DIAM, MERUPAKAN SALAH SATU MUSUH TERBESAR DALAM HUBUNGAN
DIAM, MERUPAKAN SALAH SATU MUSUH TERBESAR DALAM HUBUNGAN
"perkara yang paling menakutkan adalah diam"
Pasti para pembaca berasa hairan kenapa tiba-tiba sahaja dikaitkan dengan diam? Benarkah ianya merupakan musuh terbesar di dalam sebuah hubungan? Tapi apa kaitannya pula? Seakan tidak logik. Namun secara hakikatnya DIAM memainkan peranan yang sangat penting dalam sebuah hubungan.
Dalam sebuah perhubungan, perkara yang paling menakutkan adalah diam. Mereka lebih memilih untuk tidak mengungkapkan apa yang mereka rasa walhal perkara itu boleh menjurus kepada keretakan dalam sesetengah hubungan. Hubungan yang dimaksudkan bukan hanya hubungan antara suami dan isteri, malah juga dispesifikasikan kepada hubungan antara anda dan sahabat, tunang, malah boleh jadi keluarga sendiri juga.
Ramai orang lebih memilih diam dari bersuara. Mereka memilih untuk tidak ambil peduli ketika marah atau terluka. Sedangkan mereka berkecil hati lebih-lebih lagi ia berpunca dari pasangan mereka sendiri. Secara realitinya, sikap ini sangat tidak baik dan tidak digalakkan kerana ia mampu menimbulkan kebencian serta akan mengurangkan keintiman sebuah hubungan. Malah ada yang sampai tahap tawar hati terhadap pasangan.
Apa tindakan yang patut anda lakukan?
Adakah masih timbul perasaan biarkan sahaja perkara ini berlalu? Atau tutup mata sahaja seolah-olah hubungan anda dan pasangan elok sahaja? Atau tabahkan hati, menangis senyap-senyap sampai terseksa jiwa raga?
Apa yang patut anda lakukan? Anda dan pasangan harus melihat dari sudut pandangan masing-masing melalui dua cara ini:
Pertama, anda dan pasangan harus membicarakan permasalahan dengan sebaik mungkin. Awasi pertuturan dan bahasa tubuh anda. Dua perkara ini memainkan peranan yang sangat penting dalam berkomunikasi. Kesalahan dari segi pertuturan mahupun bahasa tubuh mampu menimbulkan perasaan kurang senang antara anda dan pasangan. Malah akan merumitkan lagi masalah yang dialami.
Kedua, cuba cari sebuah tempat yang tenang dan jauh dari segala gangguan. Ia dapat membantu anda dan pasangan berfikir dengan lebih rasional berbanding di tempat lain yang boleh meningkatkan lagi tahap stress anda. Duduk berhadapan dan tatap matanya (ini boleh dilakukan bagi hubungan yang sudah halal sahaja), perkara ini mampu menimbulkan keintiman untuk berbincang dan menemukan penyelesaian antara anda dan pasangan mengenai masalah yang dihadapi.
Ingat, dalam apa jua masalah, jangan biarkan ‘diam’ mengatasi segala-galanya. Ini kerana dengan ‘diam’ tidak mampu mengubah apa-apa kerana pasangan anda mahupun anda akan tidak peka terhadap perkara yang terjadi dan risiko untuk ianya berulang kembali adalah sangat tinggi. Oleh itu, apa jua yang tidak menyenangkan anda, luahkan pada pasangan anda. JANGAN HANYA SEKADAR DIAM sahaja!
Belum ada jodoh?