5 Perkara yang perlu anda elak ketika majlis perkahwinan
5 Perkara yang perlu anda elak ketika majlis perkahwinan
"Kami sediakan untuk anda beberapa rujukan yang boleh anda ikut supaya anda tidak membuat kesilapan..."
Zaman kini, majlis perkahwinan menjadi trend dan satu kemestian kepada pihak pengantin bagi meraikan tetamu mereka. Ia tidaklah menjadi satu kesalahan malah dituntut untuk mereka yang berkahwin meraikan tetamu dan menghebahkan berita tentang perkahwinan kepada umum. Namun begitu, islam amat menggalakkan perbelanjaan majlis perkahwinan haruslah sesuai dengan kemampuan pengantin. Jangan menjadi bebanan kepada keluarga terutama pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga.
Dalam melaksanakan sesuatu majlis perkahwinan, ada beberapa perkara yang perlu anda elakkan ketika majlis perkahwinan anda. Kami sediakan untuk anda beberapa rujukan yang boleh anda ikut supaya anda tidak membuat kesilapan dalam majlis perkahwinan anda.
1. Jangan membazir makanan.
Berusahalah untuk tidak membazir makanan ketika majlis perkahwinan. Buatlah ‘checklist’ sebelum menjemput orang ramai ke majlis anda. Pastikan katering yang anda tempah mengikut ‘checklist’ tetamu anda. Membazir makanan amatlah dilarang di dalam islam. Hukumnya adalah haram. Allah swt menyebut dalam al quran dalam Surah Al-Israa' ayat 26-27 yang bermaksud;
"...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya".
2. Mengasingkan makanan antara jemputan.
Mengasingkan makanan yang dimaksudkan adalah antara jemputan biasa dengan jemputan golongan VIP. Makanan untuk orang miskin dan biasa begini menunya manakala untuk orang kaya pula begini menunya. Tujuan kita adalah untuk mengampu golongan kaya dan mungkin untuk mendapatkan duit ‘salam kaut’ yang lebih banyak sebab golongan kaya lebih berduit. Janganlah kita menjadi orang yang membezakan tahap atau darjat seseorang. Miskin atau kaya, raikan tetamu anda dengan baik.
3. Pakaian kahwin yang ketat dan tidak menutup aurat terutama kepada pengantin perempuan.
Pakaian mengikut fesyen bukanlah sesuatu yang dilarang. Pada hari perkahwinan anda, pakailah pakaian yang cantik dan kemas. Namun, jagalah batasan aurat anda sebab ramai yang memerhati. Tutuplah aurat anda dengan sempurna dan janganlah terlalu ketat sehingga membentuk tubuh badan anda. Walaupun bertutup, tetapi ketat, ia tetap sesuatu yang tidak syarie dalam islam. Pakaian anda sepatutnya boleh dibuat solat, tanpa perlu anda menukarnya dengan memakai telekung solat. Itulah pakaian yang syarie. Bukan sahaja kita menjaga di dalam solat, bahkan di luar waktu solat.
“Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya…”
(An-Nur : 31)
4. Lupa atau tinggalkan solat zohor sebab majlis kahwin.
Perkara ini selalu terjadi kepada pasangan yang baru kahwin ketika mereka membuat sambutan majlis perkahwinan. Mereka bersiap seawal 12 tengah hari dan berakhir melayan tetamu termasuk acara bergambar sehingga lewat jam 6 petang. Jangan memberi alasan sebab majlis perkahwinan anda ini, maka anda terpaksa meninggalkan solat. Uruslah masa dengan baik. Anda boleh bermula selepas zohor atau habiskan majlis sebelum asar. Jika tidak boleh elak kedua-duanya, curilah masa ketika majlis anda sekejap untuk solat zohor. Kita mahu majlis perkahwinan kita dalam redha Allah. Jadi ingatlah DIA walau ketika sedang sibuk dengan urusan perkahwinan kita.
5. ‘Make up’ berlebihan dan memakai bulu mata palsu.
Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik pada majlis perkahwinan kan? Mencantikkan diri tidak salah. Nak berhias silakan, cuma jangan terlalu berlebihan. Bersederhanalah apabila anda ‘make up’. Sebaiknya cari juru ‘make up’ yang sama jantina dengan anda, bukan yang sebaliknya. Memakai bulu mata palsu juga adalah dilarang di dalam islam. Kenapa mahu memakai benda yang ‘palsu’ padahal Allah dan anugerahkan bulu mata yang asli kepada anda?
Sebagai kesimpulan, anda mampu mengawal majlis perkahwinan anda. Anda mempunyai kuasa sebab majlis perkahwinan itu adalah majlis anda. Anda pilihlah sama ada mahukan majlis perkahwinan anda itu dalam barakah Allah atau sebaliknya.
Mudahkan perkahwinan!
Belum ada jodoh?