Kerana kenduri kahwin yang mewah, sanggup buat hutang bank berpuluh ribu
Kerana kenduri kahwin yang mewah, sanggup buat hutang bank berpuluh ribu
"Berhutang berpuluh-puluh ribu demi menampakkan majlis perkahwinan mereka mewah dan eksklusif"
Kenduri kahwin merupakan satu kenduri yang dibuat bagi meraikan pasangan pengantin baru. Ia juga biasanya dipanggil dengan gelaran ‘walimatul urus’. Tujuan kenduri kahwin menurut islam adalah untuk meraikan pengantin baru dengan menjemput keluarga, sahabat dan jiran bersama-sama meraikan dalam jamuan yang mengikut kemampuan. Di samping itu, dalam majlis itu juga, kita dituntut mewar-warkan pernikahan tersebut kepada tetamu yang datang.
Persoalan yang timbul sejak akhir-akhir ini adalah, ada sebahagian daripada pasangan pengantin yang sanggup berhutang berpuluh-puluh ribu dengan pihak bank demi menampakkan majlis perkahwinan mereka mewah dan eksklusif. Bagi mereka yang betul-betul mampu, dan memang niat bercadang untuk bersedekah dan menjamu para tetamu, ia bukan satu masalah yang besar asalkan mereka tidak membazir. Membazir merupakan perbuatan yang haram dan dilarang keras dalam agama islam.
Bagi mereka yang tergolong dalam golongan kurang mampu atau sederhana, ada yang memilih jalan berhutang bagi kenduri kahwin mereka. Kadang-kadang bukan kerana keinginan pasangan tersebut, tetapi atas desakan keluarga. Jika membuat majlis perkahwinan yang ringkas, nanti dilabel orang yang tidak berduit. Itulah yang biasa difikirkan mereka dan menjadi dilema kepada pasangan pengantin ini.
Di dalam islam, kenduri kahwin bukan sesuatu yang wajib. Bahkan, cukup jika kita menjamu tetamu dengan jamuan yang ringkas dan mengikut kemampuan kita sendiri. Tidak perlu mengikut trend atau orang lain. Islam itu mudah dan tidak membebankan. Dalam satu hadis daripada abu hurairah, nabi ada menyebutkan;
“Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Kepada pasangan yang bakal berkahwin atau sedang merancang untuk berkahwin, bersederhanalah dalam hal ini. Tidak perlu kenduri itu untuk menunjuk-nunjuk kemewahan dan bermegah-megah, nanti timbul perasaan riak pula. Buatlah kenduri yang sederhana dan mengikut kemampuan sendiri. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Ingatlah, kehidupan selepas berkahwin itu jauh lebih mencabar dan memerlukan banyak perbelanjaan.
Belum ada jodoh?