata sepakat dan pada masa yang sama kita memohon petunjuk Allah. Jadi ingat, ibu bapa kita hanya berniat untuk membuka jalan supaya kita dapat membina keluarga yang bahagia kelak. 

Mendapat restu ibu bapa

Kehidupan yang tenang bermula dengan rahmat daripada Ilahi dan diiringi dengan restu ibu bapa yang membesarkan kita. Tanpa restu orang tua, langkah kita boleh terumbang-ambing tanpa arah tujuan. Begitu juga dengan hubungan percintaan di mana tanpa restu ibu bapa, perhubungan yang dijalin mungkin tidak akan berakhir dengan gembira. Sekiranya kita bersedia untuk menerima calon pilihan hati ibu bapa, maka tanpa ragu restu mereka sudah berada di dalam tangan kita. Terdapat beberapa kebaikan yang dapat kita raih di situ. Pertama, Allah melihat usaha yang kita lakukan untuk mencari jodoh. Kedua, Allah juga melihat ketaatan kita pada ibu bapa dengan menerima calon yang mereka berikan. Ketiga, kita juga memperoleh redha daripada Allah dan restu ibu bapa dalam mengejar cita-cita untuk membina ikatan kekeluargaan yang sah. Siapa yang tidak mahu dilimpahi dengan keberkatan dalam hidup mereka, betul? 

Masa hadapan itu adalah misteri yang hanya Allah sahaja yang tahu. Mungkin ini adalah permulaan kepada kehidupan yang lebih bermakna buat kita. Sebagai manusia biasa, kita tidak boleh berasa sangsi dengan ketetapan Allah. Orang selalu berkata, Allah tidak memberikan apa yang kita mahu, sebaliknya Dia memberikan apa yang kita perlu. Senyumlah dalam apa jua keadaan. Kalau jodoh itu sesuai dengan kita, Allah pasti dekatkan. Kalau sebaliknya jodoh itu memudaratkan, pasti Allah jauhkan. Pokok pangkalnya, pohonlah restu ibu bapa dalam kita mencari orang yang sesuai untuk dijadikan pasangan.  

Jika hubungan tidak menjadi, nyatakan kepada ibu bapa dengan baik dan berhemah 

Kadangkala, pilihan yang dibuat oleh ibu bapa kita juga tidak tepat buat kita. Biasalah, kita mampu merancang tetapi Allah yang menentukan. Oleh itu, andainya kita lihat perhubungan itu tidak mampu dibawa lebih jauh, maka nyatakanlah khabar tersebut kepada ibu bapa dengan baik dan berhemah. Ini kerana kita tidak boleh menyakiti hati mereka walau dalam apa jua situasi. Sewaktu berbincang dengan mereka, cakaplah dengan lemah-lembut, sampaikan mesej kita dengan jelas dan tertib serta dengar maklum balas daripada mereka. Ibu bapa mesti faham sekiranya hubungan itu tidak menjadi. Bukan semua perkara berada di dalam kawalan kita. 

Kalau ibu bapa kita mengajukan soalan berkenaan hubungan tersebut, maka berikan jawapan yang adil dan jawab dengan penuh sabar. Ibu bapa kita juga berhak untuk tahu keseluruhan cerita. Dalam pada itu, berikan mereka masa untuk menerima berita yang disampaikan. Insya-Allah, mereka akan sentiasa menyokong tindakan kita dan memberi dorongan untuk kita berusaha dengan lebih lagi. Justeru, pastikan kita memberitahu ibu bapa sekiranya hubungan itu tidak menjadi dan maklumkan perkara itu dengan sopan dan penuh hormat. Al-Quran ada juga menyebut, maksudnya:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

(Surah al-Isra’: Ayat 23) 

Seperti biasa, mohon petunjuk daripada Allah

Yang terakhir sekali, mohonlah petunjuk daripada Allah sewaktu kita beribadah. Pohonlah sebanyak manapun doa kepada-Nya kerana kekuasaan Allah adalah jauh lebih besar daripada kemahuan kita yang kerdil ini. Jika kita inginkan satu hubungan yang berjaya, maka mintalah dengan rendah diri kepada-Nya. Jika kita ingin tahu sama ada seseorang itu sesuai atau tidak dengan kita, maka tanyalah kepada-Nya. Sertakan puji-pujian kepada Allah sewaktu berdoa. Tingkatkan juga amalan-amalan sunat kita dan tambah baik kualiti ibadah wajib yang kita tunaikan. Jangan pula kita berdoa, tetapi kita tinggalkan amalan-amalan yang baik. Jangan pula kita meminta petunjuk, tetapi kita selangi ibadah-ibadah itu dengan maksiat. Sucikan hati nurani kita dan berdoa kepada Allah dengan penuh khusyuk.  

Kesimpulannya, tidak wajar untuk kita terus menolak calon yang telah dipilih oleh ibu bapa. Sebaliknya, kita perlu menilai terlebih dahulu baik buruk mereka kemudian barulah kita buat keputusan yang muktamad. Walau apa jua kata putus yang telah kita tetapkan, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai anak untuk menjaga hati ibu bapa kita. Maka dari itu, duduk berbincang dengan ibu bapa secara baik dan ceritakan sebaiknya isi hati kita. Moga proses ini menjadi satu detik yang bermakna dalam menentukan siapa jodoh kita di penghujung hari nanti.  



 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar