Jodoh? Sudah Bersediakah Aku?
Jodoh? Sudah Bersediakah Aku?
Apabila bicara soal jodoh ramai yang beranggapan diri mereka sudah bersedia....
Apabila bicara soal jodoh ramai yang beranggapan diri mereka sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan terutama bagi mereka yang sudah mencecah umur 20 tahun dan ke atas. Sedangkan mereka tidak sedar yang diri masih belum cukup ilmu pengetahuan tentang perkahwinan dek kerana seronok dengan dunia percintaan. Kita seharusnya bercinta apabila diri betul-betul sudah bersedia dan bukannya apabila diri kesunyian. Pasti ramai yang tidak sabar untuk merasai keseronokan bercinta dan kemanisan bersama yang tersayang sehingga terlupa hendak bertanya pada diri “Adakah aku betul-betul sudah bersedia?”
Apabila terlihat dua insan berjalan bersama, bergelak ketawa serta sentiasa menemani, hati mana yang tidak cemburu?
Hati mana yang tidak berasa sunyi?
Hati mana yang tidak mahu lalui perkara yang sama?
Dari situlah segalanya bermula.
Kita sering tertipu dengan kebahagiaan yang ditunjukkan oleh pasangan lain. Adakah kita yakin yang mereka betul-betul bahagia ataupun sekadar tersenyum gembira untuk menutup hati yang lara demi menyelamatkan satu hubungan? Kita tak akan faham sehingga kita sendiri yang melalui semua itu sendiri.
Kita yakin yang kita sudah betul-betul bersedia?
Bukan senang nak jaga hati orang sedangkan hati sendiri belum tentu kita mampu jaga dengan baik. Jika berasa diri belum yakin dan belum betul-betul bersedia mengapa memilih untuk bercinta? Kita sendiri yang buka ruang untuk hati kita disakiti. Sebelum ini, kita fikir setiap percintaan hanya penuh dengan kasih sayang. Itu hanyalah permainan untuk menarik sekeping hati yang kesunyian supaya jatuh cinta.
Mengapa perlu korbankan segalanya untuk sesuatu yang belum tentu terjamin kebahagiaan itu kekal?
Saat kita bersendirian, kita mungkin rasa sunyi. Sebenarnya kita yang terlalu melayan apabila perasaan sunyi itu singgah di fikiran. Pernahkah kita terfikir apa kelebihan apabila kita bersendirian tanpa seorang teman? Antara kelebihan yang utama ialah kita tidak akan membazirkan air mata kita untuk orang lain kerana air mata kita begitu bernilai. Mengapa perlu dibazirkan untuk menangisi kesedihan hati saat diri dilukai? Hati kita akan sakit untuk setiap kesedihan yang bakal kita hadapi saat bercinta. Kegembiraan saat kita sendirian tidak akan sama dengan saat kita berpasangan kerana ketika kita bersendirian, kita boleh melakukan apa sahaja yang kita mahu tanpa perlu memikirkan untuk menjaga hati orang lain.
“Kadang-kadang lebih baik bersendirian kerana tiada sesiapa boleh melukakan hati kita“
Jadi persoalannya, jika sekarang aku belum betul-betul bersedia, bila masa untuk aku betul-betul sudah bersedia? Jangan bimbang dan yakinlah kepada Allah bahawa Dialah sebaik-baik perancang. Hanya Dia yang tahu bila masa dan waktu hati kita betul-betul sudah bersedia untuk jatuh cinta. Serahkan segalanya kepada Allah dan Dia akan isi kekosongan dan kesunyian hati kita. Setiap manusia diciptakan berpasang-pasangan. Usah takut dan khuatir andai hari ini belum bersedia kerana esok dan hari seterusnya masih ada.
Kesimpulannya, jodoh adalah cerminan diri kita sendiri. Jika kita berasakan peribadi kita baik, maka baiklah jodoh kita dan begitulah sebaliknya seperti mana firman Allah SWT dalam surah An-Nur, ayat 26:
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.
Mulai dari saat ini, berusahalah memperbaiki diri kita agar ditemukan jodoh yang sesuai dengan peribadi kita. Muhasabah dan tanya pada diri, “Bagaimanakah akhlak dan peribadiku? Cukupkah amalanku dalam beribadah kepada Allah? Adakah aku sudah melaksanakan tugasku sebagai hamba-Nya? Sudah cukupkah ilmu di dalam diri tentang alam perkahwinan?" Jika belum, ayuh perbaiki diri ke arah yang diredhai-Nya nescaya kita akan peroleh jodoh yang terbaik buat diri kita. Kita harus sentiasa ingat bahawa, “JODOH KITA ADALAH CERMINAN DIRI KITA”. Jadi jika mahukan pasangan yang terbaik di sisi Allah, maka kita haruslah menjadi yang terbaik juga.
Perbaiki dahulu diri kita dan inshaAllah Allah akan hadirkan cinta yang sebenarnya apabila kita sudah bersedia. Kita tidak tahu bila waktu itu akan tiba tetapi selagi kita yakin, Allah akan bantu kita. Jadi bila kita boleh bercinta sebenarnya? Bercintalah selepas nikah kerana cinta selepas nikah adalah cinta yang halal lagi diberkati. Letakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah dan berdoa agar diberikan jodoh yang terbaik buat diri kita. InshaAllah.
“Allah has already written the names of your spouses. What you need to work on is your relationship with Allah SWT. He will send her/him to you when you’re ready. It is only matter of time“
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?