Sebab Lambat Kahwin: Pernah Dikecewakan

Sebab Lambat Kahwin: Pernah Dikecewakan

"Penangan putus cinta tidak terduga akibatnya. Ada yang sehingga tahap membunuh diri malahan ada yang menanggung masalah mental sepanjang hayat..."

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi

 

Putus cinta adalah perkara normal yang dialami oleh setiap orang. Sakitnya bagaikan dihiris-hiris ulu hati. Pedihnya bagai luka dalam dicurah cuka.. Cinta ibarat permainan trial and error (percubaan dan kesilapan). Kadangkala perlu kita melalui segala kesukaran dan kesilapan beberapa kali sehingga menemui cinta sejati.

Penangan putus cinta tidak terduga akibatnya. Ada yang sehingga tahap membunuh diri malahan ada yang menanggung masalah mental sepanjang hayat. Hanya orang yang pernah mengalami rasa putus cinta ini mengetahui betapa pedih dan sakit kala kehilangan orang yang selama ini kita sayang dan ambil berat. Saluran televisyen Astro Awani pernah melaporkan satu kejadian di mana seorang sukarelawan polis gantung diri kerana kecewa putus cinta. 

Sebelum dia dijumpai tergantung, dia dipercayai mengalami kemurungan kerana terlalu kecewa dengan sikap bekas teman wanitanya yang telah menjalin hubungan dan bertunang dengan lelaki lain. Justeru jangan sesekali anda memandang remeh tentang masalah putus cinta ini kerana ia boleh mengorbankan nyawa dan ada yang memilih jalan singkat untuk mengakhiri hidup mereka. Sedangkan dalam Islam, hukum membunuh diri merupakan salah satu perbuatan dosa besar yang boleh menyebabkan pelaku dicampakkan ke dalam api neraka.

Ini berdasarkan dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah: 

Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula. 

(Hadis Riwayat Bukhari 6047 dan Muslim 110)

Dalam hadis yang lain pula, Baginda menegaskan bahawa mereka yang membunuh diri tidak akan masuk ke dalam syurga sehingga Allah S.W.T mengampuni dosa mereka.

Sabda Baginda Rasulullah: 

Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah S.W.T berkata: Hambaku telah menyegerakan untuk mati, Aku telah mengharamkan ke atasnya syurga. 

(Hadis Riwayat Bukhari 3463)

Hadis ini menunjukkan orang yang bunuh diri tidak dimasukkan ke dalam syurga sehingga diampunkan oleh Allah S.W.T adalah sebagai ancaman yang amat keras. Kelemahan hati yang menyebabkan rapuhnya hubungan individu itu dengan Allah S.W.T menyebabkan kehidupannya menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap inci masalah yang dihadapinya.

Wanita Atau Lelaki Yang Paling Terkesan Selepas Putus Cinta?

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Profesor Antrolopogi (pengajian saintifik tentang asal usul manusia) dari Binghamton University di New York, Amerika Syarikat, ia mendapati wanita lebih cenderung menderita akibat putus cinta dan memerlukan waktu yang panjang untuk pulih.  Meskipun begitu, hasil kajian turut mendapati lelaki juga tidak pernah pulih dari kesan putus cinta, sebaliknya mereka memutuskan untuk tetap menjalani kehidupan.

Bagaimanapun, wanita cenderung berhenti bertahan pada sesuatu yang tidak berjalan dengan baik dan akan menjadi lebih kuat. Wanita juga akan pulih secara keseluruhan, sedangkan hal ini tidak terjadi pada lelaki. Malah, ada lelaki menderita selama bertahun-tahun akibat putus cinta. Meskipun sudah memiliki kekasih baharu, mereka tetap tidak boleh melupakan bekas kekasih. Bagi wanita, ketika hubungan kedua-duanya berakhir ia akan membuang kisah cinta lama apabila bertemu dengan kekasih baharu.

Penyelidikan juga mendapati, wanita berkemungkinan dua hingga tiga kali untuk mengalami kemurungan berbanding lelaki dan kawasan otak yang dipercayai berkaitan dengan kemurungan lebih aktif pada wanita berbanding lelaki. 

Tips Tenangkan Hati Selepas Putus Cinta

Meskipun ianya bukan sesuatu yang mudah untuk memadam dan melupakan kenangan indah kala dibuai cinta, namun anda tetap harus berusaha untuk melupakannya. Antara tips yang dapat kami kongsikan adalah seperti di bawah:

Jangan Berdendam

Walau seteruk mana hati anda dilukai oleh si dia, jangan sesekali berdendam dengannya. Semakin kuat rasa benci yang anda tanam, semakin kuat kasih sayang itu betapak. Jadi untuk mengelakkan diri daripada masih bertaut cinta padanya, adalah lebih baik untuk tidak membenci si dia. Biarpun hati anda masih lagi terguris namun cuba untuk menerima takdir itu dan jangan memasang dendam padanya.Tidak ada salahnya untuk anda menghargai detik manis ketika bersamanya cuma jangan sesekali ingin kembali padanya.

Berhenti Menyalahkan Diri Sendiri

Cara menenangkan hati setelah putus cinta adalah berhenti menyalahkan diri. Menyalahkan diri anda sendiri hanya akan membuat anda semakin berasa tertekan dan ianya tidak akan menyelesaikan masalah yang sedia ada. Jadikan kenangan itu sebagai pengajaran buat anda kerana dengan pengalaman itulah dapat membentuk anda menjadi lebih baik untuk hubungan akan datang.

Jangan Simpan Gambar Atau Barang Pemberian Si Dia

Seeloknya buanglah apa-apa yang berkait dengannya untuk anda singkirkan dia dari ingatan anda. Contohnya seperti gambar, hadiah atau apa sahaja pemberian yang berkait dengannya sewaktu zaman bercinta. Malah adalah lebih baik untuk padam mesej-mesej anda ketika bersamanya. Sekiranya masih simpan, perasaan untuk membaca dan teringat padanya adalah sangat tinggi. Anda juga disarankan untuk ‘unfollow’ setiap media sosialnya agar anda tidak teringat pada si dia.

Jangan Malu Untuk Minta Tolong

Hanya kerana anda terpaksa berdepan situasi sedih ini, ia tidak bermakna anda tidak disayangi atau disisih oleh keluarga atau kawan-kawan anda. Daripada asyik menyalahkan diri sendiri, adalah lebih baik untuk anda fokus kepada perkara yang menaikkan semangat anda. Jadi mintalah bantuan dari kawan-kawan dan ahli keluarga untuk berkongsi kesedihan anda. Ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban anda daripada menanggung perasaan sedih itu.

Masa Dapat Memulihkan Keadaan

Anda mungkin tidak sedar bahawa kesedihan yang anda rasai akan berkurangan dari semasa ke semasa. Kesedihan yang anda rasai pada mulanya tidak sama dengan apa yang anda rasa sebulan atau setahun akan datang. Jadi berikan masa untuk keadaan berubah dan anda dapat lupakan apa yang telah terjadi. Tetapi, jika kesedihan itu tidak juga berkurangan, anda dinasihatkan untuk merujuk perkara itu kepada pakar.

Putus cinta bukanlah bermaksud segala-galanya sudah berakhir, hanya kehilangan seseorang sahaja. Kita sukakan sesuatu, padahal ia bukanlah baik untuk kita dan kita benci sesuatu padahal ia baik untuk kita. Banyak perkara yang di luar pengetahuan kita sebagai manusia. Jadi, yakin kepada Allah S.W.T. Allah S.W.T mungkin merancangkan sesuatu yang lebih baik untuk anda. 

Namun, jika kesedihan itu tidak juga berkurangan, anda dinasihatkan untuk merujuk perkara itu kepada pakar. Ini kerana, kemurungan yang anda hadapi mungkin akan membawa keburukan buat diri sendiri.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar