Apa perlu buat jika gagal dalam percintaan?

Apa perlu buat jika gagal dalam percintaan?

"Setiap manusia yang hadir dalam kehidupan kita sebenarnya telah Allah SWT hadirkan bagi mengajar sesuatu buat diri kita. Sama ada dialah jodoh kita atau ujian bagi kita...."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

Mencintai dan dicintai adalah dua perkara yang berbeza dan ia adalah perkara normal yang dialami oleh semua orang. Ada proses yang begitu menyenangkan sebelum ke sebuah perkahwinan malah ada yang diuji dengan beberapa perkara. Salah satunya adalah ketika gagal dalam percintaan. Kita semua pasti pernah melaluinya dalam kehidupan. Malah ianya boleh terjadi tanpa kita duga. Putus cinta dan sukar melupakan itu sudah menjadi asam garam dalam kehidupan. 

Setiap orang yang hadir dalam hidup kita itu bersebab. Tidak ada yang sia-sia. Ingatlah, Allah SWT pertemukan kita dengan si dia pasti ada hikmahnya. Setiap manusia yang hadir dalam kehidupan kita sebenarnya telah Allah SWT hadirkan bagi mengajar sesuatu buat diri kita. Sama ada dialah jodoh kita atau ujian bagi kita.

Peribahasa Melayu ada mengatakan, 'Laut mana tidak bergelora, bumi mana tidak ditimpa hujan'. Begitu juga kepada diri manusia yang sentiasa melakukan kesalahan dan adakalanya sudah ada usaha yang dilakukan tetapi masih lagi berdepan dengan kesukaran dan cabaran. Namun setiap ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya

”Allah SWT tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya.“ [Al-Baqarah: 286]

Bersyukur kerana mungkin ada yang lebih baik untuk kita

Jodoh sebenar sudah ditetapkan oleh Allah SWT. Allah SWT Maha Pemurah dan Penyayang.  Sesungguhnya Dia lebih tahu siapa yang terbaik untuk kita. Jika sebelum ini kita pernah disakiti, pernah dikhianati dan ditinggalkan, jangan sesekali mengeluh. Nikmati sahaja prosesnya sebelum bertemu dengan seseorang tepat.

Bak kata Da’i Wan, setiap yang ditetapkan Tuhan adalah yang terbaik untuk kita. Tambah beliau lagi, sekiranya kita sering mendoakan untuk mendapat yang terbaik, nescaya mereka yang ‘pergi’ itu adalah bukan jodoh yang terbaik buat kita. Malah apabila dipertemukan dengan jodoh yang sebenar, kita akan berasa syukur dengan ketentuannya. 

Perbaiki kelemahan kita

Pengalaman daripada hubungan lepas juga dapat mendewasakan kita pada masa akan datang. Berdasarkan hubungan lepas, cuba pelajari kekurangan diri kita yang perlu diperbaiki atau diubah supaya hubungan yang bakal dibina kelak akan kekal ke sebuah perkahwinan. Apabila seseorang diuji dengan percubaan mencari jodoh berkali-kali, ini sebenarnya membuahkan satu pengalaman berharga buat dirinya.

“Orang yang selalu berusaha memperbaiki dirinya dan berusaha gigih mentaati suruhan Allah SWT akan mendapat pahala di sisi-Nya” (Ustaz Sharizan Dauh At-Turabi)

Sebenarnya ramai yang menyangkakan pernikahan itu mudah dan indah walhal pernikahan merupakan satu tanggungjawab yang besar. Ianya ibarat seperti peralihan kehidupan seorang manusia ke suatu tahap yang dirinya bakal lebih lagi diuji daripada hidup yang sebelumnya.

Pada masa sama, kita perlu fokus membentuk pemikiran positif yang mampu membantu diri mengharungi hari mendatang dengan cekal. Ianya sekaligus menyebabkan kesakitan lalu dapat dilupakan selamanya dan digantikan dengan kebahagiaan. Menurut Dr John Grohol, Pengasas Psych Central, langkah yang diambil dalam menguruskan hati luka lebih penting berbanding perasaan terluka itu sendiri.

Jadi seorang yang lebih kuat 

Apabila kita ditinggalkan seseorang yang kita suka atau cinta, kita pasti akan berasa kecewa dan patah hati. Justeru, ianya dapat mengajar seseorang itu untuk lebih kuat dalam menghadapi dugaan yang akan datang dalam hidup. Malah ia juga merupakan satu ujian untuk kita dan dapat dijadikan sebagai satu motivasi untuk diri sendiri. Kita juga akan lebih bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan yang mendatang.

Manusia juga diuji kerana Allah SWT mahu gantikan perkara yang lebih baik buat mereka yang sabar menghadapinya. Yakinlah, setiap ujian itu akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya.

“Kerana sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan” (Al-Insyirah: 5-6).

Jangan sesekali menjadikan cinta yang tidak kesampaian itu sebagai satu titik pengakhiran, sebaliknya terus berusaha dan berdoa meminta yang terbaik daripada Allah SWT. Bukannya berserah semata-mata. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surat Al Hijr ayat 56:

Ibrahim berkata, “Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat”.” (Surah Al Hijr: 56).

Dari ayat tersebut, Allah SWT melarang kita untuk berputus asa. Sesungguhnya putus asa itu hanya ada bagi orang-orang sesat. Jadi, sebagai orang Islam kita harusnya tidaklah berputus asa kerana kita bukan termasuk dalam golongan orang-orang yang tersesat.

Lebih berhati-hati dalam memilih calon pasangan

Apabila sering dipertemukan dengan orang yang salah, ia dapat mengajar kita supaya lebih berhati-hati dalam membuat pilihan pada masa akan datang. Jadi ianya memerlukan perhatian yang terperinci supaya kita tidak akan tersalah pilih. 

Proses untuk memilih teman hidup bukan sekadar dinilai berdasarkan luarannya sahaja walhal banyak aspek yang perlu diambil kira. Berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui, ianya sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam membuat pilihan yang lebih baik. Malah berdasarkan pengalaman lalu juga, ia dapat mendewasakan seseorang bukan hanya pada perhubungan tetapi kepada kehidupan juga. Setiap benda memerlukan perhatian yang terperinci.

Kesimpulannya, jangan pernah menyesal apabila kita sering gagal dalam bercinta kerana ianya mendatangkan banyak pengajaran untuk kita. Namun, cuba tenangkan hati dengan meredai kegagalan itu. Berdoalah kepada Allah SWT supaya digantikan dengan seseorang yang lebih baik. Itulah sikap yang sepatutnya ada pada diri seorang Mukmin.

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan sesuatu sebagai ujian untuk menilai keimanan seseorang itu terhadapNya. Firman Allah SWT didalam Surah Al-Anbiya’ ayat yang ke 35, ertinya; 

 

“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar