PERKAHWINAN YANG MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT

PERKAHWINAN YANG MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT

Sesebuah perkahwinan dibina dengan harapan agar dapat meraih kebahagiaan dalam melayari bahtera rumah tangga di dunia dan akhirat...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

Sesebuah perkahwinan dibina dengan harapan agar dapat meraih kebahagiaan dalam melayari bahtera rumah tangga di dunia dan akhirat. Matlamat utama sesebuah perkahwinan adalah supaya perhubungan dibina di atas dunia ini dapat dikekalkan hingga ke syurga. Bunyinya seperti mudah, namun perjalanannya yang berliku-liku pasti membuatkannya menjadi sukar.

Apabila seorang wanita dan lelaki disatukan dalam sebuah perkahwinan, maka telah bertambahlah tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh mereka, dan ianya nyata jauh lebih berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan semasa zaman bujang dahulu. Tanggungjawab yang dimaksudkan adalah tanggungjawab terhadap pasangan. Baik lelaki mahupun wanita, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab, tanggungjawab kepada seorang suami dan kepada seorang isteri. Kegagalan dalam menjalankan tanggungjawab ini akan menyebabkan seorang daripada pasangan tersebut menempah musibah di akhirat kelak.  

Antara faktor terpenting dalam rukun rumah tangga adalah ketaatan. Saidina Ali r.a pernah berkata “Jika seorang isteri itu mentaati suaminya, maka sebelah kakinya telah melangkah ke dalam Syurga manakala sebelah lagi akan melangkah jika dia mentaati segala perintah Allah”. Ayat ini bermaksud 2 ketaatan yang perlu dilakukan daripada seorang isteri, yang pertama ialah ketaatan kepada Allah SWT dan seterusnya adalah ketaatan kepada suami.

Definisi kepatuhan kepada Allah SWT bagi seorang wanita adalah sama walaupun mereka  masih bujang atau sudah bergelar isteri. Seorang wanita masih perlu melaksanakan syariat yang telah ditetapkan iaitu menutup aurat, menjaga maruah, melaksanakan amalan fardhu dan sunat. Apabila seorang wanita itu telah bertukar status kepada ‘isteri’, maka pada kebanyakan amalan sunat yang biasa dilakukannya, dia perlu menyesuaikan dengan situasi supaya tidak bertembung dengan keinginan suaminya.

Seperti yang sudah kita tahu, seorang wanita perlu meminta izin suami sekiranya ingin melakukan puasa sunat. Hal ini adalah kerana untuk mengelakkan daripada menganggu tanggungjawabnya terhadap suami selain mengelakkan salah faham yang bakal menggugat keharmonian rumah tangga. Amalan sunat seperti lain termasuk solat, membaca quran yang bermaksud boleh dilakukan apabila segala tanggungjawab rumah tangga telah diselesaikan. Seorang isteri perlu bersedia pada bila-bila masa yang diperlukan untuk berkhidmat kepada suaminya.

Mengenai ketaatan kepada suami pula, ia hanyalah meliputi kepada perkara-perkara yang tidak melanggar syarak. Sekiranya suami menyuruh melakukan perkara yang haram, maka seorang isteri itu tidak wajib mentaatinya bahkan hukumnya haram mentaatinta.

 Nabi Muhammad SAW bersabda:

 “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Allah”

Satu perkara yang harus diteliti, hukum sesuatu perkara banyak berubah mengikut sesuatu keadaan. Sebagai contoh, dalam perkara mentaati perintah atau suruhan suami, walaupun pada asalya hukum melakukan sesuatu perkara itu adalah harus, namun sekiranya diminta oleh suaminya, maka ia telah bertukar menjadi wajib. Jika tiada alasan syari’e yang memudaratkan isteri untuk mentaati permintaan suaminya, maka isteri tersebut akan menanggung dosa.

Apabila seorang isteri menyedari akan kehebatan suaminya sebagai ketua keluarga, secara fitrahnya perasaan hormat dan reda akan wujud. Dengan sifat inilah isteri dapat melahirkan rumah tangga ke jalan yang diredai Allah.

Bagi seorang suami pula, mereka wajib memastikan tahap agama dalam rumah tangganya. Isteri merupakan insan pertama yang perlu dididik dengan agama. Apabila si isteri beramal dengan keyakinan dan keikhlasan, maka anak-anak akan juga akan dididik dengan agama dan akhlak yang baik. Hasil sebuah perhubungan yang berlandaskan dengan ajaran agama akan dilimpahi rahmat dan keberkatan dari Allah SWT. mereka akan dimurahkan dengan rezeki bahkan segala masalah akan diselesaikan dan setiap hari akan dipenuhi dengan kasih sayang dan kecintaan.

Semoga perkahwinan kita semua mendapat keredaan dari yang Maha Esa dan sentiasa dilindungi-Nya.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar