MANFAAT MENIKAH DI USIA MUDA

MANFAAT MENIKAH DI USIA MUDA

"ramai pasangan bercinta diluar sana yang tidak berani menyahut seruan ini"

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi

Menikah di usia muda pada zaman sekarang sudah menjadi sesuatu yang klise. Kalau dibandingkan dengan zaman datuk nenek kita, ianya seperti menjadi kebiasaan buat mereka. Namun, pada zaman globalisasi ini, masih ramai pasangan bercinta diluar sana yang tidak berani menyahut seruan ini. Rata-rata mereka tidak sedar akan manfaat menikah di usia muda. Berikut adalah antara manfaat-manfaat menikah di usia muda:

Menundukkan pandangan dan menjaga diri anda dari pergaulan bebas

Sabda Rasulullah ada menekankan supaya mereka yang sudah mampu hendaklah menikah, kerana dapat menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Seperti yang kita dapat lihat pada zaman sekarang di mana pergaulan antara lelaki dan perempuan menjadi semakin bebas. Pergaulan bebas seperti ini boleh cenderung ke arah kemaksiatan.

Boleh bercinta secara halal

Selepas pasangan itu mendirikan rumah tangga, mereka secara rasminya sudah menjadi pasangan yang halal dan tidak perlu takut lagi dengan pandangan negatif orang lain.

Menjadi lebih bertanggungjawab dan fikiran menjadi semakin matang

Selepas berkahwin, anda sudah mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang isteri mahupun suami. Sikap malas anda secara automatik akan berubah kepada rajin kerana anda telah mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga keluarga anda. Pasangan yang menikah muda akan belajar lebih cepat mengenai kehidupan, lantas menjadikannya semakin matang dan dewasa dalam mengurus hal keluarga.

Membantu kejayaan anda di usia muda

Menikah di usia muda sudah tentu semangat juga masih muda dan membara. Ini memudahkan usaha dalam menggapai sesuatu kejayaan berhasil apabila sentiasa mendapat dorongan dan galakan dari pasangan masing-masing.

Masa depan anak-anak yang lebih baik

Apabila pasangan itu mendirikan rumah tangga pada usia muda, maka peluang untuk mendapat cahaya mata di usia muda juga besar, namun rezeki itu hanya dengan izin Allah. Sekiranya mereka dikurniakan anak pada usia muda, mereka mempunyai banyak masa dalam mendidik dan membimbing anak-anak ke jalan yang diredhai Allah. Malah, juga turut berkesempatan untuk melihat kejayaan anak-anak kelak. Insha Allah.

Bagi mereka yang sudah bersedia dan mampu dalam mendirikan rumah tangga mengikut syariat Islam, percepatkanlah perkahwinan agar anda dapat merasai manfaat-manfaat di atas. Sekian..

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar