Hukum Tidak Berkahwin Bergantung Kepada Situasi

Hukum Tidak Berkahwin Bergantung Kepada Situasi

"Malah disebalik kegembiraan seseorang dalam menuju ke bahtera perkahwinan, ada segelintir daripadanya takut untuk berkahwin..."

Dikarang oleh Inaaina | Ibadah

 

Perkahwinan merupakan impian dan cita-cita seseorang dalam menjalani kehidupan. Perasaan bahagia dan seronok bersama pasangan tercinta diraikan semaksimum yang boleh melalui dunia perkahwinan ini. Maka, ramai orang akan berjuang berhabis-habisan untuk menjadikan dunia perkahwinannya yang terbaik.

Hukum Berkahwin

Seperti yang kita ketahui, Allah S.W.T telah menciptakan manusia berpasang-pasangan supaya saling melengkapi antara satu sama lain. Secara amnya hukum pernikahan adalah sunat namun begitu terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan hukum pernikahan menjadi wajib, makruh dan bahkan haram. Para ulama menjelaskan bahawa hukum berkahwin itu terbahagi kepada tiga keadaan:

  1. Dia tidak mempunyai syahwat terhadap wanita maka hukumnnya mubah iaitu dibenarkan untuk tidak berkahwin

  2. Dia mempunyai syahwat terhadap wanita tetapi masih dapat mengawal dirinya daripada berzina jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah sunat.

  3. Dia mempunyai syahwat terhadap wanita dan sukar mengawalnya, bahkan boleh menyebabkan dia berzina atau beronani jika tidak berkahwin maka hukum berkahwin baginya adalah wajib.

Bagi yang kedua dan ketiga, sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut harta, maka hendaklah dia berpuasa untuk menahan nafsunya. Begitulah ringkasan huraian para ulama seperti al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf berkenaan hukum berkahwin.

Perkahwinan adalah dituntut apabila seseorang itu berkemampuan dari segi fizikal dan mental serta bimbang jika dirinya akan terjerumus dalam perbuatan dosa dan maksiat. Ia bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud,

"Wahai anak muda. Sesiapa daripada kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya ia akan menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu adalah perisai." 

(Sahih Muslim, Kitab an-Nikah)

Gamophobia’ - Takut Pada Komitmen Dan Perkahwinan

Malah disebalik kegembiraan seseorang dalam menuju ke bahtera perkahwinan, ada segelintir daripadanya takut untuk berkahwin. Ini berlaku mungkin kerana tanggapan negatif mereka terhadap institusi perkahwinan. Keadaan ini boleh berlaku sekiranya seseorang itu pernah mengalami trauma seperti perceraian ibu bapa atau melihat orang terdekat yang gagal dalam mempertahankan rumah tangga mereka. Manakala dalam soal kesihatan mental pula, perasaan takut atau fobia untuk berkahwin ini dinamakan sebagai ‘Gamophobia’.

Gamophobia juga boleh berlaku disebabkan kegagalan dalam hubungan lalu. Individu tersebut lebih selesa bercinta tanpa terikat dengan sebarang komitmen memandangkan sebuah perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi. 

Setiap gangguan dan penyakit mempunyai gejala-gejalanya tersendiri. Antara gejala-gejala gamophobia secara psikologinya adalah:

  • Rasa bersalah atau malu kerana takut akan perkahwinan atau komitmen

  • Ketakutan atau panik yang kuat terhadap perkahwinan atau komitmen

  • Kurang kawalan terhadap ketakutan perkahwinan atau komitmen

  • Rasa takut, beban atau bimbang tentang pemikiran perkahwinan atau komitmen yang luar biasa

  • Kesedaran bahawa ketakutan terhadap perkahwinan atau komitmen adalah berlebihan

Ketakutan terhadap perkahwinan atau komitmen berkemungkinan boleh mengganggu kehidupan anda. Sekiranya ia mengganggu kemampuan anda untuk melakukan hubungan yang normal, berjumpalah dengan doktor. Usaha dan ikhtiar awal memberi peluang terbaik untuk mengatasi fobia dan mendapatkan kembali hubungan anda.

Hukum Tidak Berkahwin

Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi yang tidak berkahwin

Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi adalah dua nama yang bertaraf ulama besar di dalam dunia Islam. Sumbangan mereka kepada Islam adalah sangat besar. Kedua-duanya tidak berkahwin sehingga ke akhir hayatnya kerana terlalu sibuk dengan urusan memberi sumbangan keilmuan kepada masyarakat di dalam hal ehwal agama Islam.  

Di dalam Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘ala Madzhabil Imam As-Syafie (2:14-15) yang di antara penulisnya adalah Syeikh Musthofa Al-Bugho, disebutkan beberapa keadaan orang yang bujang. Beliau membahagikan kepada 3 kategori iaitu:

1. Membujang kerana tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin. Mungkin disebabkan oleh fitrahnya, sakit atau kerana tidak mampu memberi nafkah padahal dalam perkahwinan ada keharusan memberi mahar dan nafkah. Hukum bernikah di dalam situasi ini adalah makruh bernikah.

2. Membujang kerana terlalu sibuk dengan ibadat dan menuntut ilmu agama. Mereka bimbang dengan berkahwin akan membuatnya lalai daripada hal itu. Walaupun daripada segi kewangan, ia sudah mampu untuk berkahwin. Jika berada di dalam situasi ini, adalah lebih baik untuk tidak menikah kerana ada maslahat (faedah) yang lebih besar.  

3. Membujang dalam keadaan mampu untuk berkahwin daripada segi kewangan dan mereka tidak disibukkan dengan ibadah dan menuntut ilmu agama. Adalah lebih baik untuk berkahwin jika berada di dalam situasi ini.

Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi tidak berkahwin sehingga meninggal dunia adalah kerana mereka terlalu sibuk dengan jihad ilmu. Keadaan mereka adalah seperti yang telah dinyatakan dalam situasi kategori kedua di atas.

Berkahwin Adalah Sunnah Rasulullah S.A.W

Ustaz Azhar Idrus dalam ceramah beliau turut menekankan tentang soal ini. Beliau berkata, sekiranya seseorang itu tidak berkahwin, maka dia kehilangan kelebihan satu daripada sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Tambah beliau lagi, rugilah seseorang itu jika tidak berkahwin tetapi ia tidaklah mendatangkan dosa kerana kahwin itu sunnah.



Berkenaan para ulama yang tidak berkahwin, memang benar terdapat sejumlah para ulama yang tidak berkahwin. Namun ia tidak boleh dijadikan hujah untuk umat Islam untuk menjauhi amalan mulia ini, iaitu perkahwinan.



Para ulama yang tidak berkahwin itu mempunyai keadaan-keadaan tertentu yang menyebabkan mereka tidak sempat untuk berkahwin. Terutama bagi mereka yang bersungguh dalam berdakwah dan mengajar, peperangan dan sebagainya. Oleh itu kita digalakkan untuk berkahwin dan janganlah menjadikan perbuatan sebahagian para ulama itu sebagai alasan untuk meninggalkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang mulia ini.

Ada satu kisah pada zaman Nabi disebabkan terlalu fokus pada ibadah sehinggakan sunnah ini dilupakan. Sesungguhnya perbuatan itu adalah tidak wajar. Rasulullah S.A.W sendiri menegur perbuatan ini. 

Pada suatu ketika datangnya tiga orang lelaki bertanyakan tentang amalan Nabi, setelah diberitahu oleh isteri-isteri Baginda, mereka merasakan amalan Rasulullah S.A.W seperti sedikit. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, “saya akan solat malam selamanya”. Seorang lagi berkata, “saya akan puasa sepanjang tahun” dan seorang lagi berkata “saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin buat selamanya.” Setelah Rasulullah pulang dan diberitahu oleh isteri-isteri Baginda, Baginda bersabda:

“Kalian yang berkata itu dan ini? Demi Allah, sesungguhnya aku paling takut dan bertaqwa kepada Allah berbanding kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku tidur, dan aku juga mengahwini wanita. Sesiapa yang berpaling daripada sunnahku, bukanlah daripada kalanganku”

(Hadis Riwayat Al-Iman Al-Bukhari no. 5063 dan Muslim no. 1401)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjauhi amalan perkahwinan dengan alasan memberi fokus kepada amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang menyalahi sunnah Rasulullah S.A.W.

Hukum Perkahwinan Menjadi Haram

Haram seseorang itu berkahwin apabila dia yakin tidak akan dapat melaksanakan kewajipan sebagai seorang suami. Sekiranya ia berkahwin ia akan berlaku zalim kepada isterinya. Sebagai contoh, seorang lelaki mengahwini wanita untuk dijadikan pelacur bagi mendapatkan sumber kewangan. Begitu juga orang yang dihinggapi penyakit dan berisiko pada pasangan jika berkahwin melainkan dia berubat kemudian sembuh. Selain itu ianya juga haram berkahwin bagi lelaki yang sudah beristeri serta mempunyai beberapa orang anak sedang dia sendiri sakit dan tidak dapat mencari nafkah. 

Haram jika lelaki itu Muslim tetapi bakal isterinya kafir musyrik yang menyembah berhala kecuali wanita itu menganut Islam ataupun ahli kitab. Perlu diingat biarlah perkahwinan yang dibina itu perlulah berlandaskan taqwa bukan untuk menzalimi atau menyakiti orang lain. Jika tidak suka maka nyatakan secara terus terang kepada ahli keluarga. Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita semua.

Kesimpulannya, kepada penjelasan di atas maka sewajarnya ia menjadi panduan kepada setiap individu muslim sama ada bagi yang belum atau sudah berkahwin. Tujuannya adalah untuk memikirkan dan membetulkan hasrat dan matlamat perkahwinan supaya dapat mengikuti landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. 

Para mufti menasihatkan kepada sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk berkahwin menunaikan sunnah Rasulullah S.A.W kerana itu akan memelihara dirinya daripada terjebak dengan perkara yang dimurkai Allah S.W.T.  Jangan habiskan masa muda dengan perbuatan yang sia-sia. Berkahwinlah jika tiada alasan kerana itulah sunnah yang lebih dekat dengan Rasulullah S.A.W.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar