Cepatnya Jodoh Dia

Cepatnya Jodoh Dia

Ada pengajaran yang saya dapat apabila makan kenduri hari ini. Dikala ibubapa lain sibuk mencari halatuju pendidikan anak-anak mereka. Ada yang berfikir keluar dari kebiasaan. Sunnah Nabi diutamakan...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan



Baru-baru ini, saya menerima undangan dari sepupu sebelah arwah abah ke majlis perkahwinan anak perempuannya. Alhamdulillah jemputan dapat dipenuhi dan majlis sangat meriah serta berjalan lancar. Tertanya-tanya di dalam hati berapakah usia pengantin perempuan. Suami juga turut bertanya berapakah usia ibubapa pengantin. Saya hanya tersenyum dan menjawab kalau ikut congak umur ibu pengantin perempuan iaitu sepupu saya 38 tahun dan kalau tak silap suaminya dua tahun lebih tua.



Setelah dirisik umur pengantin perempuan baru 18 tahun. Saya tidaklah terlalu terkejut kerana sepupu saya itu pun berkahwin semasa selepas SPM. Alhamdulillah perkahwinannya kekal hingga kini. Suami hanya tersenyum dan mengatakan anak kami yang sulung baru berumur 14 tahun dan ayahnya lagi tiga tahun boleh keluar duit EPF. Kami berdua ketawa.



Berbalik kepada kisah pengantin muda tadi. Saya bercadang lepas menjamu selera  hendak bersua dan bersalam dengannya. Memandangkan kami tidak pernah berjumpa rasanya. Saya dan sepupu juga sudah lama tidak bertemu sebenarnya kerana tinggal di lain negeri. Setiap tahun hanya menziarah ibunya sahaja di hari raya, jarang dapat bertemu anak-anaknya yang sudah berkeluarga. Terdetik juga hati bagaimana sepupu boleh mengizinkan anaknya berkahwin awal di zaman penuh tipudaya ini. Bagaimana mereka merancang ekonomi rumahtangga kelak. Sudah bekerjakah mereka? Dan pertanyaan pertama saya terjawab apabila ternampak pasangan mempelai sedang bergambar dengan teman-teman di atas pelamin.



Pengantin lelaki berjubah dan berserban. Pengantin wanita terserlah keayuan walaupun berniqab. Begitu juga teman-teman lain yang rata-rata turut berniqab. Baru saya perasan ramai tetamu juga berpakaian serupa. Hati mengangguk faham. Alhamdulillah saya kira ilmu agama mereka melangkaui usia. Al-Quran dan Sunnah panduan hidup mereka. Bagi yang memahami hukum kahwin diusia muda ini banyak hikmah tersembunyi. Antara yang nyata ia dapat mengawal nafsu dan menundukkan pandangan pada yang bukan muhrim.



Disaat remaja lain masih tercari-cari siapakah bakal yang dipanggil ‘baby’, pasangan halal ini sedang mengumpul pahala bakal bergelar abi dan umi. Disaat pasangan yang tidak sah hanyut dalam noda dan dosa, pasangan halal ini disirami pahala dan rahmah sentiasa. Ibubapa juga turut berasa lega. Persoalan seterusnya terjawab apabila berbual pula dengan adik sepupu saya yang bongsu. Bercerita pasal makanan yang lazat sebenarnya. Rupa-rupanya catering adalah kepunyaan ibubapa pengantin perempuan yang kini membuka perniagaan khidmat perancang perkahwinan yang menyediakan kelengkapan lengkap dibawah satu bumbung.



Saya tumpang berbangga dengan kejayaan mereka. Dan tambahnya lagi pasangan pengantin adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan perniagaan ibubapa mereka sekarang. Saya kagum dengan semangat mereka yang bersedia memikul tanggungjawab diusia muda. Dikala rakan-rakan seusia masih mencari-cari bidang apa yang harus diceburi di IPT nanti. Ada pengajaran yang saya dapat apabila makan kenduri hari ini. Dikala ibubapa lain sibuk mencari halatuju pendidikan anak-anak mereka. Ada yang berfikir keluar dari kebiasaan. Sunnah Nabi diutamakan. Berkahwin dan berniaga jadi ikutan.



Memang di situ terdapat keberkatan. Lelaki yang beriman tidak akan berkata tanggungjawab sebagai ketua keluarga itu bebanan. Mereka akan menerima tanpa alasan. Semakin besar tanggungjawab, semakin besar juga cabaran dan setiap kesukaran terdapat ganjaran. Oleh itu, usia bukan halangan dan alasan untuk tidak berkahwin awal. Pokoknya tepuk dada periksa iman. Kalau nafsu yang dipertuankan janganlah nanti syaitan yang dipersalahkan.



Berkahwin awal atau lambat sudah tersurat dalam buku hidup setiap insan. Tapi belum tiba harinya untuk dibacakan. Setiap perkara ada kebaikan dan juga keburukan pandai-pandailah mengatur kehidupan jangan sampai tersesat jalan. Berusahalah untuk berkahwin awal. Bersabarlah jika jodoh belum sampai. Ajal pertemuan itu kerja Tuhan tak perlu kita pertikaikan. Ketahuilah kahwin awal bukan jaminan kekal hingga ke Jannah. Kahwin lewat bukan bermaksud hidup tidak mendapat barakah. Segalanya di atas kekuasaan Allah S.W.T.



Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Nota : Artikel di atas merupakan pandangan penulis Hairul Manal bt Abdullah Sani (Amariman) yang ingin berkongsi pengalaman beliau. Pandangan penulis tidak semestinya sama dan tiada kaitan dengan pihak baitulmuslim.com.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar