SUKA ATAU JATUH CINTA PADA SI DIA?

SUKA ATAU JATUH CINTA PADA SI DIA?

"pernahkah anda terfikir adakah anda benar-benar jatuh cinta padanya atau hanya sekadar suka sahaja?.."

Dikarang oleh Inaaina | Perkahwinan

Rasulullah SAW bersabda:

“Cintailah orang yang kau cinta dengan sewajarnya, boleh jadi suatu hari dia menjadi orang yang kau benci. Dan bencilah kepada orang yang kau benci sewajarnya, boleh jadi suatu hari dia yang kau benci menjadi orang yang kau cinta" (HR Tirmidzi)

Setiap insan ingin memiliki perasaan dicintai dan mencintai. Rasa cinta yang datang akan membawa seribu kemanisan kepada mereka. Apabila seseorang itu sedang dilamun cinta,  mahu lakukan apa sekalipun pasti diiringi senyuman manis dan wajah yang tersipu-sipu malu. Macam orang dulu-dulu kata, “mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang…”. Itulah angau orang yang sedang dilamun cinta. 

Wajah si dia yang serba serbi sempurna tidak pernah lekang dari fikiran anda. Namun pernahkah anda terfikir adakah anda benar-benar jatuh cinta padanya atau hanya sekadar suka sahaja? Masih ramai yang keliru tentang perasaan cinta atau suka terhadap pasangan mereka. Bila kita kenal seseorang mungkin kita akan sukakannya. Tapi bila dah lama-lama mungkin kita jatuh cinta tanpa kita sedar. Orang kata, dari mata turun ke hati dan bermulalah cinta.

Sebelum melangkah lebih jauh, ada baiknya anda teliti dahulu tentang perasaan anda. Perkara ini nampak mudah tetapi kelak ianya akan merumitkan lagi situasi.

Selesa berbual mengenai masa depan

Apa yang dikatakan cinta ialah apabila tanpa segan silu anda berbicara mengenai masa depan dengan bakal pasangan anda. Malah anda juga sudah boleh berkongsi mengenai hal-hal sensitif mahupun peribadi. Sebagai contoh mengenai perancangan anak dan mengenai hala tuju kehidupan selepas ini.

Saat bersama itu digunakan sebaik mungkin untuk berbual mengenai fasa seterusnya dalam perhubungan. Maka jelaslah anda sedang jatuh cinta dengannya. Sekiranya anda hanya suka sahaja pada si dia, setiap topik perbualan akan menjadi terhad dan terbatas kerana memikirkan sensitiviti setiap topik yang ingin dibicarakan.

Sudah mula rasa rindu

Perasaan rindu yang terbit dalam diri setiap manusia adalah perasaan semula jadi yang tidak boleh dibuat-buat. Malah rindu dalam Islam juga adalah sesuatu yang fitrah. Tidak berdosa apabila seseorang merasakan rindu di dalam hatinya. Namun rindu juga harus dizahirkan dengan cara yang benar. Islam juga menggalakkan umatnya untuk mendoakan seseorang itu ketika perasaan rindu itu wujud dalam diri mereka. 

Menerusi ciapan Ustaz Bakhtiar Fitri di Twitter miliknya, minat dan rindu seseorang itu tidak salah kerana ia fitrah manusia. Namun, jangan sampai obses hingga minat dan rindu yang membawa kepada 'zina' hati. Tambah beliau lagi, jika rindu, doa agar Allah SWT jaga dan berharap Allah SWT permudahkan urusan perkahwinan. Jangan jadikan rindu sebagai alasan untuk berbual dan berjumpa. Takut berlaku 'zina' hati dan akhirnya membawa kepada 'zina' kemaluan.

Dalam soal bercinta, setiap manusia tidak terlepas dari perasaan rindu. Inilah yang dikatakan angau bercinta walhal baru sahaja anda berhubung dengan si dia tetapi perasaan rindu sudah membuak-buak dalam diri. Ini menunjukkan anda sudah benar-benar jatuh cinta padanya. 

Selesa berkongsi masalah

Pada kebiasaannya, sekiranya anda menghadapi sebarang masalah, anda lebih gemar berkongsi dengan keluarga serta orang terdekat sahaja. Selepas anda mengenali si dia, anda sudah mula berkongsi masalah dengannya. Ini menandakan bahawa anda sudah mula percaya dengan si dia. 

Tujuan anda menceritakan masalah yang dihadapi bukan untuk menagih simpati semata-mata tetapi hanya untuk sekadar berkongsi. Sekurang-kurangnya ianya dapat mengurangkan beban yang dialami. 

Sebagai contoh, anda mempunyai masalah di tempat kerja. Tekanan yang dialami sudah tidak tertanggung. Maka anda menceritakan masalah itu kepada si dia. Si dia pula memberikan respons yang positif dan sentiasa memberi semangat kepada anda. Tekanan yang dihadapi sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

Sudah berani perkenalkan pada keluarga/sahabat 

Sekiranya anda merasakan dirinya hanyalah sekadar kawan, pasti anda tidak berniat untuk memperkenalkan kepada keluarga anda. Namun apabila anda merasakan si dia adalah yang ‘special’ di hati anda, maka niat anda untuk memperkenalkan kepada keluarga serta sahabat pun sudah tidak teragak-agak lagi.

Anda merasakan bahawa keluarga anda pun perlu tahu mengenai hubungan ini. Anda juga sudah mula menceritakan mengenai peribadinya kepada keluarga anda. Malah setiap perbualan yang dibicarakan pasti akan terselit namanya. Itulah tanda anda sedang dilamun cinta dengannya. 

Suka dan cinta adalah dua perasaan yang berbeza yang harus anda kenal pasti sebelum anda melangkah ke fasa yang lebih serius. Kenal pasti perasaan anda terhadap si dia terlebih dahulu sebelum anda meneruskan sesuatu hubungan. Ini adalah supaya dua hati tidak akan kecewa apabila cinta mereka tidak kesampaian. Namun setiap perbuatan mesti ada batasnya. Jangan sesekali melanggar hukum yang telah ditetapkan dalam Islam.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

















 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar