Ibu Bapa Perlu Bantu Anak Cari Jodoh
Ibu Bapa Perlu Bantu Anak Cari Jodoh
"Namun masyarakat hari ini rata-ratanya mengutamakan rupa paras sebagai elemen utama dalam memilih jodoh..."
Gejala berkahwin lewat boleh menyumbang kepada faktor kewujudan negara tua. Ini kerana ia akan memberi kesan kepada aspek reproduktif yang menyaksikan pembentukan keluarga semakin mengecil dan kadar kelahiran semakin menurun. Dr Zainal Madon (Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia) berkata, negara tua membawa kepada kehilangan tenaga muda yang produktif.
Tambah beliau lagi, meskipun masalah ini berlaku secara global, ia masih memerlukan perhatian serius di Malaysia kerana sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada generasi akan datang. Misalnya dalam soal kepimpinan negara nanti mungkin akan kehabisan warga dewasa dan yang tinggal hanyalah generasi yang belum matang untuk mentadbir negara.
Berdasarkan statistik dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), antara faktor utama lelaki dan wanita masih belum berkahwin ialah tiada calon sesuai, iaitu sebanyak 18.4 peratus bagi lelaki dan 35.7 peratus bagi wanita.
Pemilihan Jodoh
Seperti yang kita tahu, jodoh itu rahsia Allah S.W.T. Ada yang mencari terus berjumpa. Ada yang mencari tetapi masih tidak bersua. Ada yang langsung tidak mencari tetapi jodoh hadir sendiri di depan mata. Malah ada yang bercinta bertahun lama tetapi bukan jodohnya maka terputus jua. Ada yang bercinta tiga bulan sahaja terus mengecap bahagia. Itulah takdir jodoh. Namun dalam bab pemilihan jodoh, Islam telah menggariskan beberapa perkara yang perlu dilihat. Rasulullah S.A.W bersabda:
"Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik." (HR Bukhari dan Muslim)
Jelas dalam hadis ini, perkara perlu diperhatikan lelaki dalam diri calon pasangan ialah hartanya (kaya atau tidak), keturunannya (apakah dia berasal daripada keturunan baik-baik) kecantikannya (rupa paras dan agamanya, faham dan amalan agamanya).
Namun, Islam menyarankan sebaik-baik pilihan dibuat adalah berdasarkan faktor agama. Harus diingatkan, dalam hal mencari jodoh bukan golongan lelaki sahaja berhak untuk memilih, wanita juga boleh memilih pasangannya. Namun masyarakat hari ini rata-ratanya mengutamakan rupa paras sebagai elemen utama dalam memilih jodoh. Apabila syarat itu telah ditetapkan maka ianya menyebabkan ramai antara mereka yang masih belum berjumpa jodoh.
Ibu bapa perlu tahu peranan mereka
Tidak dinafikan bahawa ada segelintir ibu bapa tidak tahu peranan mereka dalam hal ini. Sebab tu ada yang mengambil keputusan untuk berdiam diri, melihat dan menanti sahaja anaknya dipinang atau masuk meminang. Apabila anak memasuki usia 30-an, mereka masih memerhati sahaja tanpa ada perasaan resah memikirkan soal jodoh anak mereka. Mereka biarkan sahaja anak mereka mengejar kerjaya, mengumpul harta dan menikmati kehidupan dengan penuh bahagia.
Apabila ibu bapa hanya berdiam diri, anak-anak akan beranggapan mendirikan perkahwinan bukanlah sesuatu yang utama. Sesungguhnya berkahwin itu sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda:
"Sesiapa mampu (mempunyai kelebihan) untuk berkahwin, tetapi dia tidak berkahwin, maka bukanlah dia daripada golonganku." (HR Thabrani dan Baihaqi)
Malah Ustaz Hanafiah Abd Malek ada menekankan dalam ceramah beliau bahawa seorang bapa perlu mendoakan anak perempuannya sejak usianya sembilan tahun untuk mendapatkan jodoh. Ini kerana doa itu belum tentu dimakbulkan ketika anaknya umur sebegitu, mungkin dimakbulkan 10 tahun atau 20 tahun lagi.
Ibu bapa perlu bantu anak-anak cari jodoh
Ibu bapa boleh memainkan peranan utama dalam mencarikan jodoh untuk anak mereka yang masih belum berkahwin. Tambah-tambah lagi bagi anak yang sudah meningkat usia. Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W ada menyebut, jika ada orang yang baik dan soleh datang meminang, maka terimalah pinangan itu.
Maksud dari kata-kata itu, ianya jelas menunjukkan sekiranya ada lelaki yang soleh dan bertanggungjawab datang meminang anaknya, maka tidak perlu tunggu dan boleh kahwinkannya. Ibu bapa haruslah berfikir secara matang, bukannya meletakkan kriteria yang tertentu dalam memilih calon menantu. Pendakwah bebas, Asni Abu Mansur berpendapat, seharusnya perkahwinan dilihat dari segi untuk menyempurnakan kelemahan antara pasangan. Bukannya memikirkan kemungkinan pada masa depan jika berkahwin.
Ibu bapa juga berperanan untuk menghentikan segala trend perkahwinan yang jelas akan membebankan pihak lelaki. Puan Asni Abu Mansur berkata, apabila perkara yang tidak disyariatkan dianggap wajib, jadi banyak benda wajib juga akan tertangguh dan khuatir maksiat atau perkara haram boleh berlaku.
Percaya pada Qada’ dan Qadar
Namun pada akhirnya kita perlu percaya kepada qada’ dan qadar. Sebagai hamba, ada jodoh atau tidak, kita perlu reda dengan ketentuan-Nya. Apapun ketentuan-Nya maka itulah yang terbaik untuk kita kerana pasti ada hikmah yang tidak dapat kita fahami.
Sebagai agama syumul, Islam menyediakan panduan untuk pelbagai perkara termasuk mencari jodoh. Selain menyenaraikan kriteria pemilihan jodoh, Islam juga menekankan peranan wali.
Semua ahli keluarga perlu memahami persoalan pemilihan jodoh dalam Islam supaya semua mereka boleh menjalankan peranan sebaik mungkin.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?