Bolehkah perigi mencari timba ?

Bolehkah perigi mencari timba ?

Pernikahan ialah proses yang berlaku melalui kerjasama dua pihak iaitu lelaki dan perempuan. Jika hanya satu pihak sahaja yang bersetuju dan bertepuk sebelah tangan...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

Pernikahan ialah proses yang berlaku melalui kerjasama dua pihak iaitu lelaki dan perempuan. Jika hanya satu pihak sahaja yang bersetuju dan bertepuk sebelah tangan, contohnya hanya pihak lelaki sahaja yang beria-ria untuk bernikah sedangkan pihak perempuan tidak mahu bernikah, pernikahan tidak akan terjadi. Begitu jugalah jika sebaliknya. Ia mesti dengan persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

Jodoh kita dengan siapa, bagaimana orangnya, bagaimana kita bertemu, bagaimana proses sehingga bernikah dan segalanya telah sedia ada dalam catatan Allah. Tunggu masa sahaja untuk terlaksana. Apa yang penting adalah sebanyak mana usaha kita. Tiba masa mahukan pasangan hidup, maka kita berusaha. Kita usaha mencari, kita usaha merisik, kita usaha melamar, kita usaha mengambil secara halal dan kita usaha mengekalkan kehidupan berumahtangga. Usaha dan usaha, dalam keadaan hati kita tidak pernah hilang yakin bahawa segalanya telah ada dalam percaturan Allah.

Allah swt. telah berfirman dalam surah Al-ankabut yang bermaksud;

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

(Surah Al-ankabut : Ayat 69)

Usaha bukan hanya menunggu.

Wanita merisik atau melamar lelaki, itu satu usaha. Wanita memulakan langkah terlebih dahulu dengan matlamat sebuah pernikahan itu termasuk dalam kategori usaha. Tidak ada salah silapnya di pandangan Allah, melainkan sedikit janggal di pandangan manusia. Sebab apa? Kerana norma dan adat kebiasaan adalah lelaki yang sepatutnya melamar wanita bukan wanita melamar lelaki.

Namun, mengubah adat dan norma ini adalah cabaran bagi kaum hawa ini. Mereka mungkin akan berhadapan dengan risiko dipandang serong atau dipandang rendah oleh kawan-kawan yang lain. Itu belum termasuk risiko ditolak oleh pihak lelaki. Pujian harus diberikan kepada golongan ‘wanita berani’ ini kerana tidak ramai yang berani bertindak seperti mereka untuk menyatakan hasrat hati yang mahu berkahwin dengan seorang yang bergelar lelaki lebih-lebih lagi lelaki yang mereka sukai.

Kaedah saranan yang lebih sopan.

Apabila kita bercakap mengenai ‘Perigi Mencari Timba’, ia memang bukan suatu perbuatan yang salah. Cuma apa yang perlu ditekankan pada situasi ini adalah cara dan kaedah yang lebih sopan dan betul. Ia hanyalah saranan dan cadangan daripada pihak kami untuk anda memikirkannya.

Pertama : Jaga maruah.

Maksudnya, soal ketinggian diri dan maruah anda sebagai wanita. Islam datang dengan mengangkat martabat wanita, dan bilamana Saidatina Khadijah R.A melamar Nabi Muhammad S.A.W , itu bukanlah bermakna beliau ‘mengurangkan’ atau ‘merendahkan’ martabat dirinya sebagai wanita. Tetapi kata kunci kenapa beliau kekal tinggi adalah kerana ‘tepat cara dan tindakan’.

Justeru, dalam usaha menjaga maruah diri, janganlah proses ‘memulakan’ itu dilakukan dengan ‘tak tahu malu’ atau tergedik-gedik atau sengaja ‘menjadi murah’ di mata lelaki. Percayalah, tindakan ini akan ‘makan diri’ dan langsung tidak berfaedah untuk anda. Apa yang perlu dibuat adalah kekalkan martabat dan sifat malu anda di tahap yang sepatutnya.

Kedua : Merisik untuk dapatkan maklumat.

Merisik dan mengumpul maklumat terlebih dahulu adalah penting sebelum bertindak. Lelaki tersebut sebenarnya orang yang bagaimana. Sifatnya, pendiriannya, pantang larangnya, ‘wajah sebenarnya’, prinsip keluarganya dan lain-lain. Semua ini penting untuk anda tahu supaya tindakan anda nanti bertepatan dengan ‘jenis’ orang yang dituju.

Ketiga : Lantik pihak ketiga.

Ini adalah cara terbaik bagi menyampaikan hasrat hati anda. Dengan cara ini, banyak maslahat dapat dijaga bahkan cara ini dipraktikkan oleh Saidatina Khadijah R.A. Hakikatnya, cara nombor dua yang kami sebut di atas mustahil dapat terlaksana dengan tepat, efektif dan berkesan tanpa bantuan orang tengah. Jadi mintalah bantuan orang yang dipercayai. Terangkan letak duduk perkara kepada orang tengah tersebut. Sebaiknya, carilah yang benar-benar dipercayai, jujur dan ikhlas mahu menolong.

Keempat : Beri hint dengan bijak.

Memberi ‘hint’ atau petunjuk merupakan kaedah yang boleh digunakan juga jika tiada orang tengah atau kita dengan si dia sudah kenal rapat. Cuma mungkin masing-masing masih memendam perasaan dan malu bercakap soal jodoh dan kahwin.

Antara kaedah yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan bahasa kiasan. Anda boleh menghantar mesej atau bercakap terus kepada si dia dengan gunakan bahasa kiasan. Contohnya anda menghantar mesej kepada si dia; “Saya rasa sekarang saya sudah cukup bersedia. Saya rasa sudah tidak sabar untuk memiliki keluarga sendiri. Ada anak-anak...”

Jika si lelaki tersebut sukakan kepada anda dan masih solo, dia akan menjawab hint itu. Mungkin kalau jawapan yang positif dia akan membalas dengan mesej ini; “Saya pun masih single… Boleh saya masuk meminang? Hehe...”. Walaupun ia mungkin dalam nada yang bergurau, daripada jawapan itu anda boleh menilai sama ada lelaki yang anda minat itu sukakan anda atau tidak.

Kesimpulan.

Konsep Perigi Cari Timba sebenarnya tidak ada salahnya. Cuma ia menjadi salah apabila dilakukan dengan mengenepikan soal adab dan akhlak, lebih-lebih lagi oleh seorang wanita. Sebaliknya jika dilakukan dengan penuh himmah dan maruah yang tinggi, apa sekalipun natijahnya pasti akan diterima dengan rela hati dan tetap mengekalkan ‘ketinggian’ diri. Semoga dipermudahkan urusan mencari jodoh.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar