Apakah Beza Berpacaran Dan Bertakruf (Berkenalan)?

Apakah Beza Berpacaran Dan Bertakruf (Berkenalan)?

Perbezaan yang paling ketara mengenai berpacaran dan bertakruf selain daripada definisi yang telah saya ceritakan di atas ialah dari segi tujuan dan misi...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Berpacaran Dan Bertakruf

Berpacaran bermaksud hubungan dekat (kekasih) yang dibuat oleh dua orang (biasanya berlawanan jantina) tanpa melalui ikatan rasmi sebagai suami isteri. Mereka yang berpacaran adalah di atas dasar suka sama suka. Bahkan ada pasangan yang berlebih-lebihan sehingga melakukan hubungan intim yang dilarang oleh agama Islam.

Mempunyai rasa cinta adalah fitrah manusia biasa. Sebab itulah Allah S.W.T. menyediakan ruang perkahwinan untuk pasangan yang bercinta. Namun menyalurkan kepada pasangan yang tidak halal itu adalah perkara yang sangat dilarang di dalam Islam. Allah S.W.T. telah menegaskan hal ini di dalam surah Al-Isra’ yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

(Surah Al-Isra’: Ayat 32)

Bertakruf pula bermaksud perkenalan. Perkataan takruf adalah berasal daripada perkataan orang Arab yang bermaksud kenal. Takruf sebelum kahwin adalah bermaksud satu proses perkenalan diri dengan lebih mendalam bagi kedua-dua pasangan yang mahu berkahwin. Ia boleh dilakukan di antara kedua-dua calon tanpa wakil (menggunakan medium seperti media sosial) ataupun dengan melantik wakil untuk menguruskan proses takruf tersebut.

Proses takruf adalah permulaan untuk berkahwin kerana pada masa inilah calon akan menilai pasangan takruf mereka sama ada boleh diteruskan ke peringkat seterusnya atau tidak. Proses takruf tidak semestinya berakhir dengan kedua-dua calon bersetuju untuk berkahwin. Ia adalah proses perkenalan yang juga memberikan hak kepada calon untuk menolak pasangan takruf mereka.

Perbezaan Antara Berpacaran Dan Bertakruf

1. Tujuan

Perbezaan yang paling ketara mengenai berpacaran dan bertakruf selain daripada definisi yang telah saya ceritakan di atas ialah dari segi tujuan dan misi. Berpacaran selalunya dilakukan untuk mengisi kesunyian dan atas dasar suka kepada seseorang. Jika ada keserasian dan jodoh, hubungan mereka mungkin akan berterusan hingga ke perkahwinan. Jika sebaliknya maka mereka akan putuskan perhubungan tersebut di tengah jalan.

Hal ini sangat berbeza dengan proses takruf. Proses bertakruf adalah lebih jelas tentang tujuan dan hala tuju takruf. Proses perkenalan yang dilakukan kedua pasangan adalah semata-mata untuk berkahwin dan membina keluarga yang diredhai Allah S.W.T.  

2.  Bila Terjadi?

Orang yang mencari kekasih biasanya terjadi apabila mereka merasakan diri mereka kesunyian. Mereka akan mencari pasangan bagi mengisi kekosongan tersebut. Berbeza dengan proses takruf, ia terjadi ketika kedua-dua pasangan iaitu lelaki dan perempuan mempunyai keinginan untuk berumah tangga dan mempunyai keluarga.

3. Pertemuan

Orang yang berpacaran biasanya bertemu berdua sahaja dengan pasangan mereka. Mereka bertemu untuk keluar makan bersama, ‘dating’, menonton wayang dan sebagainya. Bagi mereka yang berada dalam proses takruf pula, pertemuan mereka adalah lebih beradab dan formal.

Contohnya pihak lelaki berkunjung ke rumah pihak perempuan dengan diiringi oleh ahli keluarga pihak lelaki. Terdapat juga sesetengah orang yang bertakruf tanpa melalui ahli keluarga. Biasanya mereka akan mewakili orang tengah sama ada pihak ketiga yang dilantik ataupun sahabat-sahabat yang mereka kenal.  

4. Tempoh Masa

Tempoh masa orang yang berpacaran adalah tidak tentu. Ia boleh jadi sekejap dan boleh jadi lama. Ada orang berpacaran yang hanya bertahan tidak sampai sebulan. Ada juga yang bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya. Namun jika terlalu lama berpacaran, persoalannya ialah ke mana arah tuju perhubungan sebegini tanpa ikatan yang sah?

Bertakruf pula biasanya ada tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak pentakruf atau pihak keluarga. Masa yang tertentu diberikan kepada kedua-dua calon pasangan untuk berbincang dan berfikir setelah proses takruf dijalankan. Mereka berhak untuk menerima dan menolak pasangan takruf mereka.

5. Apabila Merasakan Pasangan Tidak Sesuai

Apabila kekasih mereka dirasakan tidak sesuai dengan diri mereka, maka mereka akan memutuskan perhubungan sebagai pasangan kekasih. Ini yang selalu terjadi kepada mereka yang berpacaran. Malah ada yang berpacaran hanya kerana hobi bukan tujuan untuk berkahwin. Lebih malang bagi pasangan yang sudah terlanjur, perempuan ditinggalkan dengan begitu sahaja dengan maruah dan aib mereka yang telah tercalar. Bak kata pepatah melayu, ‘habis madu sepah dibuang’.  

Hal ini adalah berbeza bagi orang yang bertakruf. Maruah lelaki dan perempuan lebih terjaga. Jika ada hal-hal yang sulit sekalipun, ia masih di peringkat perbincangan sekitar ahli keluarga ataupun pentakruf sahaja. Perbincangan sulit ini biasanya tidak akan diwar-warkan kepada orang lain. Sekalipun tiada jodoh, ia tidak mengaibkan kedua-dua belah pihak.

Kesimpulan

Bertakruf adalah proses yang lebih selamat untuk digunakan berbanding berpacaran jika ingin mencari jodoh. Ia sesuai kepada semua orang, lelaki mahupun wanita kerana lebih menjaga maruah diri kedua-dua pasangan takruf seperti yang saya sebutkan di atas. Gunalah saluran yang betul dan mengikut garis panduan agama Islam. Mudah-mudahan bertemu jodoh.



 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar