Bagaimanakah kita boleh tahu bahawa seseorang itu jodoh atau tidak bagi kita?

Bagaimanakah kita boleh tahu bahawa seseorang itu jodoh atau tidak bagi kita?

(Dipetik dari video ceramah Ustaz Iqbal Al-Jauhari)

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

Apabila seseorang itu ingin melangsungkan pernikahan mahupun sebuah pertunangan, perkara pertama yang akan bermain di benak mereka adalah:

 

Adakah keputusan yang aku lakukan ini adalah yang terbaik buatku dan pasangan? Benarkah dia jodoh yang tepat buatku?

Antara si A dan si B, manakah yang paling terbaik untukku?

 

Islam adalah agama yang sangat sempurna. Bahkan Islam juga menyediakan penyelesaian bagi mereka yang keliru akan jodoh mereka sendiri. Walaupun manusia dikurniakan dengan akal fikiran tetapi mereka tetap memiliki kekurangan, terutama dalam menentukan sesuatu di luar kemampuannya

 

ISLAM MENGANJURKAN SOLAT ISTIKHARAH

 

Oleh yang demikian, umat manusia hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang itu membuat keputusan, mereka dianjurkan solat istikharah. Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk terutama apabila seseorang dalam keraguan untuk memutuskan antara dua perkara. Misalnya soal jodoh.

Namun masih terdapat kemusykilan terhadap jawapan berdasarkan petunjuk yang diberikan. Berikut adalah penerangan jawapan daripada Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari mengenai bagaimana kita boleh tahu bahawa seseorang itu jodoh atau tidak bagi kita.

 

1)MELIHAT KEPERIBADIAN SI DIA

 

Pertama sekali, anda harus lihat bagaimana agamanya, akhlaknya, adabnya dan bagaimana sopan santunnya. Anda harus nilai dari segi luaran. Cara percakapannya dan cara si dia melayan orang tua. Apabila sudah lama mengenalinya dan selesa berkawan dengannya, anda sudah boleh mula melakukan solat istikharah.

 

2)TERUSKAN SAHAJA NIAT BERNIKAH

 

Selepas menunaikan solat istikharah, anda teruskan sahaja niat untuk bernikah dengannya. Namun, sepanjang proses untuk bernikah, anda dapat merasakan ada sahaja halangan yang mendatang. Halangan tersebut telah mengakibatkan perancangan anda dan si dia terpaksa ditangguh meskipun niat anda adalah untuk bernikah iaitu untuk menyempurnakan iman.

 

3)HALANGAN MENDATANG SEPANJANG PROSES PERNIKAHAN

 

Halangan itu juga telah mengakibatkan anda dan si dia terpaksa membatalkan niat pernikahan tersebut. Pelbagai cara sudah anda dan si dia lakukan tetapi segala perancangan tidak dapat diteruskan dengan lancar. Ianya bermakna Allah SWT tidak mahu anda meneruskan niat untuk berkahwin dengan si dia. Itulah tanda dari solat istikharah. Istikharah maksudnya kita harapkan dan kita mahukan kebaikan daripada Allah SWT.

 

4)REDA DENGAN KETENTUAN-NYA

 

Namun apabila sudah diberi petunjuk seperti itu, anda seharusnya reda akan keputusan yang telah ditentukan oleh-Nya. Usah sesekali mempersoalkan akan ketentuan-Nya kerana setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Maka oleh itu, teruskan pencarian terhadap orang lain. Mulakan dengan niat yang sama. Sekiranya selepas solat istikharah, Allah SWT telah memudahkan proses sehingga ke tempoh perkahwinan, itulah yang Allah SWT inginkan untuk kita.

Istikharah bukan bermakna kita kena tunggu seolah-olah seperti wahyu datang:

 

5)PETUNJUK BUKAN HANYA DATANG DARI MIMPI

 

“Mana Malaikat Jibril ni? Siapa dia nak tengok dalam mimpi?”

 

Tidak semestinya setiap petunjuk disampaikan dalam mimpi. Malah, petunjuk daripada istikharah juga boleh berdasarkan kekuatan hati seseorang. Misalnya mereka mempunyai dua, tiga pilihan, petunjuk mungkin boleh berdasarkan kecenderungan hati untuk memilih yang mana satu. Terutama dari segi akhlak dan agamanya.

Tetapi sekiranya dalam membuat pemilihan dan masih ada halangan, pilihlah yang lain. Ternyata si dia masih bukan yang terbaik untuk anda jadikan suami atau isteri.

 

KESIMPULAN

 

Justeru, sekiranya anda masih ragu-ragu akan keputusan anda, lakukanlah istikharah. Ianya tiada batasan dalam melakukan solat istikharah. Maksudnya, sekiranya anda menunaikan solat istikharah dua rakaat, kemudian melakukannya lagi pada hari esok sebanyak dua rakaat, maka ianya tidak ada masalah. Semakin banyak anda lakukan, semakin bagus. Sehingga anda menemukan jawapan atas pertanyaan itu

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar